bhrencana@bh.com.my
Yang tidak berapa seronok semasa sambutan hari raya tahun ini ialah tiadanya 'umps' ketika solat sunat Aidilfitri. Seperti dijangka imam tua lagu sengau sama, suara tak berapa keluar masih naik imamkan solat.
Sudah usia 80-an, dia tetap gagah juga jadi imam masjid. Suaranya sudah tak jelas, taranumnya sengau Jawa-nya tambah menghilangkan syahdu rasa kemenangan ketika solat.
Tetapi hendak buat macam mana, ahli kariah segan nak tegur walaupun pak imam tua sudah selalu sangat lupa-lupa dalam solat, malah sehari sebelum raya, rakaat kedua Subuh pak imam lupa baca al-Fatihah, rukun solat.
Tetapi tiada yang tegur. Sebaliknya kemudian mereka masing-masing solat Subuh lagi sekali. Begitulah takutnya makmum nak tegur imam yang sudah berinstitusi dengan masjid kampung.
Memang tak disangkal langsung, pak imam tua memang banyak jasanya kepada penduduk kampung. Sejak dia bersara tentera sekitar umur awal 40-an, kira-kira 40 tahun lalu, difahamkan pak imam sudah memimpin masjid.
Saya sendiri sejak masuk-Jawa hampir 30 tahun lalu, memang sudah jadi makmum pak imam Busra (bukan nama sebenar).
Kecuali taranum sengaunya - segala perkara buat pimpinan pak Busra hingga 10 tahun lalu memang bagus. Cuma sejak 10 tahun lalu, memang nampak lanjutnya umur sudah hinggap dan beri kesan pada beliau. Kita manusia, memang ada hadnya.
Tetapi begitulah tiada apa akan berlaku. Selagi ada hayatnya saya rasa Pak Busra akan terus jadi imam masjid itu. Usaha saya sampaikan komen mengenai beliau kepada pejabat agama daerah dan EXCO Agama negeri sekali pun tahun lalu, nampaknya tak berbekas.
Saya terfikir, mungkinkah tiada pengganti atau pelapis yang boleh jadi imam ganti Pak Busra. Atau tiada penduduk kampung yang berani menyanggah institusi.
Jadi, bila bicara kisah Pak Busra, saya rasa terkait dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Had Tempoh Jawatan Perdana Menteri.
RUU ini bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun secara keseluruhan.
Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2026 bertujuan mengelakkan pemusatan kuasa, menghalang seseorang individu daripada memegang kuasa terlalu lama yang boleh membawa kepada risiko autokrasi.
Beri peluang kepemimpinan baharu
RUU ini juga bertujuan menyuburkan demokrasi dengan memberi peluang kepada kepemimpinan baharu dan idea segar untuk memacu negara.
Ia juga bertujuan atas faktor ketelusan dan akauntabiliti dengan memastikan sistem semak dan imbang yang lebih berkesan dalam pentadbiran tertinggi negara.
RUU ini dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada 2 Mac lalu. Tetapi RUU ini gagal diluluskan kerana tidak memperoleh sokongan majoriti dua pertiga. Ia hanya mendapat 146 undi setuju, kurang dua undi daripada 148 undi yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan.
Bagaimanapun, kerajaan menyatakan hasrat membentangkan semula RUU ini pada sesi Parlimen Jun ini selepas sesi libat urus lanjut dijalankan. RUU ini akan lulus jika semua Ahli Parlimen kerajaan hadir sidang dan mengundi menyokong.
RUU ini perlukan kepada Pindaan Perlembagaan di bawah Perkara 43 kerana jawatan Perdana Menteri termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, langkah ini bukan sekadar RUU biasa.
Walaupun mendapat sokongan secara prinsip daripada pelbagai pihak, suara menentang pelaksanaannya juga ada kerana mendakwa ia bukan perkara mendesak, beri keutamaan terhadap isu ekonomi dan kestabilan politik serta kemungkinan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan Perdana Menteri.
Jadi menjelang pembentangan semula pada Jun ini kerajaan mungkin perlu mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Majlis Raja-Raja.
Bagi saya, rakyat Malaysia perlukan RUU ini lulus. Had tempoh ini bertujuan memastikan Malaysia tidak lagi melihat era di mana seorang Perdana Menteri kekal berkuasa selama berdekad-dekad, yang secara teorinya dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa sistemik. Bila terlalu lama berkuasa, manusia cenderung menganggap dialah Putrajaya. Putrajaya adalah dia.
Saya tidak nampak sebarang tanda RUU ini menafikan kuasa Agong. Kuasa baginda melantik Perdana Menteri tidak terusik. Cuma PM perlu berundur selepas 10 tahun atau dua penggal. Agong ketika itu akan pilih PM yang pada pandangan beliau mendapat majoriti Dewan Rakyat.
Seperti dikatakan pemerhati undang-undang, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, "Pindaan kepada Perkara 43 untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak boleh ditafsirkan sebagai menjejaskan kuasa atau prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Ini kerana ia tidak menyentuh perkara-perkara yang disenaraikan di bawah Perkara 159(5) yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja, sebaliknya ia adalah mekanisme pentadbiran demokrasi untuk menentukan kelayakan seseorang memegang jawatan eksekutif tertinggi."
Kenapa pembangkang tolak
Terdapat beberapa sebab mengapa Ahli Parlimen pembangkang tidak menyokong, membantah atau mengambil pendirian berkecuali.
Antara yang dikenal pasti ialah terdapat salah faham meluluskan RUU ini bermakna mereka memberikan mandat atau membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus berkuasa sebagai Perdana Menteri selama 10 tahun lagi.
Namun, ada harapan supaya:
l RUU itu dipinda untuk memasukkan peruntukan melarang Perdana Menteri daripada memegang jawatan Menteri Kewangan secara serentak
l Menuntut pindaan itu mewajibkan supaya urusan pelantikan Perdana Menteri dirujuk kepada Majlis Raja-Raja
l Berkecuali sebagai tanda protes dengan mengandaikan kerajaan sudah mempunyai sokongan majoriti dua pertiga yang cukup untuk meluluskan RUU tersebut dengan sendirinya
Justeru, bagi penulis sebagai rakyat, RUU ini perlu dilulus dan dilaksanakan. Ini kerana jika tidak, kita mungkin berada dalam situasi seperti Pak Busra yang terus berkhidmat walaupun sudah tidak layak lagi, 'umpama tebu tua yang tidak berjus lagi'.
Perkara terbaik untuk dilakukan adalah pergi ketika kemuncak kematangan supaya nama baik orang sentiasa ingat atau tak sebut perkara buruk tentang kita.
Pengarang Berita Kanan, Digital BH
























