APABILA Barisan Nasional (BN) mengumumkan hasrat untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, pelbagai reaksi muncul dalam kalangan pemerhati politik dan rakyat.
Ada yang melihatnya sebagai langkah berani. Ada yang menganggapnya terlalu berisiko. Tidak kurang juga melihatnya sebagai petanda keyakinan terhadap prestasi kerajaan negeri dipimpin Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Namun, persoalan lebih besar bukan sama ada BN bertanding di semua kerusi DUN atau tidak tetapi sama ada prestasi kerajaan masih mempunyai nilai politik dalam era media sosial dan algoritma.
Inilah ujian terbesar bakal dihadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang. Dalam banyak pilihan raya sebelum ini, faktor seperti kaum, jentera parti, calon dan kadar keluar mengundi sering menjadi fokus utama analisis politik.
Faktor berkenaan sememangnya masih relevan. Namun, landskap politik hari ini berubah dengan begitu pantas. Kehidupan masyarakat hari ini membolehkan rakyat menerima maklumat bukan lagi daripada satu sumber, tetapi pelbagai platform digital beroperasi 24 jam sehari.
Aplikasi TikTok, Facebook, Instagram, WhatsApp dan YouTube kini menjadi medan utama pembentukan persepsi politik. Dalam dunia seperti ini, persepsi sering bergerak lebih pantas daripada fakta.
Naratif bergerak lebih laju daripada dasar. Emosi pula sering mendahului penjelasan. Akibatnya, kerajaan mempunyai rekod prestasi baik tidak semestinya memperoleh ganjaran politik setimpal.
Sejarah politik moden di pelbagai negara menunjukkan prestasi semata-mata tidak pernah menjamin kemenangan. Pengundi tidak mengundi angka pelaburan atau statistik hasil negeri.
Pengundi mengundi berdasarkan bagaimana mereka memahami, mentafsir dan merasai kesan daripada pencapaian itu dalam kehidupan seharian mereka.
Johor hari ini berada tepat di persimpangan itu. Pada PRN 2022, rakyat memberikan mandat besar kepada BN dengan kemenangan 40 daripada 56 kerusi DUN.
Ketika itu, kestabilan politik menjadi faktor utama mempengaruhi keputusan pengundi selepas negara melalui tempoh ketidaktentuan panjang.
Namun, Johor pada 2026 bukan lagi seperti pada 2022. Perbualan rakyat hari ini lebih banyak berkisar mengenai prestasi, kos sara hidup, peluang ekonomi, pelaburan, pekerjaan dan masa depan negeri.
Dalam konteks ini, kerajaan negeri mempunyai beberapa kekuatan tidak boleh dinafikan.
Peningkatan pelaburan, pertumbuhan hasil negeri, pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan rakyat serta usaha menyelesaikan beberapa isu sekian lama tertangguh membantu membentuk persepsi kerajaan negeri sedang bekerja dan mempunyai hala tuju jelas.
Bagaimanapun, persoalan lebih penting ialah sama ada prestasi itu berjaya diterjemahkan menjadi keyakinan politik dalam kalangan pengundi. Inilah cabaran sebenar.
Pengundi Melayu mahu tahu siapa bertanding
Pengundi Melayu sejak kebelakangan ini dilihat tidak melihat satu tema sering berulang. Mereka tidak semestinya bercakap ideologi politik atau manifesto parti.
Sebaliknya mereka bercakap mengenai kejelasan. Mereka mahu tahu siapa bertanding dan memerintah. Mereka mahu tahu siapa perlu dipertanggungjawabkan apabila sesuatu dasar gagal dilaksanakan.
Menariknya, ramai melihat keputusan BN bertanding di semua 56 DUN Johor daripada sudut itu. Bagi mereka, isu utamanya bukan soal strategi pilihan raya semata-mata, tetapi soal kejelasan mandat.
Sudah tentu pemerhatian ini bukan kajian saintifik boleh mewakili keseluruhan rakyat Johor tetapi ia petunjuk lapangan menarik untuk diperhatikan.
Lebih-lebih lagi ketika rakyat semakin terdedah kepada pelbagai bentuk kerjasama politik sering berubah mengikut keadaan semasa.
Pada masa sama, adalah satu kesilapan besar jika mana-mana pihak menganggap kemenangan sudah berada dalam genggaman. Politik Johor masih mempunyai dinamika tersendiri.
Pertandingan pelbagai penjuru, perubahan sentimen pengundi Melayu, pengaruh media sosial serta faktor calon tetap berupaya mengubah keputusan di banyak kawasan.
Malah, cabaran terbesar mana-mana parti hari ini bukan lagi sekadar soal jentera atau jumlah kerusi ditandingi tetapi memahami psikologi pengundi semakin berubah.
Pengundi hari ini mempunyai lebih banyak pilihan. Mereka menerima lebih banyak maklumat dan kurang terikat kepada kesetiaan politik tradisional. Mereka lebih mudah dipengaruhi naratif yang muncul secara berterusan di ruang digital.
Atas sebab itu, PRN Johor kali ini bukan sekadar soal siapa menang dan siapa kalah sebaliknya ujian terhadap satu persoalan lebih besar, iaitu adakah rakyat masih memberikan ganjaran kepada prestasi.
Mungkin juga persepsi menjadi kuasa lebih dominan dalam menentukan pilihan politik mereka. Jawapan kepada persoalan itu, bukan sahaja penting kepada Johor malah mungkin menjadi petunjuk kepada arah politik Malaysia masa hadapan.
Dalam era algoritma, prestasi membina keyakinan tetapi persepsi menentukan undi.
Penulis adalah Penganalisis politik bebas
























