BH Online
Ringkasan Berita

Perjuangan Tabung Haji bukan untuk dipolitikkan

PERDEBATAN politik mutakhir sekali lagi meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam perhatian umum. Malangnya, sebahagian besar perbincangan lebih dipengaruhi naratif politik daripada fakta objektif.
Perjuangan Tabung Haji bukan untuk dipolitikkan

Perjalanan TH bukan sesuatu untuk dipolitikkan, ia institusi mempunyai keberanian melakukan transformasi, daya tahan untuk pulih, serta disiplin membina semula dengan lebih kukuh berbanding sebelumnya. - Foto NSTP

PERDEBATAN politik mutakhir sekali lagi meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam perhatian umum. Malangnya, sebahagian besar perbincangan lebih dipengaruhi naratif politik daripada fakta objektif.

Sebagai institusi diamanahkan menjaga simpanan lebih sembilan juta pendeposit, TH sewajarnya dinilai berdasarkan fakta, prestasi dan keupayaannya memelihara amanah jutaan pendeposit, bukan melalui persepsi atau naratif politik.

Lebih enam dekad lamanya, TH memainkan peranan unik di Malaysia. Ia bukan sekadar institusi kewangan, tetapi institusi nasional ditubuhkan bagi membolehkan umat Islam menabung secara sistematik untuk menunaikan haji menurut prinsip syariah.

Pada masa sama, TH turut memikul tanggungjawab dasar awam lebih luas, sambil kekal bertanggungjawab melindungi kepentingan jutaan pendeposit.

Justeru, penting untuk membezakan antara keputusan dasar dibuat dari semasa ke semasa dengan kewajipan statutori TH untuk memastikan kelestarian kewangannya dalam jangka panjang.

Keadaan membawa kepada penstrukturan semula TH pada 2018 didokumentasikan secara jelas oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) serta semakan bebas.

Laporan terbabit mengenal pasti kelemahan dalam tadbir urus, pelaporan kewangan dan pematuhan kepada Akta Tabung Haji memerlukan tindakan pembetulan tegas.

Penstrukturan semula itu bukan bertujuan melemahkan Tabung Haji sebaliknya bagi memelihara kelangsungan institusi ini demi kepentingan pendeposit dan bakal jemaah haji untuk generasi akan datang.

Kini, perbincangan mengenai TH seharusnya beralih daripada polemik politik kepada hasil boleh diukur, tadbir urus lebih mantap serta strategi jangka panjang membolehkan lebih ramai rakyat bersedia dari segi kewangan untuk menunaikan haji secara bertanggungjawab dan mampan.

Melalui inisiatif seperti kempen Menuju Istito'ah, TH menggalakkan umat Islam mula menabung lebih awal supaya bersedia dari segi kewangan apabila tiba giliran menunaikan haji.

Penekanan pada hari ini bukan sekadar menabung, tetapi memastikan setiap bakal jemaah memenuhi prinsip istito'ah iaitu keupayaan dan kesediaan menunaikan haji secara bertanggungjawab.

TH ditadbir mengikut Akta Tabung Haji, menetapkan aset mesti melebihi liabiliti sebelum sebarang agihan keuntungan boleh diisytiharkan.

Peruntukan statutori ini memastikan agihan keuntungan disokong prestasi kewangan sebenar, bukan pelarasan perakaunan atau amalan tidak mampan.

Kerangka tadbir urus diperkukuh selepas penstrukturan semula turut meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, pengurusan risiko dan pengawasan pelaburan, bagi memastikan kesilapan lampau tidak berulang.

Hari ini, aset TH jauh melebihi liabilitinya, mencerminkan kunci kira-kira lebih sihat, tadbir urus yang lebih mantap serta daya tahan kewangan lebih kukuh.

Penyingkiran kelemahan struktur lampau telah membolehkan institusi ini memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang berbanding tekanan kewangan jangka pendek.

Hasilnya, TH kini berada pada kedudukan lebih baik untuk melindungi simpanan pendeposit, menguruskan ketidaktentuan pasaran serta mengejar peluang pelaburan mampan bagi manfaat generasi akan datang.

