BH Online
Ringkasan Berita

RUU pisahkan Peguam Negara, Pendakwa Raya masuk fasa penting

CADANGAN memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini memasuki fasa paling penting. Selepas sekian lama menjadi perbahasan dalam kalangan pengamal undang-undang, ahli akademik, masyarakat sivil dan pemerhati politik, reformasi ini akhirnya bergerak ke meja Parlimen dengan momentum lebih jelas.
RUU pisahkan Peguam Negara, Pendakwa Raya masuk fasa penting

Bangunan Istana Kehakiman, Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

CADANGAN memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini memasuki fasa paling penting. Selepas sekian lama menjadi perbahasan dalam kalangan pengamal undang-undang, ahli akademik, masyarakat sivil dan pemerhati politik, reformasi ini akhirnya bergerak ke meja Parlimen dengan momentum lebih jelas.

Pada 18 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, mempengerusikan mesyuarat keenam dan terakhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung pindaan Perlembagaan mengenai pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menurut kenyataan rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), jawatankuasa itu sudah memuktamadkan cadangan pindaan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, dengan penyata jawatankuasa dijangka dibentangkan di Parlimen pada 22 Jun ini.

Inilah detik menjadikan reformasi ini bukan lagi sekadar wacana dasar, sebaliknya sedang bergerak sebagai proses perundangan sebenar, lengkap dengan rundingan politik, penelitian Perlembagaan dan tuntutan semak imbang daripada pelbagai pihak.

Di bawah kerangka semasa, Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang utama kepada kerajaan, sambil turut memberi kuasa pendakwaan jenayah.

Seksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah pula menyatakan Peguam Negara ialah Pendakwa Raya dan mempunyai kawalan serta arahan terhadap pendakwaan jenayah. Struktur inilah yang sejak sekian lama menimbulkan persoalan: Bolehkah institusi pendakwaan benar-benar diyakini bebas apabila penasihat undang-undang kerajaan juga memegang kuasa menentukan pendakwaan?

Kerajaan MADANI kini cuba menjawab persoalan itu melalui model pengasingan penuh. Pada 10 September tahun lalu, Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip untuk menerima pakai model pengasingan penuh dengan kedua-dua peranan dipegang dua individu berasingan yang setara kedudukannya.

Azalina kemudian menjelaskan pindaan Perlembagaan diperlukan terlebih dahulu bagi memberikan punca kuasa yang sah, sebelum kerajaan membentangkan RUU berkaitan saraan dan RUU Omnibus untuk meminda lebih 20 undang-undang berkaitan fungsi pendakwaan.

Dari sudut dasar, rasional reformasi ini mudah difahami. Peguam Negara wajar kekal sebagai penasihat undang-undang kerajaan. Namun, keputusan untuk mendakwa, meneruskan atau menghentikan sesuatu prosiding jenayah perlu berada dalam institusi bebas, profesional serta terlindung daripada persepsi pengaruh politik.

Dalam sebuah demokrasi moden, keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan; ia juga mesti dilihat dilaksanakan tanpa campur tangan kepentingan eksekutif.

Dalam kajian kerajaan, BHEUU menyatakan Jabatan Peguam Negara sudah meneliti amalan terbaik di sembilan bidang kuasa, termasuk United Kingdom (UK), India, New Zealand, Australia, Kanada, Afrika Selatan, Ireland, Kenya dan Amerika Syarikat (AS).

BHEUU juga merakamkan delegasi Malaysia mengadakan perbincangan meja bulat di University College London bersama tokoh perundangan dan pendakwaan dari UK.

Model luar tidak boleh disalin bulat-bulat, tetapi ia menunjukkan satu prinsip besar: Fungsi pendakwaan perlu mempunyai tahap kebebasan nyata. Di England dan Wales, Crown Prosecution Service menyatakan ia bebas daripada polis dan kerajaan. Di Kanada, Public Prosecution Service of Canada menggambarkan pihaknya sebagai badan pendakwaan nasional bebas dan bertanggungjawab. Di Australia, Commonwealth Director of Public Prosecutions menyatakan ia beroperasi secara bebas daripada Peguam Negara dan proses politik, walaupun berada dalam portfolio Peguam Negara.

Namun, kekuatan reformasi Malaysia tidak hanya bergantung pada pemisahan nama jawatan. Persoalan lebih penting ialah mekanisme pelantikan, penamatan, tempoh jawatan, pembiayaan, garis akauntabiliti dan hubungan dengan Parlimen.

