BH Online
Ringkasan Berita

Ubah semula kaedah memahami pemikiran penjenayah kolar putih

Dari sudut kriminologi, Rational Choice Theory menyatakan penjenayah kolar putih melakukan jenayah biasanya tidak bertindak secara spontan, tetapi berfikir dan merancang terlebih dahulu serta menimbang potensi keuntungan berbanding risiko sebelum bertindak.
Ubah semula kaedah memahami pemikiran penjenayah kolar putih

Foto hiasan.

bhrencana@bh.com.my

Dari sudut kriminologi, Rational Choice Theory menyatakan penjenayah kolar putih melakukan jenayah biasanya tidak bertindak secara spontan, tetapi berfikir dan merancang terlebih dahulu serta menimbang potensi keuntungan berbanding risiko sebelum bertindak.

Penjenayah kolar putih biasanya berhadapan dengan dilema dalam sesuatu tindakan. Jika mereka mengambil peluang terbabit dalam rasuah, mereka mungkin mendapat kekayaan wang, kedudukan tinggi, keselesaan dan rangkaian hubungan dengan orang berstatus tinggi, tetapi mereka juga berdepan risiko ditangkap, dihukum, rasa bersalah serta kehilangan reputasi.

Sebaliknya, jika menolak rasuah, mereka mungkin tidak mendapat keuntungan segera, tetapi akan memperoleh ketenangan fikiran, kerjaya lebih stabil, kepuasan kerana bersikap jujur, dan penghormatan masyarakat.

Seorang eksekutif korporat mungkin memanipulasi akaun syarikat untuk menunjukkan keuntungan lebih tinggi atau memperoleh bonus, terutama apabila mereka merasakan risiko untuk dikesan adalah rendah.

Dalam keadaan ini, mereka melihat manfaat bakal diperoleh lebih besar daripada risikonya. Begitu juga di Malaysia pada 2026, seorang pegawai kanan kerajaan didakwa atas kesalahan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan kira-kira RM5 juta daripada dana kebajikan.

Dalam kes lain, seorang lagi pegawai didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram melebihi RM2 juta. Kedua-dua kes ini masih dalam perbicaraan di mahkamah. Dari sudut analisis kos-faedah, mereka mungkin melakukan perbuatan berkenaan kerana merasakan keuntungan kewangan dan kedudukan lebih besar berbanding risiko seperti dikesan, didakwa atau kehilangan kerjaya.

Namun apabila kes terbongkar, mereka berdepan tindakan undang-undang dan kerosakan reputasi.

Bagi menghapuskan rasuah dalam institusi awam di negara ini, organisasi perlu mengubah cara berfikir dan amalan lama melalui proses organizational unlearning dan re-learning. Unlearning ialah membuang atau meninggalkan perkara dan tabiat lama yang salah, manakala relearning pula belajar semula perkara betul atau berintegriti.

Menurut Hendi Yogi Prabowo (Journal of Financial Crime) dan Jack Mezirow (Transformative Learning Theory) unlearning bermaksud meninggalkan amalan rasuah atau pendekatan lama tidak berkesan dan menggantikannya dengan nilai integriti serta tadbir urus lebih baik bagi membantu organisasi menyesuaikan diri dengan perubahan.

Untuk berkesan, unlearning dan re-learning memerlukan dua aspek. Pertama, tadbir urus manusia untuk mengubah pemikiran dan tingkah laku staf, manakala kedua, tadbir urus struktur supaya mengemas kini sistem dan proses supaya keputusan etika dapat dibuat dengan lebih kukuh.

Proses unlearning dipengaruhi cara didikan, asuhan, rakan sebaya dan pendidikan, kerana semua ini membentuk tabiat, nilai dan kepercayaan awal kita. Ia dipupuk sejak kecil lagi. Kanak-kanak mempelajari tingkah laku dan prinsip moral daripada penjaga mereka, tetapi sesetengah tabiat seperti tidak jujur atau pilih kasih perlu dibuang supaya tingkah laku lebih beretika, walaupun ia sukar untuk dipulih.

