BH Online
Ringkasan Berita

Pertahan kebebasan Selat Melaka model kestabilan maritim global

POLEMIK cadangan mengenakan caj ke atas kapal perdagangan di Selat Melaka baru-baru ini membuka semula satu persoalan besar siapakah sebenarnya ‘pemilik’ laut dan sejauh mana kebebasan pelayaran itu harus dipertahankan.
Pertahan kebebasan Selat Melaka model kestabilan maritim global

POLEMIK cadangan mengenakan caj ke atas kapal perdagangan di Selat Melaka baru-baru ini membuka semula satu persoalan besar siapakah sebenarnya 'pemilik' laut dan sejauh mana kebebasan pelayaran itu harus dipertahankan.

Walaupun cadangan itu segera ditarik balik kerana bercanggah undang-undang antarabangsa, episod ini mendedahkan hakikat perbahasan laut bebas bukan sesuatu yang baharu, malah berakar dalam tradisi maritim dunia termasuk di alam Melayu.

Selat Melaka antara laluan maritim paling penting di dunia, menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan. Hampir 40 peratus perdagangan global dan lebih 30 peratus aliran minyak dunia melalui laluan ini setiap tahun.

Justeru, sebarang usaha mengenakan kawalan unilateral termasuk mengenakan 'bayaran tol' akan memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi global.

Dalam wacana Barat, prinsip kebebasan laut sering dikaitkan dengan Mare Liberum diasaskan Hugo Grotius melalui karya Mare Liberum pada 1609.

Grotius berhujah laut milik bersama manusia dan tidak boleh dimonopoli mana-mana kuasa. Idea ini kemudian menjadi asas kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS 1982) menjamin kebebasan pelayaran melalui rejim 'laluan transit'.

Namun, melihat konsep laut bebas semata-mata melalui kerangka Eropah adalah satu tafsiran sempit. Hakikatnya, prinsip kebebasan pelayaran sudah lama wujud dalam tradisi alam Melayu, khususnya melalui Undang-Undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka.

Dalam Undang-Undang Laut Melaka, terdapat peraturan jelas mengenai hak dan tanggungjawab nakhoda, anak kapal serta pedagang dari pelbagai wilayah. Sistem ini tidak menutup laluan laut, sebaliknya mengawal selia perdagangan secara adil dan tersusun.

Pelabuhan Melaka ketika itu berfungsi sebagai entrepot terbuka, menerima pedagang Arab, India, China dan Nusantara tanpa monopoli eksklusif terhadap laluan laut.

Hal ini menunjukkan konsep 'laut bebas' dalam konteks alam Melayu bukan sekadar kebebasan mutlak, tetapi kebebasan diimbangi dengan peraturan, etika perdagangan dan tanggungjawab bersama.

Berbeza dengan doktrin kolonial Mare Clausum (Laut Tertutup) yang cuba memonopoli laluan laut, akan tetapi tradisi Melayu lebih cenderung kepada keterbukaan maritim bersifat kosmopolitan.

Undang-Undang Laut Melaka maju, tersusun

Menurut kajian sarjana seperti MB Hooker dan Liaw Yock Fang, Undang-Undang Laut Melaka mencerminkan satu sistem perundangan maritim maju dan tersusun berfungsi menjamin keselamatan, keadilan dan kelancaran perdagangan antarabangsa di rantau ini sebelum kedatangan kuasa Barat ke sini.

Dalam konteks moden, prinsip ini diteruskan melalui kerangka antarabangsa seperti UNCLOS. Selat Melaka diklasifikasikan sebagai selat untuk pelayaran antarabangsa dan semua kapal diberikan hak belayar tanpa gangguan. Namun, seperti dalam tradisi Melayu kebebasan ini datang bersama tanggungjawab.

Di sebalik keutuhan falsafah laut bebas ini, keadilan terhadap negara pesisir harus diberi perhatian. Mare Liberum tidak bermaksud laluan perairan ini percuma tanpa sebarang kos penyelenggaraan.

Kelestarian Selat Melaka menuntut pelaburan bilion ringgit. Negara pesisir terpaksa memikul pelbagai beban kewangan bagi menyediakan bantuan pelayaran, menjamin keselamatan maritim daripada ancaman lanun serta membiayai operasi pembersihan sekiranya berlaku tumpahan minyak.

Di sinilah relevannya pendekatan perkongsian beban. Melalui Mekanisme Kerjasama dalam Keselamatan Pelayaran di Selat Melaka dan Singapura, negara pengguna seperti Jepun dan China turut menyumbang pembiayaan keselamatan dan penyelenggaraan laluan ini.

Sewajarnya perkongsian beban ini bukan sekadar penyelesaian teknikal, tetapi manifestasi kepada satu prinsip lebih besar bahawa laut sebagai ruang bersama menuntut tanggungjawab bersama.

Justeru, pendekatan ini sejajar dengan semangat Undang-Undang Laut Melaka yang menekankan keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab.

Sebagai perbandingan, ketegangan di Selat Hormuz dan tuntutan bertindih di Laut China Selatan menunjukkan bagaimana prinsip laut bebas sering dicabar kepentingan geopolitik.

Dalam hal ini, pendekatan sederhana negara pesisir Selat Melaka wajar dilihat sebagai model kestabilan maritim serantau.

Oleh itu, mempertahankan kebebasan pelayaran di Selat Melaka hari ini bukan sekadar mematuhi undang-undang antarabangsa, tetapi meneruskan warisan maritim tempatan yang mengiktiraf laut sebagai ruang bersama, bukan sahaja bebas tetapi bertanggungjawab mengekalkan keharmonian dalam jangka masa panjang

Yang pasti, falsafah Mare Liberum bukan konsep asing bagi rantau ini. Ia sudah lama berakar dalam tradisi maritim alam Melayu melalui Undang-Undang Laut Melaka dan amalan pelabuhan terbuka Kesultanan Melaka.

Apa yang membezakan ialah kerangka bahasa dan istilah, bukan prinsipnya. Justeru, sekalipun falsafah Mare Liberum kekal relevan sebagai asas kepada sistem maritim global, namun dalam realiti moden ia tidak boleh difahami sebagai kebebasan mutlak tanpa tanggungjawab bersama.

Penulis adalah Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah Perak, UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP)

Video Terkini

Berita Berkaitan