BH Online
Ringkasan Berita

20,648 undi rosak di PRN Johor, isyarat protes atau silap pengundi

BANGSA Johor sudah membuat pilihan dan segala persoalan terjawab di peti undi. Pelbagai analisis, tafsiran dan perdebatan politik akan terus mewarnai pascapilihan raya, namun mandat rakyat sudah diputuskan.
20,648 undi rosak di PRN Johor, isyarat protes atau silap pengundi

Foto hiasan.

BANGSA Johor sudah membuat pilihan dan segala persoalan terjawab di peti undi. Pelbagai analisis, tafsiran dan perdebatan politik akan terus mewarnai pascapilihan raya, namun mandat rakyat sudah diputuskan.

Kini, tumpuan politik negara beralih ke Negeri Sembilan, satu lagi medan penting bakal menguji strategi, kekuatan jentera dan keupayaan parti politik untuk meyakinkan pengundi.

Persoalannya bukan lagi apa berlaku di Johor, tetapi sama ada momentum itu mampu diterjemahkan atau diubah dalam landskap politik Negeri Sembilan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 menyaksikan Barisan Nasional (BN) kembali mendominasi politik negeri itu apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih kukuh.

Pakatan Harapan (PH) pula hanya mampu mempertahankan lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) gagal memenangi sebarang kerusi dan BERSATU tewas semua kerusi ditandingi.

Lebih 2.7 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN kali ini dan seramai 1,874,918 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab pada PRN Johor Ke-16, iaitu 68.73 peratus.

Tumpuan pascapilihan raya tentunya terarah kepada kemenangan besar BN dan kemerosotan prestasi PH. Namun, di sebalik angka kemenangan itu, terdapat satu lagi statistik wajar diberikan perhatian serius, iaitu 20,648 undi rosak direkodkan di semua 56 kawasan DUN.

Fakta perlu diberi perhatian serius

Pada pandangan penulis, angka ini bukan sekadar statistik biasa, tetapi satu fakta perlu diberi perhatian serius dan cukup membimbangkan. Dalam analisis politik, setiap undi mempunyai makna. Persoalan lebih besar ialah: siapakah 20,648 pengundi ini dan apakah mesej yang ingin mereka sampaikan?

Mereka hadir ke pusat mengundi, mengambil kertas undi dan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dalam negara demokrasi. Namun akhirnya, undi mereka direkodkan sebagai undi rosak.

Adakah ia berlaku akibat kesilapan ketika mengundi, kekeliruan terhadap proses pengundian atau satu bentuk protes senyap terhadap pilihan politik ditawarkan?

Sebelum membuat sebarang kesimpulan, jawapan paling tepat hanya boleh diperoleh melalui penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Memang setiap undi rosak akan diperiksa, disahkan dan dimuktamadkan ketika proses pengiraan undi dengan kehadiran wakil calon.

Namun, persoalan masih wajar dibangkitkan adalah mengapa jumlah undi rosak itu begitu tinggi. Itulah perkara perlu diberi perhatian dan diteliti lebih mendalam. Dari sudut politik, angka sebesar ini tidak boleh dipandang ringan. Hanya SPR dapat merungkaikan dilema ini.

Lebih menarik, beberapa kawasan mencatatkan jumlah undi rosak agak tinggi. Antaranya, Tiram sebanyak 1,041 undi; Kota Iskandar (997); Permas (859); Skudai (785); Johor Jaya (715); Perling (675); Puteri Wangsa (612); Penggaram (523); Kempas (504); Larkin (496); Senai (450); Bukit Batu (441); Pekan Nanas (424); Mengkibol (486) dan Senggarang (405). Di kebanyakan kawasan lain, jumlah undi rosak melebihi 200 undi.

Kes di DUN Bukit Batu wajar diberi perhatian. BN memenanginya dengan majoriti 174 undi, sedangkan terdapat 441 undi rosak direkodkan. Manakala di DUN Simpang Jeram, calon PH menang dengan majoriti 170, undi manakala sejumlah 287 undi rosak diumumkan.

Malah, sekiranya diperhalusi, terdapat beberapa lagi kerusi dimenangi dengan majoriti besar, tetapi trend undi rosak tinggi menunjukkan bahawa dalam pertandingan sengit, sejumlah kecil perubahan corak pengundian mampu memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

Sudah tentu tidak semua undi rosak boleh dianggap sebagai undi protes. Sebahagiannya mungkin berpunca kesilapan menanda kertas undi, khususnya dalam kalangan pengundi kali pertama, warga emas atau mereka kurang memahami prosedur pengundian.

