GENAP setahun pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Negara terus mengenang jasa dan sumbangan negarawan berhemah dan sederhana ini dengan cara tersendiri.
Sepanjang tempoh itu, institusi pendidikan, agensi, jabatan dan kementerian menganjurkan program berbentuk bicara tokoh, forum dan simposium.
Ia sebagai usaha mengenang ketokohan, jasa serta sumbangan Abdullah sepanjang pentadbiran sebagai Perdana Menteri Kelima yang menekankan pendekatan damai, sederhana, inklusif dan pembangunan seimbang.
Inisiatif ini mendokumentasikan pengkisahan, penceritaan dan pembicaraan mengenai dasar serta polisi yang diperkenalkan Abdullah untuk dijadikan rujukan serta penyelidikan generasi kini dan akan datang.
Ia juga berperanan menerap nilai sahsiah, sosial dan kemasyarakatan melalui penghayatan keperibadian, ketokohan dan corak kepemimpinan beliau dalam pembangunan modal insan.
Dua hari selepas pemergian Abdullah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pemergian Abdullah satu kehilangan besar kepada negara terutama Pulau Pinang.
Semoga semua jasa dan bakti dicurahkannya dalam membangunkan negara serta negeri ini akan sentiasa tersemat dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia dan juga Pulau Pinang.
Tegas beliau, kerajaan negeri ingin terus mengekalkan legasi Abdullah dengan menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Bandar Cassia ialah bandar baharu di Batu Kawan yang pada asalnya ladang kelapa sawit dan kawasan pertanian.
Pada Ogos 2004, Tun Abdullah menamakan bandar baharu ini sebagai Bandar Cassia diambil sempena nama pokok (bunga) cassia melambangkan imej bandar moden dan mesra alam berteraskan komersial, pendidikan dan perumahan moden.
Penggunaan nama Bandar Cassia kemudian diperkukuhkan dalam pelbagai sektor termasuk jalan utama seperti Lebuhraya Bandar Cassia yang dibina sekitar 2013 dan menjadi tulang belakang jaringan pengangkutan kawasan terbabit.
Jalan sepanjang 5.5 kilometer itu menghubungkan kawasan pembangunan Bandar Cassia di Batu Kawan. Penukaran nama kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi 16 April tahun lalu, dilihat sebagai usaha memperkukuh identiti nasional melalui infrastruktur awam.
Secara keseluruhan, penukaran nama ini mengukuhkan lagi kedudukan Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai simbol penghormatan kepada anak kelahiran Pulau Pinang ini.
Dalam sektor pendidikan pula, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas dijenamakan semula sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi (TAAB) secara rasminya pada 12 Mei 2025.
Ia dimasyhurkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Mula mengambil pelajar pada 2007, peranan MRSM Ulul Albab ini kini lebih menekankan pembentukan 'insan holistik', iaitu pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki berakhlak, kepimpinan beretika serta daya tahan diri yang tinggi.

Kepemimpinan Abdullah tekankan Islam Hadhari
Ini selaras dengan legasi kepemimpinan Abdullah yang menekankan pendekatan Islam Hadhari dalam pembangunan negara.
Selain itu, penjenamaan ini turut memperkukuh pelaksanaan program pendidikan berteraskan nilai, termasuk penghayatan agama, pembangunan karakter serta aktiviti kokurikulum lebih menyeluruh. Ia bertujuan melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja pintar tetapi juga berprinsip.
MRSM TAAB kini dilihat sebagai institusi yang membawa identiti nasional lebih kuat. Ia bukan sekadar sekolah berasrama penuh, tetapi juga simbol penghargaan negara terhadap seorang pemimpin yang banyak menyumbang kepada dasar pendidikan dan pembangunan insan di Malaysia.
Dari sudut komuniti setempat, penjenamaan semula ini turut memberi impak positif kepada Kepala Batas yang kini lebih dikenali sebagai lokasi institusi pendidikan berprestij kerana membawa nama tokoh negara, sekali gus meningkatkan nilai sejarah dan identitinya.
