bhrencana@bh.com.my
Penganjuran 'Rain Rave Water Music Festival' mencetuskan polemik jauh melangkaui kerangka hiburan semata-mata, sebaliknya membuka ruang pertembungan pelbagai dimensi penting termasuk naratif ekonomi, sensitiviti sosial, moral masyarakat, penggunaan wang awam serta hala tuju negara.
Pihak yang menyokong program ini berhujah festival berkenaan berjaya merancakkan pelancongan, menjana ekonomi tempatan, meningkatkan pendapatan peniaga kecil dan menarik ribuan pengunjung. Ada dakwaan angka pulangan ekonomi mencecah ratusan juta ringgit. Jika benar begitu, maka rakyat berhak melihat angka sebenar.
Dalam sebuah negara demokrasi matang, setiap program besar menggunakan nama kerajaan, membabitkan sokongan agensi awam atau membawa implikasi nasional mesti bersedia untuk dinilai secara telus. Lebih-lebih lagi apabila program berkenaan menjadi pertikaian awam yang serius.
Kerajaan perlu membentangkan laporan lengkap dan terperinci mengenai impak sebenar festival ini. Antara persoalan utama perlu dijawab ialah berapa jumlah sebenar dibelanjakan, dana kerajaan terbabit secara langsung atau tidak langsung, nilai tajaan swasta.
Ia termasuk jumlah pengunjung tempatan hadir, pelancong asing menyertainya, bilangan hotel, restoran, pengangkutan dan sektor peruncitan mendapat manfaat serta hasil cukai atau pulangan ekonomi diterima semula kerajaan. Angka diumumkan kelak pulangan ekonomi sebenar atau sekadar anggaran.
Ini penting kerana dalam banyak penganjuran acara mega di seluruh dunia, angka impak ekonomi sering digunakan secara longgar bagi mencipta persepsi kejayaan sedangkan realiti sebenar tidak semestinya begitu.
Rakyat berhak tahu hakikat sebenar
Jika benar festival ini membawa keuntungan besar kepada negara tanpa membebankan rakyat, maka kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperluaskannya ke negeri lain. Tetapi jika pulangannya kecil berbanding kos sosial, moral dan politik ditanggung, maka rakyat juga berhak mengetahui hakikat sebenar.
Isu ini bukan sekadar soal 'setuju atau tidak setuju' terhadap hiburan tetapi menyentuh soal kebertanggungjawaban kerajaan terhadap keputusan dibuat.
Rakyat masih ingat bagaimana suatu ketika dahulu program 'Jutaan Belia di Putrajaya' menerima kritikan hebat hanya kerana beberapa minit persembahan K-Pop dianggap tidak sesuai dengan konteks penggunaan dana awam. Ketika itu, pelbagai pihak tampil memberikan teguran termasuk tokoh agama, masyarakat sivil dan Jabatan Audit Negara.
Menteri pada waktu itu terpaksa memberikan penjelasan di Parlimen. Program sedemikian akhirnya dihentikan selepas kerajaan mengambil kira sensitiviti masyarakat dan pandangan agensi lain.
Maknanya ketika itu kerajaan mendengar. Kali ini, ramai melihat pendirian kerajaan jauh lebih keras dan defensif walaupun bantahan datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Sebab itu hujah ekonomi perlu diuji secara profesional dan objektif.
Jika penyokong festival ini terus mengangkat naratif 'menjana ekonomi', maka bentangkan angka sebenar kepada rakyat. Jangan hanya menggunakan slogan atau propaganda media sosial.
Dalam dunia tadbir urus moden, semua dasar dan program mesti melalui prinsip analisis manfaat kos bukan sekadar keuntungan semata-mata, tetapi juga kesan sosial, budaya, keselamatan, imej negara dan keharmonian masyarakat.
Sewajarnya kerajaan perlu berhati-hati apabila menggunakan hujah ekonomi untuk menghalalkan apa sahaja bentuk penganjuran. Jika semua perkara mahu diukur semata-mata berdasarkan wang, maka negara akan kehilangan kompas moralnya sedikit demi sedikit.
Hari ini hujahnya ialah pelancongan, esok mungkin perjudian, lusa mungkin budaya ekstrem lain atas nama impak ekonomi. Inilah sebabnya mengapa perbahasan mengenai festival itu tidak boleh dipandang ringan.
Pada masa sama semua pihak tidak membawa perdebatan ini ke tahap melampau, termasuk mengeluarkan kenyataan berbentuk kebencian, penghinaan agama lain atau doa kehancuran terhadap negara dan masyarakat.
Kritikan terhadap kerajaan adalah hak rakyat dalam demokrasi akan tetapi kebencian melampau bukan jalan penyelesaian.
Urus perbezaan pandangan dengan hikmah
Perbezaan pandangan mesti diurus dengan hikmah, fakta dan akhlak. Malaysia ialah negara majmuk memerlukan kestabilan sosial dan penghormatan antara kaum serta agama.
Naratif sesiapa tidak bersetuju dengan sesuatu festival itu sebagai 'musuh agama' atau sebaliknya melabel pengkritik sebagai 'kolot' dan 'antikemajuan hanya memburukkan lagi polarisasi masyarakat.
Apa yang penting kita perlu matang kerana ada rakyat menilai isu ini daripada sudut ekonomi, ramai melihat dari sudut moral dan agama serta tidak kurang menilai dari sudut penggunaan wang awam dan keutamaan kerajaan. Semua pandangan ini wajar diraikan dalam ruang demokrasi sihat.
Namun kerajaan juga perlu memahami apabila sesuatu program dilakukan menggunakan platform nasional, maka rakyat berhak mempersoalkannya lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi rakyat masih tertekan, kos sara hidup meningkat dan banyak sektor asas masih memerlukan perhatian.
Rakyat Malaysia bukan antihiburan tetapi mahu keseimbangan, sensitiviti dihormati, wang negara digunakan secara berhemah serta menuntut kerajaan mendengar suara masyarakat, bukan sekadar mendengar pasukan 'askar siber' atau kelompok penyokong tertentu sahaja.
Jika benar festival ini berjaya menjana ekonomi luar biasa, bentangkan laporan audit impaknya dan metodologi pengiraannya.
Jika benar ia membantu rakyat, buktikan dengan data kerana dalam negara mengamalkan integriti dan ketelusan, setiap dakwaan kejayaan mesti boleh diaudit dan disemak.
Akhirnya, polemik festival berkenaan sebenarnya lebih besar daripada festival itu sendiri. Ia menjadi cerminan bagaimana kerajaan mengurus kritikan dan cara masyarakat berdebat soal moral dan ekonomi.
Ia juga menyentuh aspek sebuah negara menentukan garis sempadan antara pembangunan, hiburan, budaya dan nilai kerana dalam dunia moden hari ini, kerajaan bukan sekadar perlu bijak menjana ekonomi tetapi cermat menjaga kepercayaan rakyat.
Penulis ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

















