BH Online
Ringkasan Berita

Dilema subsidi minyak, sampai bila kerajaan mampu 'payung'?

Bercakap soal harga minyak tidak kiralah petrol atau diesel, semua orang gayanya seperti sudah boleh menjadi pakar ekonomi.
Dilema subsidi minyak, sampai bila kerajaan mampu 'payung'?

Foto hiasan.

adha@bh.com.my

Bercakap soal harga minyak tidak kiralah petrol atau diesel, semua orang gayanya seperti sudah boleh menjadi pakar ekonomi.

Tidak kira di mana pentasnya, baik di pejabat ketika menghadap mesin kopi, di warung mamak sambil mengacau teh tarik atau ketika skrol video di TikTok, topik diperbincang berkisar soal sama.

Yang selalu kita dengar - "harga minyak dunia naik lagi ke?", "sampai bila kerajaan boleh bertahan?" Yang paling klise tetapi benar, "kalau minyak naik, siaplah... harga roti canai dan sayur kat pasar pun ikut melompat."

Semua ini bukti bahawa rakyat kita begitu sensitif dengan isu harga minyak. Persoalannya, kenapa?

Jawapannya mudah, bahan api di Malaysia bukan sekadar cecair yang menggerakkan roda kenderaan, tetapi nadi yang menggerak ekonomi negara. Daripada lori kontena yang membawa sayur dari Cameron Highlands, bot nelayan yang meredah ombak di laut, hinggalah kilang gergasi, semuanya bergerak dengan bahan api.

Apabila Asia Barat bergolak dan laluan strategik seperti Selat Hormuz mula 'panas', pasaran minyak dunia terus meradang. Kesannya, ketukan itu sampai ke pintu rumah kita melalui rantaian kos pengangkutan dan harga barang dapur.

Di sinilah bermulanya dilema besar buat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Macam mana nak pastikan rakyat tak 'sesak nafas' beli petrol atau diesel, pada masa sama pastikan kedudukan kewangan negara tidak kembung.

Dulu, sebelum dunia pening dengan isu geopolitik, kerajaan belanja sekitar RM700 juta sebulan untuk subsidi bahan api. Angka itu nampak besar, tapi masih boleh 'senyum'. Namun sekarang, bil subsidi negara melonjak drastik mencecah RM5 bilion sebulan. Malah, ada ketikanya mencecah RM6 bilion hingga RM7 bilion sebulan, bergantung harga pasaran dunia.

Bayangkan, RM7 bilion sebulan, ia bukannya duit yang keluar begitu sahaja dari topi ahli silap mata, tetapi duit hasil negara.

Dari satu sudut, subsidi memang 'penyelamat'. Ia menjadi benteng yang menahan rakyat daripada terkena kejutan kos sara hidup. Sekurang-kurangnya dalam ekonomi global yang tidak menentu, rakyat masih ada ruang untuk bernafas.

Namun, dari sudut lain, realiti pahit harus ditelan. Semakin tebal subsidi diserap, semakin kuruslah bajet yang tinggal untuk kita bina sekolah, naik taraf hospital atau memperkasa pengangkutan awam.

Ketika negara jiran lain sudah mengambil langkah drastik membiarkan harga minyak mereka terapung mengikut pasaran, Malaysia masih mengambil pendekatan berhati-hati.

Buktinya, RON95 kita masih gagah bertahan pada RM1.99 seliter. Diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal RM2.15 seliter. Hakikatnya, kita antara yang bertuah di rantau ini kerana menikmati harga bahan api termurah tanpa perlu berdepan catuan.

Namun, kita kena sedar satu perkara. Subsidi bukan hak mutlak yang wajib ada sampai kiamat. Ia bantuan bersyarat yang sangat bergantung kepada kemampuan poket negara.

Jika dilihat jalan paling mudah, kerajaan boleh sahaja 'mencantikkan' buku akaun negara dengan memotong subsidi secara total. Maka selesailah masalah fiskal di atas kertas.

Sebaliknya kerajaan memilih jalan sukar, kerana sedar langkah memotong subsidi secara total akan membawa impak besar kepada poket rakyat.

Langkah penyasaran subsidi tetap dikritik

Atas sebab itu kerajaan memilih kaedah subsidi bersasar. Namun, langkah penyasaran subsidi tetap tidak terlepas kritikan, meskipun terbukti berkesan dalam memastikan agihan bersasar serta adil.

Umum sedar, melalui penyasaran subsidi wang berbilion ringgit dapat dipastikan masuk ke dalam tangki kereta rakyat yang selayaknya, bukannya 'bocor' diseludup ke luar sempadan atau diisi ke dalam SUV mewah milik warga asing.

Benar, mekanisme sedia ada belum lagi benar-benar sempurna, namun hasil lebih positif mampu dicapai dengan penilaian dan penambahbaikan berterusan.

Justeru, untuk jangka panjang, beberapa langkah wajar terus diberi perhatian. Sudah tentu sistem pangkalan data subsidi perlu diperkemas supaya agihan lebih tepat, telus dan tidak dimanipulasi.

Namun, apa sekalipun langkah bakal diambil kerajaan selepas ini, prinsip utama untuk memastikan subsidi lebih bersasar dan adil perlu terus dijadikan teras. Pada masa sama, jaminan bahawa majoriti rakyat tidak akan terkesan secara langsung juga penting bagi memastikan keyakinan awam kekal terpelihara.

Hakikatnya, menarik subsidi memang kerja paling mudah di atas kertas. Potong sahaja perbelanjaan dan angka fiskal akan kelihatan lebih baik.

Namun, persoalan lebih besar, apakah ia benar-benar membantu rakyat dan ekonomi pada jangka panjang?

Dalam realiti kehidupan hari ini, kestabilan ekonomi bukan sekadar soal imbangan akaun negara. Ia juga mengenai memastikan rakyat masih mampu bergerak, bekerja dan meneruskan kehidupan tanpa dihimpit beban yang terlalu berat.

Pengarang Berita BH

Video Terkini

Berita Berkaitan