Dalam konteks pendidikan MARA, MRSM TAAB berfungsi sebagai model kepada MRSM lain dalam menggabungkan kecemerlangan akademik dengan pembinaan nilai moral dan spiritual. Pendekatan ini diharap dapat memperkukuhkan lagi sistem pendidikan MRSM secara keseluruhan.
Seorang penganalisis pendidikan berpendapat, MRSM di Kepala Batas ini bakal menjadi institusi yang membawa roh kepimpinan Abdullah – sederhana tetapi berkesan serta berfokus kepada pembangunan insan.
Kesimpulannya, MRSM TAAB bukan sahaja sebuah institusi pendidikan, tetapi juga simbol legasi kepemimpinan dan aspirasi negara dalam melahirkan generasi masa depan yang cemerlang, seimbang dan berintegriti.
Penjenamaan ini mengukuhkan lagi peranan MRSM sebagai peneraju pendidikan holistik di Malaysia.
Sebuah lagi institusi pendidikan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) yang beroperasi di bawah Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, turut mengambil langkah sama.
Pusat penyelidikan dan rawatan perubatan lanjutan terkemuka di Malaysia ini mula beroperasi pada 2006 secara berperingkat.
Pusat kanser dijenamakan, simbolik modal insan
Menjenamakan semula IPPT kepada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) secara rasmi dilihat sebagai usaha memperkukuh fokus institusi terhadap penyelidikan dan rawatan kanser secara lebih khusus seiring dengan penyakit ini antara pembunuh utama di Malaysia.
Nama baru ini membawa dimensi simbolik dengan mengangkat nama bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dikenali dengan penekanan kepada pembangunan modal insan.
PKTAAB yang dimasyhurkan 22 Januari lalu, menandakan satu anjakan besar dalam landskap perkhidmatan kesihatan negara.
Transformasi ini bukan sekadar pertukaran nama, tetapi mencerminkan hala tuju strategik Malaysia dalam memperkukuh keupayaan rawatan kanser secara lebih tersusun, fokus dan berimpak tinggi.
Sebagai sebuah institusi di bawah USM, PKTAAB kini memikul peranan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang onkologi.
Ia menggabungkan kepakaran klinikal, penyelidikan dan pendidikan dalam satu ekosistem bersepadu yang mampu melahirkan inovasi rawatan kanser bertaraf antarabangsa. Ia juga berfungsi sebagai pusat rujukan bagi wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Kedudukan di Kepala Batas menjadikannya strategik untuk menerima pesakit dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak Utara, sekali gus mengurangkan kesesakan di hospital utama negara.
Pusat kanser di Kepala Batas ini turut melengkapi fungsi Institut Kanser Negara di Putrajaya. Jika Institut Kanser Negara menampung keperluan rawatan berskala nasional, PKTAAB pula memberi tumpuan kepada inovasi, penyelidikan dan pembangunan kepakaran khusus.
Penubuhan pusat ini juga mencerminkan penghargaan terhadap kepemimpinan Abdullah yang dikenali dengan pendekatan pembangunan insan dan kesejahteraan rakyat.
Nama baharu ini membawa makna simbolik bahawa usaha memerangi kanser, sebahagian daripada agenda nasional yang berterusan. Penjenamaan semula juga membuka ruang kerjasama antarabangsa dengan pusat kanser global bagi mempercepatkan pemindahan teknologi perubatan terkini.
Ia juga berpotensi mengurangkan kebergantungan pesakit kepada rawatan luar negara dengan menyediakan kemudahan bertaraf antarabangsa di dalam negara.
Nama Abdullah yang dikaitkan dengan institusi ini turut membawa nilai legasi kepemimpinan yang menekankan kesejahteraan rakyat. PKTAAB bukan sekadar pusat rawatan, tetapi sebuah institusi yang memacu masa depan perubatan kanser di Malaysia.