Sebab itu kritikan daripada Majlis Peguam dan masyarakat sivil tidak boleh dianggap sebagai penolakan terhadap reformasi. Sebaliknya, ia ialah desakan agar reformasi ini benar-benar mencapai maksud kebebasan pendakwaan.

Majlis Peguam menyokong pengasingan secara prinsip, tetapi membangkitkan kebimbangan terhadap mekanisme pelantikan dan keperluan akauntabiliti Parlimen, manakala kumpulan masyarakat sivil pula menyambut baik RUU itu sebagai langkah penting, sambil menegaskan jurang struktur perlu diperbaiki.

Laksana reformasi institusi secara teliti

Di sinilah proses dipengerusikan Azalina menjadi signifikan. Selepas kebimbangan dibangkitkan, RUU berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Jawatankuasa itu kemudian meneliti pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Jabatan Peguam Negara, BHEUU, Majlis Peguam, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil. BHEUU menyatakan proses itu meliputi aspek perlembagaan, perundangan, struktur institusi serta implikasi terhadap sistem keadilan jenayah negara.

Pendekatan ini penting kerana reformasi institusi tidak boleh dilihat sebagai langkah tergesa-gesa atau sekadar slogan politik. Ia perlu dilaksanakan secara teliti, dengan ruang perbahasan mencukupi kerana kesannya akan menentukan bentuk sistem pendakwaan negara untuk puluhan tahun akan datang.

Dari sudut politik, cabaran terbesar ialah sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat. Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan 148 daripada 222 Ahli Parlimen. Sebelum ini, pindaan Perlembagaan mengenai pengehadan Perdana Menteri selama 10 tahun telah gagal memperoleh angka 148. Azalina juga menyatakan harapan agar wakil pembangkang menyokong RUU ini atas alasan manfaatnya kepada rakyat secara keseluruhan.

Di sinilah reformasi ini boleh menjadi ujian kematangan politik Malaysia. Pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bukan isu kerajaan semasa semata-mata. Ia adalah pembinaan institusi untuk semua kerajaan pada masa depan.

Jika reformasi ini berjaya, mana-mana kerajaan selepas ini akan beroperasi dalam sistem lebih jelas sempadannya antara nasihat undang-undang kepada kerajaan dengan kuasa pendakwaan jenayah.

Sokongan awam juga wujud, sekurang-kurangnya dalam kalangan komuniti undang-undang muda. Dalam satu tinjauan Persatuan-Persatuan Guaman Kebangsaan (NLSA) yang disebut dalam ucapan Azalina pada bulan ini, seramai 2,243 mahasiswa undang-undang daripada 12 universiti terbabit; 76.5 peratus menyokong usaha pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya; 80.5 peratus percaya ia akan meningkatkan kepercayaan rakyat dan 84.2 peratus melihatnya memberi kesan positif kepada sistem keadilan serta institusi negara.

Namun, sokongan itu datang bersama harapan jelas: Pemisahan mesti disertai mekanisme pelantikan bebas, jaminan kedudukan dan pindaan undang-undang yang menyeluruh. Ini selari dengan kedudukan kerajaan bahawa reformasi berkenaan memerlukan bukan sahaja pindaan Perlembagaan, bahkan pindaan undang-undang susulan dan penyesuaian struktur pentadbiran.

Akhirnya, kekuatan sesebuah negara bukan hanya dinilai melalui pembangunan fizikal atau angka ekonomi. Ia juga diukur melalui keyakinan rakyat bahawa undang-undang dilaksanakan secara adil, bebas dan tidak tunduk kepada tekanan politik.

Atas sebab itu, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya wajar dilihat sebagai antara reformasi institusi paling penting dalam sejarah moden Malaysia.

Jika RUU bakal dibentangkan pada 22 Jun benar-benar memperkukuh kebebasan pendakwaan, menjamin akauntabiliti dan memberikan peranan semak imbang munasabah kepada Parlimen, maka reformasi ini boleh menjadi legasi besar Azalina dan Kerajaan MADANI: Bukan sekadar meminda teks Perlembagaan, tetapi memulihkan keyakinan rakyat terhadap keadilan.

Penulis adalah Penyelidik Perundangan dan Konsultan Pengurusan Risiko

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Video Terkini

Berita Berkaitan