Cabaran utama Malaysia pada 2026 bukanlah ketidakstabilan, tetapi kredibiliti pelaksanaan. Ekonomi negara tidak kekurangan isyarat positif seperti pertumbuhan kekal berdaya tahan, ringgit berada pada kedudukan yang menyokong, kelulusan pelaburan mencapai tahap tertinggi dan momentum perdagangan terus kukuh.
Namun, persoalan sebenar perlu dijawab Malaysia adalah sama ada institusi negara mampu menterjemahkan angka memberangsangkan ini kepada hasil yang nyata, seterusnya mengukuhkan kepercayaan awam, keyakinan pelabur dan daya saing ekonomi.
Penilaian pasaran kini berubah secara asas. Pengumuman dasar tidak lagi mencukupi untuk merangsang keyakinan, sebaliknya pelaksanaan menjadi ukuran utama. Sesebuah negara boleh mengumumkan angka pelaburan besar, namun masih kehilangan momentum sekiranya aspek asas seperti kesiapsiagaan tanah, penyediaan utiliti, kelulusan permit dan ketersediaan tenaga kerja tidak diselesaikan dengan cekap.
Dalam konteks Malaysia, jumlah RM426.7 bilion pelaburan diluluskan bagi 2025 menjadi pencapaian signifikan, membabitkan ribuan projek dan ratusan ribu peluang pekerjaan. Namun, nilai sebenar hanya akan terhasil apabila projek ini direalisasikan sepenuhnya, kilang beroperasi, rantaian bekalan diperkukuh dan eksport meningkat berasaskan kapasiti sebenar, bukan sekadar potensi.
Asas makroekonomi Malaysia menyediakan ruang mencukupi untuk tindakan strategik. Anggaran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus bagi suku pertama 2026, selepas mencatat 6.3 peratus pada suku sebelumnya, menunjukkan ketahanan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Kadar inflasi sekitar 1.7 peratus dan pengangguran pada 2.9 peratus turut mencerminkan kestabilan. Data pengeluaran perindustrian dan output pembuatan positif mengesahkan ekonomi tidak berada dalam keadaan krisis, sebaliknya berada pada landasan membolehkan tumpuan diberikan kepada penyampaian struktur.
Dalam hal ini, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus memperkukuh peranan kestabilan monetari sebagai sauh utama.
Kebolehramalan dasar monetari amat penting dalam persekitaran global tidak menentu. Rizab antarabangsa mencukupi memberikan perlindungan terhadap kejutan luaran. Namun, kestabilan monetari bukanlah strategi pertumbuhan. Ia sekadar membeli masa.
Pertumbuhan sebenar perlu datang daripada peningkatan produktiviti, penukaran pelaburan, penggunaan teknologi dan penyelarasan yang berkesan antara agensi Persekutuan, kerajaan negeri serta sektor industri.
Kedudukan ringgit kekal kukuh di bawah paras 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) membawa implikasi bercampur. Di satu pihak, ia membantu mengawal inflasi import dan meningkatkan keyakinan terhadap aset Malaysia. Di pihak lain, ia menghapuskan kelebihan kos yang sebelum ini dinikmati pengeksport melalui kadar tukaran lemah.
Beralih strategi lebih berdaya tahan
Dalam persekitaran ini, syarikat perlu beralih kepada strategi lebih berdaya tahan, termasuk automasi, peningkatan kualiti, kecekapan operasi dan pengeluaran bernilai tinggi. Peralihan ini mungkin mencabar, tetapi ia adalah langkah penting ke arah ekonomi lebih matang dan berdaya saing.
Prestasi perdagangan turut menegaskan keperluan sama. Walaupun perdagangan luar menunjukkan pertumbuhan kukuh, kuantiti semata-mata tidak mencukupi. Kualiti perdagangan menjadi faktor penentu. Import barangan modal dan perantaraan perlu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, nilai tambah eksport dan pertumbuhan pendapatan.
Sekiranya jentera diimport tidak dimanfaatkan secara optimum atau projek tertangguh, kesan pengganda ekonomi akan menjadi lemah.
Pada masa sama, kredibiliti tadbir urus kekal sebagai tunjang penting kepada pelaksanaan. Petunjuk bahawa Yang di-Pertuan Agong akan melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu apabila tempoh perkhidmatan sedia ada berakhir membawa implikasi besar terhadap persepsi integriti institusi.
Proses pelantikan ini akan dinilai bukan sekadar sebagai keputusan pentadbiran, tetapi sebagai ujian terhadap keyakinan terhadap kebebasan dan profesionalisme institusi penguatkuasaan. Persepsi ini mempunyai kesan langsung terhadap keyakinan pelabur dan legitimasi sistem.
Percubaan yang gagal pada Mac untuk meluluskan had tempoh 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri juga kekal relevan. Ia menunjukkan niat reformasi sahaja tidak mencukupi. Nilai sebenar reformasi hanya terletak pada keupayaannya melepasi proses legislatif dan dilaksanakan secara berkesan. Tanpa penutupan legislatif, reformasi kekal sebagai aspirasi.
Isu subsidi bahan api pula mewakili ujian pelaksanaan paling kompleks. Tekanan fiskal semakin meningkat, namun penghapusan secara mendadak boleh menimbulkan keresahan rakyat.
Penyelesaian terbaik ialah pendekatan bersasar melindungi golongan rentan dan mengurangkan ketirisan. Kejayaan reformasi ini bergantung kepada kepercayaan bahawa sistem adalah adil dan hasil penjimatan digunakan secara bertanggungjawab.
Reaksi pasaran ekuiti di Bursa Malaysia mencerminkan realiti ini. Pelabur tidak lagi bertindak secara menyeluruh, tetapi lebih selektif. Mereka memberi ganjaran kepada syarikat yang menunjukkan ketelusan, kekuatan kewangan dan aliran tunai jelas. Ini menandakan Malaysia kini dinilai berdasarkan kredibiliti, bukan sekadar potensi.
Kesimpulannya, Malaysia mempunyai asas kukuh untuk berkembang. Namun, kelebihan ini tidak akan bertahan tanpa pelaksanaan berdisiplin. Sekiranya institusi berjaya menyampaikan reformasi, mengurus subsidi dengan berkesan, mengekalkan kredibiliti tadbir urus dan menukar pelaburan kepada output sebenar, Malaysia berpotensi menukar kestabilan kepada kelebihan strategik mampan.
Penulis ialah Penganalisis politik dan ekonomi
