Dengan gabungan kepakaran, teknologi dan komitmen terhadap penyelidikan, ia berpotensi menjadi peneraju dalam usaha meningkatkan kualiti hidup pesakit serta memperkukuh sistem kesihatan negara secara menyeluruh.
Bina memorial kenang jasa Abdullah
Rancangan pembinaan sebuah galeri atau memorial khas bagi mengenang jasa Abdullah juga antara usaha signifikan dalam memartabatkan legasi kepemimpinan beliau. Tanah diluluskan kerajaan negeri di Bertam mempunyai kaitan rapat dengan latar belakang politik beliau sebagai bekas Ahli Parlimen Kepala Batas.
Pemilihan lokasi ini bukan sahaja strategik dari segi pembangunan, malah sarat dengan nilai sentimental kerana kawasan ini ialah antara pusat khidmat dan perjuangan politik beliau selama beberapa dekad.
Tapak cadangan di Vision Park itu juga dekat dengan Masjid Sheikh Abdullah Fahim iaitu datuk Abdullah.
Galeri atau memorial ini dijangka berfungsi sebagai pusat dokumentasi yang menghimpunkan pelbagai bahan berkaitan kehidupan dan kerjaya beliau, termasuk gambar, ucapan, dokumen rasmi serta artifak peribadi.
Melalui pendekatan ini, generasi muda dapat memahami perjalanan kepemimpinan Abdullah dengan lebih dekat, sekali gus menjadikan memorial ini sebagai medium pendidikan sejarah yang interaktif dan bermakna.
Selain itu, ia juga boleh menampilkan sumbangan beliau terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Dari sudut pelancongan, pembinaan memorial ini berpotensi menjadi tarikan baharu di Pulau Pinang, khususnya di Bertam dan Kepala Batas yang sedang pesat membangun. Penambahan sebuah galeri tokoh negara akan memperkayakan lagi landskap pelancongan sedia ada, di samping mengimbangi pembangunan antara kawasan pulau dan tanah besar.
Dalam konteks pembangunan komuniti, projek ini juga mampu merangsang ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan dan aktiviti sokongan seperti perniagaan kecil, pemandu pelancong dan program pendidikan.
Keterlibatan masyarakat setempat dalam pengurusan dan pengisian program memorial akan menjadikan ia lebih inklusif serta memberi rasa memiliki kepada komuniti.
Pembinaan memorial ini bukan sekadar simbol penghargaan, tetapi juga satu pelaburan jangka panjang dalam memelihara sejarah dan inspirasi kepemimpinan Abdullah untuk generasi akan datang.
Abadikan nama pada Institut Islam Hadhari
Ada juga tokoh akademik menyarankan Institut Islam Hadhari diabadikan nama beliau dan cadangan ini mendapat perhatian pelbagai pihak. Langkah itu dilihat selari dengan peranan Abdullah sebagai pengasas gagasan Islam Hadhari yang diperkenalkan pada 2004. Gagasan itu menekankan pembangunan seimbang antara aspek fizikal dan spiritual.
Selain itu, ada juga cadangan menamakan sebuah kolej di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan nama Kolej Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai lambang pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pendidikan tinggi.
Institusi berkaitan tadbir urus dan integriti juga dicadang menggunakan nama Abdullah sebagai platform melahirkan pemimpin berintegriti dan legasi beliau agar terus dekat dengan masyarakat.
Beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengemukakan cadangan menamakan dewan komuniti dan pusat awam sempena nama Abdullah.
Penamaan perpustakaan awam dengan nama beliau turut dilihat wajar selari dengan penekanan beliau terhadap budaya ilmu.
Setahun berlalu, nilai integriti dan kesederhanaan yang dibawa beliau terus relevan. Jasa dan legasi Abdullah akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Penulis adalah Perunding Media Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI)


















