bhrencana@bh.com.my
Rasuah sudah berada dalam manusia, mungkin sejak awal zaman. Ia adalah gejala berakar umbi pada setiap lapisan masyarakat. Ia berkaitan perbuatan memberi, menerima, meminta atau menjanjikan sesuatu ganjaran sama ada wang, hadiah, jawatan, perkhidmatan atau keistimewaan untuk mempengaruhi keputusan atau tindakan seseorang, khususnya mereka yang memegang kuasa atau amanah.
Pengalaman dan pengetahuan penulis mengenai rasuah dan salah guna kuasa bermula di kampung. Semasa zaman kanak-kanak, orang kampung majoritinya bersawah. Kerja ini perlukan bekalan air konsisten. Kerajaan ada keluarkan dana untuk projek pengairan tali air dan pembahagi air untuk pengairan ke sawah.
Cuma di pedalaman macam kampung dan saiz sawah tidak begitu besar, projek pengairan tersusun tidak dibuat kerajaan. Penduduk gotong-royong buat sendiri tali air dan pembahagi air.
Dalam isu rasuah, ia sentuh bagaimana pelaku berasa mereka lebih bijak daripada sistem. Dalam projek bina pembahagi air dan tali air sawah umpamanya, sekumpulan penduduk 'bijak pandai' putuskan untuk jual sebahagian simen diterima. Dapatlah duit poket sikit, kerana tahu sajalah keadaan kemiskinan pada zaman itu memang sungguh parah.
Tapi ada juga yang tidak setuju kerana tahu akibatnya pembahagi air akan tidak cukup kuat dan bertahan. Bapa penulis termasuk kumpulan tidak setuju. Akibatnya berlaku 'pemulauan mini'. Perkara ini masih berlaku dalam jabatan dan agensi dewasa ini, mereka yang tidak mahu terima 'bahagian' dilihat sebagai 'pengacau' sistem dan terdedah kepada bahaya.
Seperti dijangka selepas dua tahun, pembahagi air pecah, sekali gus menjejaskan bekalan air ke bendang. Akhirnya penduduk tidak bersawah lagi sejak 1981. Tanah sawah kemudian menjadi pusaka bertukar jadi kebun sawit dan yang lain tanam getah atau durian.
Memasuki alam pekerjaan, baru dapat melihat gejala rasuah dan salah guna kuasa berlaku menerusi projek awam. Pelbagai pihak akan ambil bahagian daripada peruntukan projek diumumkan kerajaan. Projek infrastruktur awam seperti jalan, lebuh raya, bangunan serta projek tenaga dan telekomunikasi adalah lubuk rezeki 'penyakau'.
Kaedah ambil bahagian daripada projek ini, sudah tentulah menyebabkan projek jadi kurang berkualiti tetapi dikatakan menjadi cara mudah untuk ahli politik mencari dana. Hinggakan ramai tahu gerak kerja sistem adalah jangan buat bagi tahan lama, nanti tiada projek baharu sekali gus tiada 'kesan limpahan' ekonomi.
Daripada kaedah inilah, menyertai parti politik berkuasa adalah cara mudah untuk hidup senang dan ada penyokong. Seorang rakan lulusan undang-undang, berhenti jadi peguam sejak kenal politik pada peringkat EXCO bahagian.
Menang sahaja EXCO bahagian dapat beberapa projek kecil termasuk potong rumput di klinik kesihatan dan pencawang tenaga di bahagian.
Malah, ketika mengikuti program menyelam di Pulau Lang Tengah, Terengganu sekitar 2011, terjumpa seorang bekas ketua bahagian di negeri itu mengaku, dapat projek untuk ada dana jaga anak buah adalah amalan biasa. Menceritakan kisahnya dapat projek besar RM60 juta pasang kabel gentian optik, beliau memberitahu dapat panggilan seorang menteri ketika itu dengan kata: "Demo buat projek ni kalau tadok pitih macam mana nak jaga anak buoh".
Akan tetapi, kaedah dapat 'bahagian' daripada projek prasarana awam nampak semacam berundur menjelang 2008-2009. Ada pimpinan lebih savvy berpandangan kaedah itu tidak berdaya tahan.
Baginya ada kaedah lebih baik iaitu dapatkan dana menerusi syarikat 'lembu tunai' dikawal kerajaan. Beli aset dan buat hutang atas nama syarikat dan 'sakau' untuk duit politik dari situ.
Namun, apabila aset syarikat sudah tidak berkualiti dan mapan, sudah tentulah yang nampaknya hanya 'gelembung hutang' seperti bangkai gajah tidak boleh lagi sekadar ditutup dengan daun pisang.
Negara rugi RM277b dalam tempoh lima tahun
Rasuah memang bahana besar kepada negara. Mengikut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hingga November 2025, ia dapat memulihkan aset, sitaan dan pelucuthakan bernilai lebih RM8.4 bilion dengan rampasan terbesar membabitkan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membabitkan RM169 juta dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, negara kerugian RM277 bilion dalam tempoh lima tahun akibat jenayah rasuah.
Statistik itu direkodkan bagi tempoh 2018 hingga 2023 berdasarkan anggaran kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Angka itu bersamaan purata RM55 bilion setahun dan merupakan jumlah yang amat membimbangkan.
Kajian EMIR Research pada 2023 yang turut mengambil kira beberapa sumber data laporan terbuka, menganggarkan kerugian akibat rasuah mencecah RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun, antara tahun 1997 hingga 2022.
Rasuah bukan sekadar memberi implikasi kepada negara bahkan menyebabkan:
Kerugian besar kepada ekonomi negara RM8.4 bilion dipulihkan menunjukkan skala ketirisan dana awam akibat rasuah.Kesan reputasi antarabangsa Kes membabitkan bekas Perdana Menteri menjejaskan imej Malaysia dalam aspek tadbir urus.Peningkatan keberkesanan SPRM Operasi besar-besaran 2025 dianggap antara paling signifikan dalam sejarah, menandakan komitmen kerajaan MADANI membanteras rasuah.
Berdasarkan perkembangan terkini, rasuah menunjukkan:
Trend meningkat Nilai rampasan dan aset dipulihkan semakin besar, menunjukkan rasuah sudah berakar dalam sektor politik dan ekonomi.Cabaran berterusan Walaupun jumlah rampasan tinggi, kerugian sebenar kepada negara mungkin lebih besar kerana sebahagian dana tidak dapat dipulihkan.
Penulis adalah Pengarang Berita Kanan, Digital BH
























