SELEPAS Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, perhatian politik negara kini beralih kepada PRN Negeri Sembilan dijadualkan pada 1 Ogos ini.
Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing sudah mengumumkan calon mereka untuk bertanding pada PRN Negeri Sembilan.
Aura keputusan PRN Johor dikatakan masih membayangi Negeri Sembilan susulan kejayaan BN menang 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), bakinya dimenangi PH menerusi DAP.
Keputusan cemerlang BN di Johor memberikan suntikan semangat besar kepada parti itu yang sedang berusaha membina semula keyakinan selepas episod tumbang sebagai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Namun, kemenangan di Johor hanya permulaan kepada perjalanan lebih panjang. Keputusan PRN Johor memperlihatkan beberapa perkembangan menarik. Jelas sekali, pengaruh BN menunjukkan peningkatan ketara.
Pelbagai isu dibangkitkan terhadap UMNO sepanjang kempen tidak banyak menjejaskan sokongan pengundi. Percubaan parti baharu seperti Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli belum berjaya menarik perhatian pengundi Johor.
Komponen BN pula menunjukkan peningkatan apabila kerusi dimenangi MCA meningkat daripada empat kepada lapan, manakala MIC bertambah daripada tiga kepada empat kerusi.
Sebaliknya, PH mengalami penyusutan apabila kehilangan beberapa kerusi. DAP sebelum ini memegang 10 kerusi hanya berjaya mempertahankan enam kerusi.
Beberapa parti lain berdepan cabaran lebih besar apabila gagal memenangi kerusi dan sebahagian calon kehilangan wang deposit, termasuk daripada BERSAMA, PN serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Keputusan PRN Johor membawa beberapa implikasi politik. Pertama, ia memberikan keyakinan kepada BN dan UMNO yang strategi memperkukuh kekuatan sendiri masih mempunyai nilai politik.
Ia juga memberi gambaran proses pemulihan UMNO selepas kekalahan 2018 mungkin sedang memasuki fasa baharu.
Kedua, PRN Negeri Sembilan menjadi ujian penting sama ada momentum Johor mampu diteruskan. Di negeri itu, BN dan UMNO mempunyai kedudukan agak kukuh dari segi sejarah serta jumlah kerusi.
UMNO memegang 14 kerusi DUN, berbanding PKR lima dan Parti Amanah Negara (AMANAH) satu kerusi. PH secara keseluruhan mempunyai 17 kerusi dengan sumbangan besar daripada DAP.
Namun, Negeri Sembilan bukan medan mudah. BN perlu berdepan hakikat ia kini sebahagian daripada kerajaan campuran bersama PH. PH mempunyai jentera kerajaan negeri yang boleh menjadi faktor penting dalam kempen pilihan raya.
Ketiga, keputusan PRN Negeri Sembilan penting kepada PH untuk melihat sama ada arus perubahan bermula di Johor mampu disekat atau terus berkembang. Prestasi DAP menjadi antara perkara akan diberi perhatian, khususnya berkaitan perubahan sokongan pengundi Cina.
Keempat, keputusan beberapa pilihan raya negeri kebelakangan ini juga berpotensi memberi gambaran kepada PRN Sarawak dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Perubahan pola pengundian di Sabah dan Semenanjung mungkin menjadi rujukan kepada parti dalam membaca sentimen rakyat. Namun, perkembangan politik sejak 2018 menunjukkan pertukaran kerajaan melalui proses demokrasi adalah perkara biasa.
Sokongan pengundi tentukan kekuatan politik
Dalam sistem demokrasi, pilihan raya bukan sekadar memilih kerajaan sedia ada, tetapi memberi peluang kepada rakyat menentukan wakil dan parti diyakini mampu membawa aspirasi mereka.
Sejarah politik menunjukkan kerajaan memerintah bukan mudah untuk ditewaskan. Namun, landskap politik Malaysia hari ini jauh berbeza berbanding masa lalu.
Tiada lagi satu parti atau gabungan benar-benar dominan dalam semua keadaan. Kekuatan politik kini lebih bergantung kepada sokongan pengundi yang berubah mengikut isu, prestasi dan keadaan semasa.
Pada peringkat Persekutuan, PH khususnya PKR, dilihat sebagai tulang belakang Kerajaan Perpaduan. Namun, PH dan PKR tidak mempunyai majoriti sendiri. Sokongan BN dan UMNO menjadi faktor penting membolehkan kerajaan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam keadaan politik baharu ini, strategi lama untuk menghalang kebangkitan pihak lawan melalui pilihan raya mengejut mungkin tidak lagi mempunyai kesan seperti dahulu.
Selepas PRU15, tiada satu parti atau gabungan memiliki kedudukan dominan. Justeru, peluang untuk mana-mana blok politik memperkukuh kedudukan masing-masing masih terbuka.
Dalam persaingan semasa, BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing mempunyai cabaran tersendiri.
PN masih mampu menjadi pesaing utama, tetapi keputusan PRN Johor memberikan beberapa isyarat perlu diberi perhatian apabila gabungan itu gagal mencapai kemenangan, walaupun BERSATU dipimpin Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tokoh politik kelahiran Johor.
Akhirnya, selepas Johor, Negeri Sembilan akan menjadi satu lagi ujian penting kepada semua parti. Bagi BN dan UMNO, ia peluang membuktikan kebangkitan Johor bukan fenomena sementara. Bagi PH dan PN pula, ia ruang memperkukuh semula keyakinan pengundi.
Politik Malaysia kini memasuki era persaingan terbuka tanpa dominasi mutlak mana-mana pihak. Dalam keadaan sedemikian, kemenangan bukan hanya bergantung kepada sejarah, tetapi kemampuan setiap parti memahami kehendak pengundi semakin dinamik.
Penulis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH
























