DESAS-DESUS kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan lebih awal bukan muncul tiba-tiba. Polemik seperti ini lazimnya timbul apabila terdapat perbincangan mengenai momentum politik, kekuatan kerajaan semasa serta dinamika hubungan antara parti bertanding.
Polemik ini menjadi lebih menarik di Johor kerana ia berlaku ketika negeri ini sedang menunjukkan tanda-tanda pembangunan semakin rancak.
Kenyataan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bahawa fokus kerajaan negeri kekal kepada pembangunan dan kebajikan rakyat memberikan satu mesej jelas bahawa keutamaan pentadbiran negeri bukanlah pilihan raya, tetapi memastikan hasil pembangunan dapat dirasai.
Persoalan lebih penting bukan sama ada PRN akan berlaku atau tidak, tetapi jika pilihan raya lebih awal, apakah sebenarnya akan dinilai penduduk Johor?
Antara perkembangan paling menonjol dalam ekonomi Johor ialah momentum pelaburan berjaya dibawa masuk. Johor mencatatkan pelaburan terkumpul 2025 sekitar RM110 bilion, satu angka bukan sahaja membanggakan, malah antara pencapaian tertinggi pernah direkodkan sesebuah negeri.
Seba hagian besar momentum ini turut dipacu kemunculan Johor sebagai hab pusat data berskala besar di Asia Tenggara. Kawasan seperti Sedenak Tech Park, Iskandar Puteri, Nusajaya dan Kulai muncul sebagai lokasi strategik pembangunan pusat data yang menyokong ekonomi digital global.
Pelaburan syarikat teknologi antarabangsa ini membawa kesan besar kepada ekosistem ekonomi negeri daripada peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan industri sokongan, peningkatan hasil cukai hingga pengukuhan kedudukan Johor sebagai pusat ekonomi digital serantau.
Dalam ekonomi masa depan, pusat data kini menjadi infrastruktur penting kepada dunia digital sama seperti pelabuhan dan lebuh raya dalam ekonomi tradisional.
Perkembangan ini memberi gambaran Johor bukan sekadar berkembang dari segi pembangunan fizikal, tetapi sedang bergerak ke arah ekonomi digital bertaraf global.
Selain membawa masuk pelaburan baharu, kerajaan negeri juga dilihat memberi perhatian kepada penyelesaian beberapa isu yang sekian lama membelenggu pembangunan negeri.
Usaha mempercepat penyelesaian projek perumahan terbengkalai serta memperkukuh infrastruktur negeri memberi gambaran pentadbiran bukan sekadar mengumumkan projek baharu, tetapi turut berusaha menyelesaikan masalah lama diwarisi.
Bagi rakyat yang menunggu rumah bertahun-tahun, penyelesaian seperti ini membawa makna jauh lebih besar daripada sekadar pengumuman pembangunan baharu.
Dalam politik pembangunan, rakyat biasanya tidak menilai kerajaan berdasarkan janji semata-mata, tetapi keupayaan menyelesaikan masalah lama tertangguh.
Pada peringkat rakyat, antara inisiatif paling dirasai ialah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang memberi bantuan kewangan kepada ramai penduduk memerlukan, khususnya golongan berpendapatan rendah serta keluarga berdepan tekanan kos sara hidup.
Dalam keadaan ekonomi mencabar, bantuan seperti ini memberi kelegaan nyata kepada ramai keluarga.
Ia juga memberi gambaran agenda pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada pelaburan besar, tetapi turut menyentuh kehidupan rakyat pada peringkat akar umbi.
Johor juga memberi perhatian kepada pembangunan modal insan melalui pendekatan pendidikan seperti Sekolah Rintis Bangsa Johor.
Inisiatif ini memberi penekanan kepada pembentukan generasi muda bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, bahkan memiliki jati diri serta nilai kepemimpinan kuat.
Pelaburan jangka panjang penting
Bagi negeri yang sedang berkembang pesat seperti Johor, pelaburan kepada generasi muda sebenarnya menjadi pelaburan jangka panjang sangat penting.
Walaupun pembangunan pesat sering dikaitkan dengan wilayah selatan seperti Iskandar Malaysia, perhatian terhadap pembangunan negeri sebenarnya turut merangkumi daerah lain.
Daerah seperti Muar dan Batu Pahat terus berkembang sebagai pusat industri tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Kluang dan Segamat pula semakin mendapat perhatian dalam pembangunan bandar serta sektor agro dan industri makanan. Sementara itu, Mersing dan Kota Tinggi memiliki potensi besar dalam sektor pelancongan alam semula jadi dan ekopelancongan.
Pendekatan pembangunan menyentuh pelbagai wilayah ini penting kerana kekuatan Johor sebenarnya terletak pada keseimbangan pembangunan di seluruh negeri.
Satu lagi contoh menarik ialah usaha menyegarkan ikon negeri seperti Zoo Johor, iaitu bukan sekadar tarikan pelancongan, tetapi sebahagian sejarah dan identiti negeri. Usaha menaik taraf serta membuka semula zoo ini memberi gambaran pembangunan negeri juga membabitkan usaha memelihara warisan dan kebanggaan Johor.
Bagi ramai rakyat Johor, langkah seperti ini mempunyai nilai simbolik tersendiri.
Pada masa sama, Johor juga memberi perhatian kepada pembangunan kerohanian masyarakat melalui program seperti Semarak Subuh menggalakkan masyarakat mengimarahkan masjid.
Dalam masyarakat Melayu-Islam, keseimbangan antara pembangunan material dan pengukuhan nilai spiritual sering menjadi asas kepada kestabilan sosial jangka panjang.
Dalam era media sosial hari ini, setiap pencapaian kerajaan tidak lagi dinilai hanya melalui laporan rasmi, tetapi perbincangan rakyat di Facebook, TikTok dan pelbagai platform digital.
Media sosial menjadikan politik lebih terbuka, tetapi juga lebih kritikal. Menariknya, kelihatan seolah-olah pembangkang dan pengkritik berdepan kesukaran menawarkan naratif alternatif lebih meyakinkan.
Dalam keadaan ini, perdebatan politik sering kembali kepada satu persoalan asas: sejauh mana kerajaan negeri mampu mengekalkan momentum pembangunan sedang berlaku.
Jika PRN Johor benar-benar berlaku lebih awal, penduduk Johor akan membuat pilihan berdasarkan penilaian terhadap kepemimpinan, pembangunan serta hala tuju masa depan negeri.
Dalam demokrasi matang, pilihan raya bukan sekadar pertandingan parti atau slogan politik, tetapi saat rakyat menilai kerja dilakukan, arah dituju dan keyakinan terhadap masa depan.
Johor hari ini sedang bergerak dalam satu momentum pembangunan yang menarik perhatian banyak pihak.
Penulis adalah Pakar Tingkah Laku Politik Media Sosial dan Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Sistem Maklumat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
