Bimbing individu tinggalkan amalan lama

Program pendidikan dan latihan efektif juga membantu unlearning dan re-learning dengan membimbing individu meninggalkan amalan lama yang tidak sesuai dan menggantikannya dengan kejujuran, integriti, akauntabiliti serta kemahiran berfikir kritis.

Pengalaman awal membentuk cara kita berfikir dan sebagai orang dewasa, kita mungkin masih mengekalkan tabiat lama. Untuk berkembang dan memperbaiki diri, kita perlu belajar dan terima melepaskan apa yang sudah kita pelajari sebelum ini.

Unlearning penting kerana pengetahuan lama juga boleh menjadi tidak relevan lagi. Contohnya, apa yang saya pelajari dalam sarjana kriminologi 40 tahun lalu di Universiti Detroit akan usang tanpa dikemas kini dan membuang konsep lama.

Konsep learn, unlearn and relearn menjadi semakin penting apabila teknologi sentiasa berubah dengan pantas dan menguasai literasi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Proses unlearning sepanjang hayat membantu individu bertindak secara beretika. Ini sangat penting bagi penjenayah kolar putih, yang perlu meninggalkan amalan tidak beretika sebelum ini untuk berubah dan mengamalkan tingkah laku beretika.

Budaya kepemimpinan korup menjadikan tingkah laku tidak beretika kelihatan normal dengan pemimpin menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri. Oleh itu, organisasi perlu membuang amalan lama berbahaya dan menggantikannya dengan kepemimpinan beretika, akauntabiliti dan integriti.

Organizational unlearning ialah proses sengaja meninggalkan pengetahuan, rutin, atau andaian lama supaya organisasi dapat mengamalkan cara lebih berkesan.

Di negara ini, skandal 1MDB yang berbilion wang didakwa disalahgunakan, menunjukkan kepentingan unlearning organisasi. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini meningkatkan penggunaan teknologi canggih, termasuk AI, data raya dan forensik digital untuk mengesan dan memerangi penipuan kewangan serta rasuah yang semakin kompleks.

Contoh lain termasuk syarikat terbabit dalam skandal Enron, yang mula meninggalkan bergantung hanya kepada laporan dalaman dan mula menggunakan audit bebas, kawalan kewangan lebih kukuh dan perakaunan forensik.

Begitu juga jabatan kerajaan yang sebelum ini bergantung kepada semakan manual dokumen, terpaksa meninggalkan kaedah lama dan mengadaptasi digitalisasi, meningkatkan ketelusan, automasi proses dan menggunakan analitik data untuk mengesan penipuan, rasuah dan kebocoran.

Dalam sektor kewangan, bank kini beralih daripada hanya bertindak selepas aduan pelanggan kepada penggunaan pemantauan masa nyata berasaskan AI, analitik tingkah laku dan pengesahan berbilang faktor untuk mengesan anomali. Peralihan ini memerlukan meninggalkan kaedah lama yang reaktif.

Begitu juga, organisasi beralih daripada perakaunan berasaskan kertas ke sistem awam perlu unlearn proses manual untuk menggunakan alat digital dengan berkesan.

Disyorkan agar Certified Integrity Officers (CeIOs) sentiasa mengemas kini pengetahuan mengenai integriti dan tadbir urus melalui Continuing Professional Education (CPE) bagi mengekalkan dan relevan kelayakan mereka.

Contohnya, Certified Fraud Examiners (CFEs) perlu memperoleh sekurang-kurangnya 20 kredit CPE setiap tahun berkaitan penipuan, dengan sekurang-kurangnya 2 kredit khusus untuk etika.

Kesimpulannya, jenayah kolar putih boleh dikurangkan melalui etika, unlearning–relearning, dan komitmen yang kuat untuk menegakkan integriti serta tadbir urus bersih.

Profesor Kriminologidi Universiti HELP

Video Terkini

Berita Berkaitan