BH Online
Ringkasan Berita

DAP 60 tahun perlu perjuang suara rakyat untuk terus kekal relevan

DAP menyambut ulang tahun ke-60 pada 18 Mac lalu, menandakan enam dekad jatuh bangun surival politik sejak ditubuhkan pada 1966. Sambutan itu cukup bermakna dan disambut ketika parti itu berada di puncak kuasa Putrajaya.
DAP 60 tahun perlu perjuang suara rakyat untuk terus kekal relevan

- Foto fail NSTP

zahrin@bh.com.my

DAP menyambut ulang tahun ke-60 pada 18 Mac lalu, menandakan enam dekad jatuh bangun surival politik sejak ditubuhkan pada 1966. Sambutan itu cukup bermakna dan disambut ketika parti itu berada di puncak kuasa Putrajaya.

Inilah juga kali pertama dalam sejarah, DAP yang lebih popular dengan gelaran 'roket' berjaya mempertahankan kuasa politik di bawah Kerajaan Perpaduan dan sudah melepasi tiga tahun selepas gerakan politik Langkah Sheraton. Syabas DAP di bawah kepemimpinan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.

Tema sambutan ialah Malaysia Untuk Rakyat Malaysia yang menekankan komitmen berterusan terhadap keadilan, kesamarataan dan hak asasi semua. Laluan DAP selama 60 tahun bukan mudah. Ada ketikanya umpama berjalan dalam api. Pelbagai sepak terajang menjadi lumrah.

Tahun ini juga beberapa parti politik tersohor seperti UMNO dan MIC turut merayakan ulang tahun ke-80. Seperti setiap individu merayakan hari kelahiran masing-masing, usia parti politik menjadi 'indeks pengukuran politik' yang dapat memberi gambaran sebenar mengenai hala tujunya.

Dalam tempoh 60 tahun, sesebuah parti politik diuji bukan sahaja kemenangan dan kekalahan, bahkan konsistensi prinsip, keikhlasan perjuangan dan keberanian berubah mengikut tuntutan zaman.

DAP melahirkan ramai pemimpin berani, berwibawa dan berwawasan yang membawa cabaran, survival dan harapan parti itu.

Pemimpin legenda seperti Tan Sri Lim Kit Siang, Dr Chen Man Hin, Dr Tan Seng Giaw, Devan Nair, Datuk Seri Karpal Singh yang dijuluki nama 'Harimau Jelutong', V David, P Patto, Ahmad Nor, Hu Sepang dan Dr P Ramasamy pernah menggegarkan arena politik negara.

Tidak dinafikan ada yang masih 'rindukan' pertarungan politik di medan Parlimen antara Karpal dengan Tun Samy Vellu, pertembungan antara Kit Siang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kelantangan P Patto dalam isu berkaitan hak asasi manusia serta komuniti India. Banyak lagi episod warna-warni politik menghidupkan politik negara ketika itu: Menarik, mengancam dan memukau.

Perjuangan pemimpin seperti Lim Guan Eng; Penasihat Khas DAP, Gobind Singh Deo; Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok; Tan Kok Wai, Fong Kui Lun, Charles Santiago, M Kulasegaran, V Sivakumar, Chow Kon Yeow, Tony Pua, Nga Kor Ming, Hannah Yeoh dan Steven Sim umpama aur dengan tebing yang memberikan nyawa politik untuk parti itu hingga berjaya merangkul 60 tahun.

Pengajaran politik dorong kemenangan

Setiap detik memberikan pelbagai pengajaran politik untuk DAP hingga mendakap kemenangan ke Putrajaya. Kesediaan DAP bekerjasama dengan musuh tradisi politiknya, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi menjamin kestabilan politik negara adalah tindakan 'reformasi politik' berani. Imej DAP dilihat lebih 'moderate' di bawah kepemimpinan Loke.

Dalam usia 60 tahun, Loke muncul sebagai 'wajah baharu' DAP - lebih sederhana, matang dan dekat dengan rakyat. Di bawah kepemimpinan generasi baharu ini, DAP dilihat semakin pragmatik dalam pendekatan politiknya, tanpa meninggalkan prinsip perjuangan.

