BH Online
Ringkasan Berita

Kudis rasuah dalam Taskaree, kita perlu ramai 'Prakash Kumar'

Berlatarbelakangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj di Mumbai, Taskaree membawa maksud penyeludupan, memaparkan betapa sistematiknya kegiatan menyeludup emas dan dadah berakar umbi. Bukan kecil-kecilan, tetapi berskala industri.
Kudis rasuah dalam Taskaree, kita perlu  ramai 'Prakash Kumar'

Pegawai AKPS perlu mempunyai integriti tinggi bagi menepis sebarang sogokan ketika menjalankan tugas. - Foto hiasan

adha@bh.com.my

Berlatarbelakangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj di Mumbai, Taskaree membawa maksud penyeludupan, memaparkan betapa sistematiknya kegiatan menyeludup emas dan dadah berakar umbi. Bukan kecil-kecilan, tetapi berskala industri.

Dalam siri ini, sindiket diketuai Bada Choudhary menggunakan satu senjata paling ampuh iaitu wang. Pegawai kastam korup dijadikan talian hayat operasi. Digambarkan kerajaan kerugian sehingga 400 bilion rupee (lebih RM17 bilion) setahun akibat penyeludupan. Angka bukan sekadar nombor, tetapi simbol kebocoran berdarah setiap hari.

Bab penyeludupan emas digarap cukup terperinci. Emas dileperkan nipis, disalut bahan tertentu, disembunyikan pada tubuh sama ada di pinggang, paha, malah ditelan dalam kapsul khas. Dadah pula disorok dalam barangan harian, makanan, komponen elektronik. Kreativiti jenayah memang tak pernah kering idea.

Apa pun, teknik sorok barang hanyalah separuh cerita. Separuh lagi, yang lebih menakutkan, bagaimana sindiket manipulasi manusia.

Sindiket Bada Choudhary tidak bergantung nasib, sebaliknya pada orang dalam. Ada pegawai 'tutup mata' apabila kurier tertentu melintas kaunter. Ada yang membocorkan maklumat tentang operasi mengejut. Lebih licik, jadual penyeludupan diselaraskan dengan syif pegawai yang sudah 'dijinakkan'.

Taktik ini mengingatkan kepada kegiatan counter setting yang pernah dibongkar di tempat kita. Sindiket menyusun ketibaan penumpang mengikut pegawai bertugas di kaunter tertentu. Jika pegawai itu ada, laluan 'hijau'. Jika tidak, penerbangan ditunda atau orangnya ditukar. Ini bukan lagi jenayah rambang. Ini ekosistem.

Melalui Taskaree struktur rasuah digambarkan tersusun. Ada carta organisasi pegawai korup, siapa yang melindungi siapa, siapa terima berapa dan siapa lapor kepada siapa. Rasuah tidak lagi bersifat individu. Ia jadi budaya.

Inilah bahagian paling tidak selesa untuk kita tonton kerana cabaran seperti ini bukan bersifat eksklusif untuk satu negara. Di mana-mana sekalipun, apabila rasuah mula membabitkan bukan sahaja penguat kuasa bawahan tetapi pegawai kanan dan ketua jabatan, kerja pembersihan menjadi sangat sukar.

Setiap siasatan boleh bocor. Setiap usaha dalaman boleh disabotaj. Lebih parah jika ada campur tangan politik. Sindiket tahu satu perkara mudah. Selagi ada perlindungan di atas, operasi di bawah akan terus berjalan.

Di pintu masuk negara baik lapangan terbang, pelabuhan atau sempadan darat, kebocoran kecil sudah cukup membuka laluan kepada jenayah rentas sempadan bernilai jutaan ringgit. Kita bercakap mengenai emas, dadah, wang haram, tetapi di hujungnya, ia soal keselamatan dan maruah negara.

Namun Taskaree tidak membiarkan kita tenggelam dalam sinis. Di tengah sistem yang rosak, muncul watak Asisten Komisioner Prakash Kumar lakonan Anurag Sinha dan Superintendan Arjun Meena dibawakan Emraan Hashmi.

Mereka bukan sempurna. Mereka ditekan, dipindahkan dan diugut, namun mereka enggan tunduk. Bersama pasukan kecil yang setia, mereka menyusun operasi balas, memerangkap dalang dan membongkar jaringan yang selama ini kebal.

Rampasan emas dan dadah bernilai besar menjadi simbol bahawa sistem walaupun retak, masih boleh diperbaiki jika ada keberanian moral.

Mesej paling penting ditunjukkan Taskaree ialah bukan semua pegawai boleh dibeli dan bukan semua sistem mustahil dibersihkan.

Godaan wang segera

Di negara kita hari ini ada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang memikul tanggungjawab besar mengawal pintu masuk negara. Beban mereka bukan kecil - operasi 24 jam, jumlah penumpang yang meningkat, tekanan kerja yang tinggi, godaan wang segera yang boleh mengubah hidup dalam sekelip mata.

Kita tidak naif. Dalam mana-mana organisasi pasti ada 'duri dalam daging'. Sejarah juga menunjukkan kita tidak kebal daripada skandal. Tetapi pada masa sama, kita tahu ramai pegawai berintegriti bekerja dalam diam, yang menolak sogokan, sanggup dipinggirkan kerana enggan berkompromi.

Apa yang kita perlukan mungkin bukan sekadar sistem baharu, tetapi jiwa sekental watak dalam Taskaree, yang tegas tidak memilih bulu, berani memecahkan rangkaian rasuah walaupun melibatkan orang sendiri.

Disokong pemantauan dalaman yang bebas, penggiliran syif yang telus dan penggunaan teknologi seperti analitik data serta pengawasan pintar, ruang manipulasi boleh dikecilkan.

Perlu diingat sindiket hidup atas dua perkara iaitu peluang dan perlindungan. Jika peluang ditutup dengan sistem yang cekap, dan perlindungan pula dihancurkan dengan tindakan tegas tanpa kompromi, sindiket akan lemas dengan sendirinya.

Akhirnya, Taskaree mengingatkan kita bahawa rasuah bukan cerita fiksyen. Ia boleh menyelinap masuk melalui pintu ketibaan, tersorok dalam beg kabin, atau lebih bahaya, bersembunyi dalam hati manusia yang hilang integriti.

Soalnya, adakah kita sekadar penonton, atau kita benar-benar mahu memastikan episod gelap ini tidak menjadi realiti di tanah air sendiri?

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Video Terkini

Berita Berkaitan