bhrencana@bh.com.my
Malaysia memasuki suku kedua 2026 pada satu titik perubahan politik-ekonomi yang mana kestabilan makroekonomi secara keseluruhannya kekal utuh, namun wacana nasional beralih secara jelas kepada isu kredibiliti, keupayaan penyampaian institusi dan penyelarasan politik.
Negara tidak lagi beroperasi dalam persekitaran ditentukan oleh kerapuhan makroekonomi atau pengurusan krisis. Sebaliknya, perhatian kini tertumpu kepada isyarat reformasi tadbir urus, kekukuhan gabungan politik, hala tuju dasar perindustrian serta keupayaan institusi menterjemahkan pengumuman dasar kepada hasil boleh diukur.
Bagi pembuat dasar dan pelabur, persoalan utama bukan lagi sama ada Malaysia mempunyai potensi ekonomi, tetapi sama ada jentera institusi mampu menukar cita-cita dasar kepada pelaksanaan berwibawa dan tepat pada masanya.
Perkembangan paling penting muncul di Parlimen pada 2 Mac lalu apabila pindaan Perlembagaan mencadangkan had tempoh 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri gagal diluluskan.
Usul itu memperoleh 146 undi, hanya kurang dua undi daripada majoriti dua pertiga diperlukan bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan, manakala 44 ahli Parlimen berkecuali dan 32 lagi tidak hadir.
Cadangan itu dibentangkan sebagai langkah mengelakkan penumpuan kuasa Eksekutif berlebihan serta memperkukuh kematangan institusi. Namun, keputusan legislatif itu turut menonjolkan kerumitan menterjemahkan naratif tadbir urus kepada perubahan Perlembagaan.
Dari sudut pasaran, reformasi institusi bukan sekadar simbol. Apabila inisiatif reformasi gagal mencapai matlamatnya, pasaran lazimnya menilai naratif dasar dengan lebih berhati-hati.
Ketegangan politik turut meningkat susulan kontroversi berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). DAP pula sedang menilai semula beberapa aspek hubungan jangka panjangnya dalam Kerajaan Perpaduan kerana ketidakpuasan hati terhadap pengurusan dakwaan membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Parti berkenaan tidak memberi isyarat untuk menarik diri daripada kerajaan, namun episod ini menggambarkan keseimbangan halus diperlukan bagi mengekalkan kerjasama dalam sistem Parlimen berbilang parti Malaysia. Politik gabungan pada masa ini berfungsi sebagai mekanisme penstabil, pada masa sama, boleh menjadi punca geseran.
Persekitaran politik turut menjadi lebih rumit selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wujud usaha terancang untuk menggugat kerajaan dan melemahkan institusi negara.
Maklumat menunjukkan pihak berkuasa sedang menyiasat seorang suspek dikaitkan dengan kempen membabitkan sebuah firma perhubungan awam antarabangsa yang didakwa cuba mempengaruhi media asing, bank dan ahli politik. Sama ada siasatan ini akan berkembang menjadi pertikaian undang-undang yang lebih luas, masih belum pasti.
Namun, episod ini mencerminkan perubahan lebih besar dalam naratif politik Malaysia. Kredibiliti tadbir urus kini semakin dipengaruhi persepsi terhadap legitimasi institusi, bukan sekadar persaingan partisan.
Perkukuh naratif pelaburan Malaysia
Isyarat paling menenangkan minggu ini datang dari Bank Negara Malaysia (BNM) apabila Jawatankuasa Dasar Monetari mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Keputusan itu mengukuhkan strategi terkini bahawa kestabilan monetari berfungsi sebagai sauh makroekonomi sementara fasa pertumbuhan seterusnya perlu digerakkan melalui pelaksanaan struktur.
Satu lagi isyarat ekonomi menggalakkan datang daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang mengumumkan pada 6 Mac lalu Malaysia mencatat RM426.7 bilion pelaburan diluluskan bagi 2025.
Angka itu mewakili peningkatan 11 peratus berbanding tahun sebelumnya dan merangkumi 8,390 projek dijangka menjana kira-kira 244,902 peluang pekerjaan. Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah muncul sebagai destinasi pelaburan utama.
Pencapaian ini mengukuhkan naratif pelaburan Malaysia dan menyerlahkan daya tarikan ekosistem perindustrian negara. Namun, kelulusan pelaburan hanya peringkat awal kitaran pelaburan.
Pasaran akan menilai dengan teliti kadar realisasi, termasuk kesiapsiagaan tanah, infrastruktur utiliti, kelulusan kawal selia, bekalan bakat dan integrasi rantaian bekalan.
Isyarat kestabilan tambahan turut muncul daripada ekosistem pelaburan berkaitan kerajaan. Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) melaporkan keuntungan operasi RM5.6 bilion bagi 2025 berbanding RM5.1 bilion pada tahun sebelumnya, manakala nilai aset bersih meningkat kepada RM105 bilion.
Sumbangan dividennya kepada kerajaan meningkat dua kali ganda kepada RM2 bilion. Prestasi ini mengukuhkan persepsi fiskal serta menunjukkan ketahanan modal negara apabila diurus dengan strategi portfolio berdisiplin.
Sementara itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.2 peratus pada 2025, dengan pertumbuhan suku keempat meningkat kepada 6.3 peratus tahun ke tahun. Inflasi meningkat secara sederhana kepada 1.6 peratus pada Januari lalu manakala kadar pengangguran kekal rendah pada 2.9 peratus pada Disember 2025.
Prestasi perdagangan juga terus menunjukkan daya tahan. Data Januari lalu mencatat jumlah perdagangan RM272.4 bilion, eksport meningkat kepada RM146.9 bilion, import kepada RM125.5 bilion dan lebihan perdagangan melebar kepada RM21.4 bilion.
Secara keseluruhan, petunjuk ini mengesahkan Malaysia memulakan 2026 dengan asas makroekonomi kukuh, bukan tanda tekanan ekonomi.
Prestasi mata wang turut mencerminkan kestabilan ini. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan ringgit mengukuh sebanyak 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 1 Mac lalu.
Kadar rujukan dolar dengan ringgit berada pada paras 3.9489 pada 6 Mac, manakala jumlah dagangan pertukaran asing harian mencecah sekitar AS$20.22 bilion.
Analisis pasaran menunjukkan minat pelabur asing terhadap aset Malaysia semakin meningkat, disokong dengan dasar monetari stabil, prestasi perdagangan kukuh dan aliran pelaburan berterusan.
Satu lagi perkembangan penting dasar perindustrian muncul apabila lesen operasi Lynas Rare Earths diperbaharui selama 10 tahun lagi pada 2 Mac. Pembaharuan ini membenarkan aktiviti import dan pemprosesan diteruskan dengan syarat berkaitan pengurusan sisa serta sokongan kepada pembangunan industri nadir bumi tempatan melalui perbelanjaan penyelidikan.
Keputusan itu mengukuhkan aspirasi Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam rantaian bekalan mineral kritikal global sambil mengekalkan pengawasan alam sekitar dan kawal selia.
Secara keseluruhan, perkembangan ini menunjukkan tema utama Malaysia bagi 2026. Kestabilan makroekonomi kekal kukuh, namun pasaran semakin memilih dalam menilai kredibiliti tadbir urus dan pelaksanaan institusi.
Penulis adalah Pemerhati ekonomi dan politik bebas
