Namun, apabila jumlah undi rosak mencecah lebih 20,000 undi, sudah tentu pelbagai tafsiran boleh dibuat. Mungkin ada sekadar tersilap ketika mengundi, tetapi tidak mustahil juga sebahagiannya datang daripada pengundi sengaja memilih tidak menyokong mana-mana parti atau calon. Mereka tetap hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, namun memilih untuk tidak memberikan mandat kepada sesiapa.

Apapun tafsirannya, dalam landskap politik hari ini, setiap undi amat bernilai. Malah, dalam banyak kerusi yang persaingannya sengit, sejumlah kecil undi mampu menjadi penentu kemenangan atau kekalahan.

Fenomena ini memperlihatkan pengundi Malaysia semakin matang. Mereka tidak lagi sekadar mengundi berdasarkan sentimen atau tradisi, sebaliknya lebih kritikal dalam menilai prestasi kerajaan, kredibiliti calon serta hala tuju parti politik.

Bagi BN, kemenangan besar ini sememangnya memberi mandat kukuh untuk mentadbir Johor. Namun kemenangan itu juga datang bersama tanggungjawab untuk memastikan mandat berkenaan diterjemahkan kepada dasar dan pentadbiran memenuhi harapan rakyat.

Bagi PH pula, keputusan ini perlu dijadikan titik muhasabah. Kekalahan bukan sekadar kehilangan kerusi, tetapi petunjuk terdapat kelemahan perlu diperbaiki, sama ada dari segi strategi, komunikasi, pemilihan calon mahupun keyakinan rakyat terhadap keupayaan mereka sebagai alternatif kerajaan.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan, semua parti politik perlu meneliti fenomena ini dengan lebih serius. Berdasarkan rekod pilihan raya lalu, terdapat beberapa kerusi dimenangi dengan majoriti sangat tipis. Dalam keadaan sedemikian, setiap undi mempunyai nilai yang besar.

Hakikatnya, 20,648 undi rosak tidak mengubah keputusan pembentukan kerajaan Johor, tetapi ia tetap membawa mesej penting. Dalam demokrasi, setiap kertas undi dimasukkan ke dalam peti undi adalah suara rakyat. Sama ada suara itu lahir daripada kesilapan, kekecewaan atau protes, ia tidak boleh diabaikan.

Namun, jika jawapan kepada siapakah 20,648 pengundi itu dapat dirungkai, mungkin di situlah terletaknya petunjuk kepada perubahan landskap politik Malaysia pada masa hadapan.

Trend di Johor akan berulang di Negeri Sembilan?

Di Negeri Sembilan, keputusan PRN 2022 turut membuktikan setiap undi mempunyai nilai besar. Sebanyak 11 daripada 36 kerusi DUN dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 undi, sekali gus meletakkannya dalam kategori kerusi marginal berpotensi berubah tangan.

Empat kerusi dimenangi dengan majoriti di bawah 500 undi iaitu Juasseh (78 undi); Kota (135); Ampangan (329) dan Seri Menanti (370). Tujuh lagi kerusi mencatat majoriti antara 500 hingga 1,000 undi, iaitu Sungai Lui sebanyak 535; Palong (564); Klawang (577); Senaling (662); Lenggeng (685); Jeram Padang (693) dan Serting (843).

Hakikat ini menunjukkan perubahan sokongan walaupun dalam jumlah kecil, termasuk undi rosak atau pengundi tidak keluar mengundi, mampu mengubah keputusan pilihan raya.

Bagi PH, BN dan PN, strategi mempertahan penyokong sedia ada serta menarik pengundi atas pagar di kerusi marginal akan menjadi faktor penentu kemenangan. Bagaimana pula sentimen dan penerimaan pengundi Cina dan India terhadap gandingan baharu BN bersama PN?

Dalam keadaan jurang kemenangan begitu kecil, isu prestasi kerajaan, kepemimpinan calon, pembangunan setempat serta kadar keluar mengundi dijangka memainkan peranan lebih besar berbanding sentimen politik semata-mata.

Justeru, mana-mana gabungan berjaya menguasai sebahagian besar kerusi marginal ini berpeluang membentuk kelebihan signifikan dalam menentukan keputusan akhir PRN.

Sebelum ini, selepas mencatat kemenangan, kebanyakan parti politik dan pemimpin lebih cenderung memberi tumpuan kepada jumlah majoriti diraih, manakala undi rosak sering dipandang sebagai angka tidak membawa sebarang makna.

Sikap itu tidak wajar dipandang ringan. Dalam persaingan pilihan raya semakin sengit, jumlah undi rosak juga boleh menjadi faktor mengubah keputusan, malah berupaya menentukan menang atau kalah di kerusi marginal.

Penulis adalah Penganalisis Politik dan Perunding Media

Video Terkini

Berita Berkaitan