HARGA rumah semakin meningkat sering dikaitkan dengan kenaikan harga tanah, lokasi strategik dan permintaan pasaran.
Namun, persoalan lebih mendasar ialah satu perkara sering kurang diberikan perhatian, berapakah kos sebenar membina sebuah rumah sebelum sampai kepada pembeli.
Sebelum sesebuah rumah dijual di pasaran, kosnya terbentuk sejak peringkat awal pembangunan membabitkan harga bahan binaan, tenaga kerja, logistik, teknologi, pematuhan peraturan dan tempoh pembinaan.
Justeru, jika Malaysia benar-benar mahu menyelesaikan isu kemampuan memiliki rumah, tumpuan tidak boleh hanya diberikan kepada aspek pembiayaan pembeli atau pembinaan lebih banyak unit kediaman.
Penyelesaian perlu bermula dengan persoalan lebih asas, bagaimana menjadikan industri pembinaan lebih produktif, cekap dan kurang terdedah kepada turun naik kos global.
Kajian REHDA Institute melalui laporan Housing Forward - Understanding Costs & Sustainable Prices menunjukkan kos menjalankan perniagaan sektor perumahan, termasuk kos pematuhan dan pembangunan, mempunyai kesan terhadap harga rumah serta kemampuan industri menawarkan harga lebih mampan kepada pembeli.
Laporan Affordable Housing II - Closing the Gap: A Strategic Approach to Balancing Supply and Demand turut menekankan isu rumah mampu milik di Malaysia bukan sekadar berkaitan kekurangan bekalan, tetapi membabitkan cabaran struktur memerlukan pendekatan lebih menyeluruh antara aspek penawaran dan permintaan.
Ini bermakna, usaha menjadikan rumah lebih murah perlu melihat keseluruhan rantaian nilai industri pembinaan.
Salah satu kelemahan perlu diberi perhatian ialah kebergantungan kepada bahan binaan terdedah kepada perubahan harga pasaran global.
Apabila berlaku gangguan rantaian bekalan dunia, kenaikan harga komoditi atau kelemahan nilai mata wang, kesannya akan dirasai terus industri pembinaan.
Kos keluli, bahan kemasan, komponen mekanikal dan elektrikal serta beberapa bahan khusus boleh meningkat dengan pantas, sekali gus memberi tekanan kepada kos projek.
Maka, Malaysia perlu mengubah pendekatan daripada sebuah negara pengguna bahan binaan kepada negara mempunyai keupayaan menghasilkan lebih banyak bahan binaan sendiri.
Ini memerlukan pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan teknologi bahan tempatan serta kerjasama antara kerajaan, institusi penyelidikan dan pemain industri.
Penggunaan bahan alternatif seperti bahan binaan rendah karbon, bahan kitar semula serta inovasi berasaskan sumber tempatan perlu diperluaskan.
Dalam perkara ini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mempunyai peranan strategik kerana fungsinya bukan sekadar memastikan pematuhan standard industri, tetapi membangunkan ekosistem pembinaan lebih berdaya tahan.
Antara penyelesaian paling berpotensi ialah memperluaskan penggunaan Industrialised Building System (IBS). Berbanding kaedah pembinaan tradisional bergantung tinggi kepada kerja manual di tapak, IBS membolehkan komponen bangunan dihasilkan secara lebih sistematik dalam persekitaran terkawal sebelum dipasang di lokasi projek.
Kelebihannya jelas, tempoh pembinaan lebih pendek, pembaziran bahan dapat dikurangkan, kawalan kualiti lebih baik dan kebergantungan kepada tenaga kerja intensif dapat diminimumkan.
CIDB sudah lama memperkenalkan agenda IBS sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan produktiviti industri pembinaan negara.
Namun, cabaran sebenar ialah bagaimana memastikan teknologi ini bukan hanya digunakan syarikat besar, tetapi mampu diakses kontraktor kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang industri.
Perluas insentif, sokongan teknologi IBS
Jika IBS hanya menjadi teknologi eksklusif pemain besar, manfaat pengurangan kos tidak akan dirasai secara menyeluruh. Justeru, kerajaan perlu mempertimbangkan lebih banyak insentif, latihan dan sokongan teknologi supaya lebih ramai kontraktor tempatan mampu beralih kepada kaedah pembinaan moden.
Selain IBS, digitalisasi industri pembinaan juga perlu menjadi agenda utama. Teknologi seperti Building Information Modelling (BIM), automasi dan analisis data mampu membantu mengurangkan kesilapan reka bentuk, mengawal penggunaan bahan serta meningkatkan ketepatan perancangan projek.
Dalam industri pembinaan, kelewatan projek dan perubahan reka bentuk sering menyebabkan peningkatan kos akhirnya ditanggung pengguna. Dengan penggunaan teknologi digital, masalah ini boleh dikurangkan sejak peringkat perancangan.
CIDB memainkan peranan menggalakkan pendigitalan industri melalui pembangunan garis panduan, peningkatan daya saing serta usaha meningkatkan kesedaran pemain industri terhadap teknologi baharu.
Namun, cabaran seterusnya ialah memastikan transformasi digital tidak hanya tertumpu kepada syarikat besar, tetapi turut membabitkan kontraktor kelas kecil dan sederhana.
Kos pembinaan juga berkait rapat dengan tahap produktiviti pemain industri. Kontraktor mempunyai kemahiran, teknologi dan pengurusan projek lebih baik mampu menyiapkan projek dengan lebih cekap, sekali gus membantu mengawal kos.
Peranan CIDB dalam pembangunan kontraktor, latihan kemahiran, pensijilan kompetensi serta peningkatan profesionalisme industri perlu terus diperkasakan.
Industri pembinaan Malaysia tidak boleh selamanya bergantung kepada model kos rendah berasaskan tenaga kerja, tetapi perlu beralih kepada model berasaskan kemahiran tinggi, teknologi dan inovasi.
Inilah hakikatnya, rumah mampu milik tidak boleh diwujudkan jika kos membina rumah itu sendiri terus meningkat. Selama ini perbincangan mengenai kemampuan memiliki rumah banyak tertumpu kepada harga jualan, tetapi kurang melihat bagaimana proses pembinaan boleh diperkemas.
Jika Malaysia berjaya mengurangkan kos melalui penggunaan teknologi moden, meningkatkan produktiviti, membangunkan bahan binaan tempatan dan mengurangkan pembaziran, manfaat akhirnya boleh diterjemahkan dalam bentuk harga rumah lebih kompetitif.
Cabaran masa depan bukan sekadar membina lebih banyak rumah tetapi membina rumah berkualiti, lestari dan mampu dimiliki rakyat.
Pembinaan yang berjaya bukan hanya diukur melalui bangunan siap berdiri, tetapi sejauh mana ia mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan berdaya huni dengan maruah.
Penulis ialah Wartawan Bisnes BH
























