MENGAPA parti yang menguasai media sosial tidak semestinya menguasai peti undi. Persoalan itu berlegar sepanjang mengamati kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Di media sosial, setiap gabungan parti kelihatan sedang mencipta momentum. Facebook, TikTok, X dan WhatsApp dipenuhi video ceramah, siaran langsung, poster digital serta pelbagai hantaran penyokong sehingga mewujudkan persepsi setiap parti sedang berada di landasan kemenangan.
Di pentas kempen pula, suasananya tidak kurang rancak. Ceramah berlangsung hampir setiap malam, kehadiran pemimpin utama menarik perhatian, manakala jentera parti bergerak tanpa henti.
Namun, apabila berbual dengan pengundi di warung, kampung dan pusat komuniti, apa yang dibincangkan mereka tidak semestinya sama dengan apa yang sedang tular di media sosial.
Daripada pemerhatian itu, PRN Negeri Sembilan tidak boleh dibaca hanya melalui satu dimensi. Ia lebih tepat difahami melalui tiga lapisan utama iaitu persepsi, percaturan dan pertimbangan pengundi.
Tidak dapat dinafikan media sosial kini menjadi gelanggang utama pembentukan persepsi politik. Berbanding PRN Johor, kempen kali ini memperlihatkan ketiga-tiga gabungan utama, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), lebih aktif serta tersusun dalam ruang digital.
Setiap gabungan berjaya membina naratif masing-masing sehingga penyokong mereka yakin gelombang sedang memihak kepada parti sendiri.
Namun, media sosial lebih banyak membentuk persepsi berbanding mengesahkan realiti. Tidak semua pengguna media sosial pengundi aktif dan tidak semua pengundi aktif menjadikan media sosial sebagai asas utama membuat keputusan.
Lapisan kedua ialah percaturan politik. PH meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN mengumumkan 11 calon daripada parti komponennya. Pada masa sama, BERSATU memilih menggunakan lambang parti sendiri dengan meletakkan 24 calon.
Konfigurasi ini menjadikan PRN Negeri Sembilan berbeza daripada kebiasaan. Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai kerjasama antara BN dan PN, corak pertandingan terbentuk seolah-olah memperlihatkan satu bentuk persefahaman strategik apabila kedua-dua pihak tidak banyak bertembung secara langsung.
Keadaan ini menimbulkan pelbagai tafsiran dalam kalangan pemerhati politik kedua-duanya lebih cenderung menumpukan persaingan terhadap PH di kawasan masing-masing.
Sama ada persepsi itu tepat atau sebaliknya bukanlah persoalan utama. Yang lebih penting ialah hakikat strategi pilihan raya kini semakin pragmatik apabila parti semakin menyesuaikan pendekatan mereka mengikut realiti politik semasa.
Namun, lapisan paling penting bukanlah media sosial atau strategi parti. Sebaliknya, pertimbangan sebenar berlaku dalam fikiran pengundi.
Walaupun Negeri Sembilan semakin pesat membangun, kira-kira 30.7 peratus penduduknya masih tinggal di kawasan luar bandar.
Budaya komuniti kampung
Dalam masyarakat masih mempunyai budaya komuniti kampung kuat, hubungan sesama manusia terus memainkan peranan penting dalam pembentukan kepercayaan politik.
Di beberapa kawasan isu dibangkitkan pengundi tidak hanya berkisar parti atau manifesto. Mereka bercakap mengenai kos sara hidup, peluang ekonomi dan kestabilan pentadbiran.
Di beberapa kawasan pula, perbualan mengenai institusi Undang Luak yang masih menjadi sebahagian daripada identiti Negeri Sembilan.
Namun, ada satu persoalan paling kerap berbangkit iaitu 'siapa selalu datang, mudah ditemui dan bersama masyarakat ketika mereka memerlukan'.
Persoalan ini memberi gambaran di banyak kawasan masih mempunyai komuniti kampung yang kuat, politik kehadiran masih menjadi faktor penting membentuk keyakinan pengundi.
Di Negeri Sembilan, media sosial menentukan apa yang dibincangkan, tetapi masyarakat kampung masih banyak menentukan siapa dipercayai.
Inilah sebabnya ukuran kekuatan sesebuah parti tidak boleh hanya bergantung kepada jumlah tontonan video, bilangan pengikut media sosial atau kehadiran ceramah.
Dalam masyarakat masih mempunyai ikatan komuniti kuat, kepercayaan sering dibina melalui pengalaman berinteraksi secara langsung dengan pemimpin. Faktor inilah menjadikan sesetengah kerusi sukar diramal hanya berdasarkan suasana di alam maya.
Berdasarkan pemerhatian sepanjang kempen, setiap gabungan memperlihatkan kekuatan berbeza. PH dilihat mempunyai kelebihan dari segi momentum kempen, penyelarasan jentera dan kelebihan sebagai kerajaan negeri, khususnya di kawasan bandar dan separa bandar.
BN pula mempunyai kekuatan organisasi, pengalaman jentera serta hubungan akar umbi dibina sejak sekian lama. Di banyak kawasan tradisi, hubungan peribadi antara pemimpin dan masyarakat masih menjadi aset politik penting.
PN pula menunjukkan peningkatan ketara dari segi kempen, khususnya dalam media sosial dan siri ceramah. Berbanding PRN Johor, kehadiran PN kali ini lebih tersusun dan lebih menonjol, sekali gus menjadikan persaingan lebih kompetitif.
Justeru, tiada satu pun gabungan boleh bergantung kepada satu faktor semata-mata. Media sosial membina persepsi, jentera menggerakkan kempen, tetapi hubungan dengan masyarakat membina kepercayaan. PRN Negeri Sembilan menunjukkan pilihan raya moden perlu dibaca secara lebih menyeluruh.
Berdasarkan pemerhatian sepanjang kempen, PRN Negeri Sembilan akan menyaksikan persaingan sengit di beberapa kerusi utama dengan sebahagian keputusan berpotensi ditentukan majoriti nipis.
Jika momentum kempen bandar berjaya diterjemahkan kepada kadar keluar mengundi tinggi, PH berpotensi memperoleh kelebihan di beberapa kerusi.
Jika hubungan akar umbi dan politik kehadiran menjadi pertimbangan utama di kawasan kampung dan separa luar bandar, BN mempunyai ruang mengekalkan kekuatannya.
Sekiranya PN berjaya mengekalkan momentum kempen digital dan ceramahnya, ia juga berpotensi memberi saingan sengit di kerusi kompetitif.
Penulis adalah pemerhati politik bebas
























