BH Online
Ringkasan Berita

Justifikasi dalaman dorong penipu, perasuah tidak rasa bersalah

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), fraud atau penipuan dan rasuah merangkumi kira-kira 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, bersamaan sekitar AS$2.6 trilion (RM10.2 trilion) hingga AS$3.6 trilion (RM14.2 trilion) setahun.
Justifikasi dalaman dorong penipu, perasuah tidak rasa bersalah

Foto hiasan

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), fraud atau penipuan dan rasuah merangkumi kira-kira 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, bersamaan sekitar AS$2.6 trilion (RM10.2 trilion) hingga AS$3.6 trilion (RM14.2 trilion) setahun.

Angka ini menunjukkan betapa meluas dan seriusnya penipuan termasuk rasuah, membabitkan individu daripada pelbagai lapisan masyarakat. Penipu adalah seseorang memperdaya orang lain untuk kepentingan peribadi atau kewangan.

Dalam usaha mencegah penipuan dengan berkesan, penting untuk kita memahami apa yang mendorong seseorang melakukannya sejak awal.

Fraud sebagai satu bentuk rasuah, sering didorong tekanan, peluang, ketamakan dan keinginan hedonistik terhadap keseronokan, kemewahan, status, serta sikap 'tidak pernah cukup'. Namun, faktor ini sahaja tidak cukup untuk menjelaskan mengapa seseorang sanggup melanggar batas etika dan undang-undang.

Satu elemen penting sering diabaikan ialah rasionalisasi, iaitu proses dalaman seseorang membenarkan tingkah laku tidak jujur kepada dirinya sendiri dan melihatnya sebagai sesuatu boleh diterima, perlu, atau tidak memudaratkan.

Seperti sering dinyatakan ahli kriminologi, ramai penipu tidak melihat diri sebagai penjenayah, sebaliknya membina naratif yang menjadikan tindakan mereka kelihatan wajar, sementara atau adil. Tanpa justifikasi dalaman ini, kebanyakan individu akan sukar bertindak bertentangan dengan nilai moral sendiri.

Antara alasan dalam teknik peneutralan ialah anggapan perbuatan salah tidak menjejaskan sesiapa secara langsung. Dalam sistem kewangan kompleks, kesan penipuan sering kelihatan tidak jelas. Pelaku mungkin beranggapan kerugian ditanggung syarikat, kerajaan atau insurans, bukan individu. Disebabkan mangsa tidak jelas, perbuatan itu lebih mudah untuk dibenarkan.

Kurang rasa bertanggungjawab

Cara pemikiran ini mewujudkan jurang antara tindakan dan kesannya. Contohnya, seorang pegawai perolehan memanipulasi proses tender mungkin meyakinkan dirinya bahawa dana kerajaan mencukupi. Dalam keadaan itu, beliau mengabaikan kesan lebih besar seperti hilangnya kepercayaan awam, pembaziran sumber serta ketidakadilan terhadap pesaing jujur. Apabila kesan tindakan dilihat jauh atau tidak jelas, individu cenderung berasa kurang bertanggungjawab secara peribadi.

Dalam sesetengah keadaan, individu mula merasakan gaji dibayar rendah, tidak dihargai atau dilayan tidak adil. Lama-kelamaan, mereka meyakinkan diri bahawa mereka berhak mendapat lebih daripada apa diterima. Penipuan kemudiannya tidak lagi dilihat sebagai kecurian, tetapi sebagai bentuk pampasan atau hak.

Satu lagi bentuk rasionalisasi biasa ialah anggapan 'meminjam' wang. Penipu mungkin meyakinkan diri bahawa mereka hanya mengambil wang organisasi sementara dan akan memulangkannya kemudian. Cara ini membolehkan mereka mengekalkan imej diri sebagai orang baik walaupun terbabit dalam tingkah laku tidak jujur.

Namun, bayaran semula jarang berlaku. Tindakan kecil ini boleh berkembang menjadi corak tingkah laku semakin sukar dihentikan, akhirnya membawa kepada penipuan lebih serius dan berkekalan.

Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia (ACFE) menegaskan penipuan sering bermula dengan tindakan kecil yang kelihatan tidak penting. Pelarasan atau jalan pintas pada awalnya mungkin tidak dianggap serius, tetapi apabila diulang, ia boleh melemahkan batas etika secara beransur-ansur. Lama-kelamaan, tingkah laku yang dahulu dianggap salah mula dilihat sebagai normal dan ini antara aspek penipuan paling berbahaya.