Salah satu hasil paling penting reformasi ini adalah agihan keuntungan pada hari ini disokong pendapatan pelaburan direalisasikan.

Berbeza dengan kebimbangan dibangkitkan sebelum ini, agihan dividen pada hari ini berasaskan pendapatan sebenar dijana melalui pengurusan pelaburan berhemat.

Walaupun pulangannya tidak selalu tertinggi di pasaran, ia mampan, telus dan selaras sepenuhnya dengan pengurusan kewangan berhemat serta prinsip syariah.

Lebih penting, pulangan turut menunjukkan peningkatan membanggakan, daripada 1.25 peratus bagi Tahun Kewangan 2018 kepada 3.05 (2019), 3.10 peratus (2020) sehingga 2023, 3.25 peratus bagi 2024 dan seterusnya 3.50 peratus pada 2025.

Ini mencerminkan pemulihan kewangan institusi berterusan serta keupayaan penjanaan pendapatan semakin kukuh.

Keputusan sukar terpaksa dibuat bagi memulihkan kesihatan kewangan institusi ini. Pemindahan aset kurang berprestasi, disertai dengan tadbir urus diperkukuh, pengurusan risiko lebih baik dan amalan pelaburan lebih berdisiplin, mewujudkan asas pertumbuhan mampan.

Reformasi ini memulihkan kestabilan kewangan, mengukuhkan keyakinan pendeposit dan membolehkan TH memberi tumpuan kepada penyampaian nilai jangka panjang, berbanding menguruskan cabaran warisan lampau.

Hari ini, TH berada pada kedudukan jauh lebih kukuh untuk memenuhi mandat berkembarnya, iaitu melindungi simpanan pendeposit sambil menyokong pentadbiran haji negara.

Pemulihan kewangan tidak menentukan kejayaan sesebuah institusi. Sama pentingnya adalah kualiti perkhidmatan disampaikan kepada jemaah haji Malaysia.

Pada tahun ini, TH menerima Anugerah Labaytum Diamond 2026 berprestij daripada Kementerian Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi, menandakan tahun kedua berturut-turut menerima pengiktirafan antarabangsa tertinggi dan paling terhormat ini, serta anugerah Labaytum kelima diterima setakat ini.

Anugerah ini bukan sekadar trofi. Ia pengiktirafan antarabangsa yang bebas terhadap kecemerlangan TH dalam pengurusan haji, kebajikan jemaah, logistik, penjagaan kesihatan serta prestasi operasi secara keseluruhan.

Ia turut mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai antara pentadbir urusan haji terkemuka dunia dan membuktikan reformasi dilaksanakan memperkukuh, bukan melemahkan.

Tiada institusi wajar dinilai berdasarkan cabaran lampau semata-mata atau dijadikan bahan pertikaian politik setiap kali perbincangan awam memuncak.

Yang lebih penting adalah sama ada institusi terbabit mengakui kelemahan lampau, melaksanakan reformasi bermakna dan mencatatkan penambahbaikan boleh diukur.

Berdasarkan ukuran ini, TH mencatatkan kemajuan ketara. Umat Islam Malaysia berhak mendapat perbincangan seimbang dan objektif, berlandaskan fakta disahkan, bukan naratif terpilih.

Masa depan Tabung Haji perlu terus tertumpu kepada melindungi simpanan pendeposit, memperkukuh tadbir urus, mengembangkan kekayaan secara mampan serta menyampaikan perkhidmatan haji bertaraf dunia, supaya generasi akan datang dapat menunaikan aspirasi haji dengan penuh keyakinan dan maruah.

Perjalanan TH bukan sesuatu untuk dipolitikkan, ia institusi mempunyai keberanian melakukan transformasi, daya tahan untuk pulih, serta disiplin membina semula dengan lebih kukuh berbanding sebelumnya.

Hari ini, TH berdiri sebagai institusi Islam kukuh dari segi kewangan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, terus menjunjung amanah lebih sembilan juta rakyat pendeposit sambil setia berkhidmat kepada tetamu Allah untuk generasi akan datang.

Penulis adalah Pengarah Program MBA & DBA, Putra Business School, UPM

Video Terkini

Berita Berkaitan