Gaya kepemimpinan Loke tenang, mesra rakyat dan berorientasikan penyelesaian turut membantu memperkukuhkan imej DAP sebagai parti bukan sahaja lantang bersuara, bahkan mampu mentadbir serta menyumbang kepada kestabilan kerajaan dan pembangunan negara. Beliau juga menangani isu dalaman parti dengan terurus dan terancang tanpa mencetuskan kontroversi.

Dalam tempoh tiga tahun ini, setiap mata memandang hubungan dan kerjasama antara UMNO dengan DAP. Ada ketikanya panas dan umpama bergolak, namun setiap pandangan atau isu berdasarkan prinsip dan perjuangan parti serta pandangan pemimpin partinya dianggap sudah menjadi asam politik.

Sebagai parti berbilang kaum, walaupun dilihat didominasi Cina, usahanya untuk membina 'hubungan politik' dengan komuniti Melayu atas dasar realiti politik baharu sering menjadi tumpuan umum dan cakap-cakap politik.

Penampilan pemimpin seperti Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menjadi 'wajah pemimpin Melayu DAP'. Soalnya, apakah itu cukup menarik sokongan Melayu?

DAP perlu keluar daripada persepsi dominasi selesa seiring cabaran dan realiti politik semasa. Mungkin tiba masanya, parti itu melantik seorang menteri atau timbalan menteri dalam kalangan pemimpin Melayu.

Sebagai parti lahir daripada semangat demokrasi, keadilan sosial dan cita-cita membentuk Malaysia lebih adil untuk semua rakyat, DAP perlu bersuara secara konsisten untuk semua kaum dalam apa juga isu seiring tema 'Malaysia untuk Rakyat Malaysia'.

Namun, adakah DAP masih kekal dengan roh perjuangan asal atau semakin terperangkap dalam realiti kuasa politik?

Sejak awal penubuhannya, DAP sering dilihat sebagai parti pembangkang lantang menentang ketidakadilan, rasuah, salah guna kuasa dan politik perkauman. Mereka menjadi suara alternatif ketika ramai memilih untuk berdiam diri. Dalam banyak isu nasional, DAP tampil berani, tegas dan konsisten.

Namun, apabila parti itu mula berada dalam lingkungan kuasa, persepsi rakyat berubah. Rakyat bukan lagi mahu mendengar retorik semata-mata, tetapi mahu melihat hasil nyata. Prinsip dahulu diperjuangkan di jalanan, kini diuji di meja pentadbiran.

Inilah cabaran terbesar DAP hari ini. Sebahagian rakyat melihat DAP masih relevan sebagai kuasa semak dan imbang, manakala sebahagian lagi mula mempersoalkan sama ada parti itu terlalu selesa dalam sistem yang pernah mereka kritik.

Komuniti Cina menjadi 'kekuatan DAP'. Merekalah memberikan 'sinar harapan dan kasih sayang politik' untuk parti itu. Sudah tentu banyak bezanya berada di kerusi pembangkang dengan kerajaan.

Proses reformasi tidak boleh berlaku dalam sekelip mata. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin Kerajaan Perpaduan merangkumi 18 parti politik daripada pelbagai latar belakang dan ideologi politik.

Berani laksana pelbagai tindakan reformasi

Namun, beliau melakukan pelbagai tindakan reformasi berani, terutama dalam isu salah guna kuasa, perundangan, kementerian dan sistem penyampaian untuk rakyat. Terangkan kepada rakyat, khususnya komuniti Cina.

Untuk kekal relevan dalam Malaysia baharu, DAP tidak boleh hanya bergantung kepada sejarah perjuangan. Parti itu perlu membina keyakinan baharu, terutama dalam kalangan Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta masyarakat India yang masih menilai keikhlasan politik pelbagai pihak.

Selepas 60 tahun perjuangan, DAP kini memasuki era baharu dengan kehadiran ramai pemimpin muda dan pelapis. Di bawah kepemimpinan Loke, DAP tampil lebih segar, progresif dan dekat dengan generasi muda tanpa meninggalkan prinsip perjuangan asal parti.

Gabungan pengalaman dan tenaga baharu ini menjadi kekuatan penting dalam memastikan DAP terus relevan, inklusif dan bersedia memimpin masa depan Malaysia.

Seperti ditegaskan Loke, kekuatan sebenar DAP terletak pada kesinambungan perjuangan dari satu generasi ke generasi lain, memastikan obor perjuangan terus menyala.

Penulis adalah Penganalisis Politik dan Perunding Media

Video Terkini

Berita Berkaitan