Dalam persekitaran yang rasuah dianggap biasa, individu mungkin membenarkan tindakan mereka dengan merujuk kepada orang lain, seperti 'semua orang melakukannya'. Ini mengurangkan tanggungjawab peribadi. Lama-kelamaan, tahap etika menjadi lemah dan tingkah laku tidak jujur seperti rasuah dan pecah amanah semakin dinormalisasikan.

Penipu dan perasuah juga mungkin membandingkan diri dengan pelaku yang lebih teruk dengan berfikir, "Sekurang-kurangnya saya tidak seteruk orang lain." Ini membolehkan mereka memperkecilkan tindakan sendiri dan mengelak daripada mengakui bahawa penipuan tetap salah tanpa mengira skalanya.

Keadaan ini kadangkala dirujuk sebagai 'menyalahkan orang lain', iaitu apabila perhatian dialihkan daripada tanggungjawab peribadi kepada kelemahan pihak lain, contohnya dengan alasan seperti 'bos pun makan duit kopi'.

Pelaku merasakan mereka terpaksa melakukan rasuah disebabkan keadaan tertentu atau tekanan pihak atasan hingga menganggap diri tidak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perbuatan tersebut.

Ada penipu juga menganggap tindakannya dilakukan demi tujuan lebih baik, seperti membantu keluarga atau rakan sekerja yang menghadapi kesulitan, lalu mengetepikan peraturan syarikat.

Satu lagi alasan adalah menyalahkan sistem itu sendiri. Jika seseorang percaya sistem sedia ada sudah rosak atau tidak adil, mereka mungkin melihat tindakan penipuan mereka sebagai sesuatu yang kecil atau bahkan wajar. Ini menghilangkan rasa tanggungjawab peribadi dan menjadikan salah laku seolah-olah sesuatu tidak dapat dielakkan, bukannya satu pilihan.

Ahli kriminologi berpendapat individu mungkin menggunakan tingkah laku baik masa lalu untuk membenarkan salah laku sekali-sekala. Mereka merasakan sumbangan positif sebelum ini membolehkan sedikit pengecualian diterima. Lama-kelamaan, ini boleh melemahkan prinsip peribadi dan memudahkan keputusan tidak beretika, terutama apabila tiada siapa memerhati.

Penipu sering menggunakan istilah lebih lembut atau teknikal seperti 'pelarasan', 'pemudah cara' atau 'yuran pengendalian' untuk menggambarkan amalan rasuah. Penggunaan bahasa sebegini mengurangkan keseriusan perbuatan berkenaan dan menjadikannya kelihatan seperti rutin pentadbiran atau sekadar masalah sosial, bukannya jenayah.

Budaya dorong tingkah laku buruk

Budaya tempat kerja juga boleh mengukuhkan tingkah laku buruk begini. Dalam sesetengah organisasi, peraturan dan jangkaan tidak rasmi mempengaruhi cara pekerja bertindak. Dalam situasi penipuan, penting untuk mempunyai sistem ganjaran dan hukuman yang adil. Apabila tingkah laku tidak beretika diabaikan, diterima atau malah diberi ganjaran, orang lain mungkin berasa tertekan untuk mengikut jalan sama. Lama-kelamaan, penipuan boleh menjadi sebahagian budaya organisasi.

Akhir sekali, ketiadaan akibat menguatkan lagi rasionalisasi penipu. Apabila individu melihat orang lain melakukan penipuan tanpa ditangkap atau dihukum, mereka mungkin menganggap risikonya rendah. Ini mewujudkan rasa selamat yang palsu dan meningkatkan kemungkinan salah laku berulang oleh penipu.

Oleh itu, penipuan bukan sahaja didorong tekanan luaran, tetapi juga proses pemikiran dalaman yang berkembang secara beransur-ansur dari semasa ke semasa.

Seseorang jarang menjadi penipu hanya melalui satu keputusan semata-mata. Sebaliknya, ia berlaku melalui proses berperingkat dibentuk pilihan kecil, justifikasi berulang serta batas etika semakin longgar.

Walaupun undang-undang dan penguatkuasaan yang tegas penting, ia tidak mencukupi. Pencegahan juga memerlukan penekanan terhadap etika, budaya organisasi dan tadbir urus yang jelas bagi memperkukuhkan integriti.

Penipuan bukan sahaja isu perundangan, tetapi juga isu psikologi. Rasionalisasi membolehkan individu membenarkan tingkah laku tidak jujur sambil mengekalkan imej diri positif. Jika tidak dibendung sejak awal, sistem kawalan yang kukuh sekalipun mungkin gagal mencegah salah laku.

Penulis ialah Profesor Kriminologi dan Keadilan Jenayah merangkap Pengarah Institut Kriminologi Dan Keadilan Jenayah, Universiti HELP

Video Terkini

Berita Berkaitan