BH Online
Ringkasan Berita

Audit 15 minit, setengah jam pertama 'tentukan' tahap kesejahteraan bandar

RUTIN perjalanan saya dari kediaman ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) untuk ke pejabat mengambil masa kira-kira 20 minit, termasuk melalui tepi jalan dibayangi rimbun pokok di kiri kanan, terpaksa tergesa-gesa beralih ke tepi yang berumput tebal jika ada kenderaan agak laju dari arah depan. Tidak banyak jalan memiliki kaki lima atau siar kaki yang memberikan ruang lebih selamat kepada pengguna.
Audit 15 minit, setengah jam pertama 'tentukan' tahap kesejahteraan bandar

Ukuran lebih hampir kepada kehidupan rakyat ialah pengalaman mereka sebaik sahaja melangkah keluar dari rumah. (Foto hiasan)

RUTIN perjalanan saya dari kediaman ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) untuk ke pejabat mengambil masa kira-kira 20 minit, termasuk melalui tepi jalan dibayangi rimbun pokok di kiri kanan, terpaksa tergesa-gesa beralih ke tepi yang berumput tebal jika ada kenderaan agak laju dari arah depan. Tidak banyak jalan memiliki kaki lima atau siar kaki yang memberikan ruang lebih selamat kepada pengguna.

Saya bernasib baik kerana perhentian bas berbumbung berbanding sebahagiannya hanya ditandakan dengan tiang menunggu. Bas perantara tiba, saya melompat masuk, sebelum melungsur di jalan tetapi kemudian bergerak perlahan membelah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak antara jam 7 hingga 8 pagi.

Motosikal menyelit, sesekali kelihatan penunggang basikal terpaksa berkongsi jalan kerana laluan sikal di luar pusat bandar raya sekali lagi menjadi terlalu 'mahal' untuk diwujudkan.

Jarak antara rumah dengan stesen MRT tidak jauh tetapi kesesakan melipatgandakan tempoh, manakala berjalan bukan pilihan yang selamat, begitu juga 'menggatih' basikal.

Rutin ini mengingatkan saya kepada gagasan semakin mendapat perhatian dunia, iaitu '15-minute city' diperkenalkan ahli akademik Perancis, Prof Carlos Moreno.

Idea asasnya ialah semua keperluan harian manusia baik bekerja, belajar, membeli barangan, mendapatkan rawatan kesihatan, rekreasi mahupun menikmati kehidupan sosial sepatutnya boleh dicapai kira-kira 15 minit dengan berjalan kaki atau berbasikal dari rumah.

Moreno yang menyifatkannya sebagai 'chrono-urbanism' yang mengubah paradigma perancang bandar yang biasanya bertanyakan 'berapa kilometer' antara kediaman dengan lokasi terbabit kepada 'berapa minit'.

Empat prinsip utamanya ialah kedekatan bermakna kemudahan asas perlu ada dalam 'jangkauan' penduduk; kepadatan bersesuaian supaya sekolah, kedai, klinik dan pengangkutan awam dapat disediakan; kepelbagaian fungsi hingga rumah, pejabat, premis niaga dan kemudahan awam tidak terpisah serta ketersediaan menyeluruh supaya tidak hanya dinikmati golongan kaya.

Krisis iklim dan pandemik COVID-19 mempercepatkan Moreno membangunkan konsep 15-minute city yang kemudian diterima C40 Cities Climate Leadership Group dan turut diterapkan di Milan, Madrid, Edinburgh dan Seattle.

Paling ketara diterapkan ialah seperti apa cuba dilakukan Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo yang memasukkan konsep itu dalam kempen pilihan raya penggal keduanya pada 2020. Hidalgo memperluas laluan basikal, mengurangkan ruang letak kereta, menukar jalan berhampiran sekolah menjadi lebih mesra pejalan kaki, memperbanyak ruang hijau dan menggalakkan pembangunan bercampur.

Bagaimanapun, ia tetap perlu disesuaikan dengan pelbagai faktor setempat hingga di England ia diubah suai kepada 20-Minute Neighbourhoods, manakala di Singapura ia pula menjadi 'Bandar 20 minit, Pusat Bandar 45 minit'.

Sudah tentu konsep itu tidak mudah diimport ke negara ini kerana proses perbandaran kita tidak pernah diasaskan dengan pendekatan mesra pejalan kaki atau penunggang basikal, manakala urbanisasi yang berlaku menyebabkan kawasan perumahan dan pejabat seolah-olah berada di dua kutub berbeza.

Justeru, daripada mengambil bulat-bulat konsep 15-minute city, saya terfikir bolehkah kita menilai perbandaran kita berdasarkan apa dialami dalam 15 minit hingga setengah jam pertama selepas seseorang membuka pintu rumah untuk ke stesen pengangkutan awam - MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), bas dan komuter.

Dalam tempoh singkat itu, kita boleh mengetahui sama ada kawasan kejiranan kita mempunyai saling terhubung dengan pelbagai infrastruktur termasuk sekolah dan klinik, kedai runcit, taman dan pengangkutan awam. Lebih penting, apakah ia boleh dicapai dengan berjalan kaki atau mengayuh basikal, tanpa perlu menghidupkan enjin kereta mahupun motosikal yang membebaskan karbon?

Malaysia semakin jadi negara bandar

Hakikatnya, Malaysia semakin menjadi negara bandar. Lebih tiga perempat rakyat tinggal di bandar atau pinggir bandar kerana kadar urbanisasi Malaysia pada 2024 ialah 76 peratus atau kira-kira 25.9 juta penduduk. Namun, kita mungkin tidak akan menjadi Paris dalam masa terdekat, tetapi ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk kita tidak memperbaiki pengalaman rakyat untuk hidup lebih sejahtera dan sihat.

Sebenarnya, hampir semua pengalaman itu berada dalam ruang lingkup Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), pengurusan sisa pepejal, landskap, perancangan bandar dan penyelenggaraan ruang awam.

Dalam konteks inilah saya melihat KPKT berpeluang memperkenal satu inisiatif mudah tetapi mampu membawa perubahan besar, iaitu audit setengah jam pertama. Ia tidak memerlukan peruntukan berbilion ringgit atau projek baharu rumit, sebaliknya boleh bermula dengan sebuah aplikasi mudah alih dikendalikan setiap PBT.

Malah ini juga boleh digunakan dalam penelitian Dasar Perumahan Negara (DRN) baharu yang sedang diperhalusi dengan menumpukan usaha memperkukuh perancangan perumahan berasaskan data, termasuk menggunakan maklumat pendapatan isi rumah, harga rumah dan permintaan sebenar mengikut negeri dan daerah

Walaupun ia lebih digerakkan dalam mencari pendekatan lebih sesuai dalam penyediaan rumah mampu milik dengan mengambil kira kemampuan sebenar isi rumah serta faktor setempat, ia perlu melangkaui lebih jauh lagi, iaitu menyediakan perumahan yang berkualiti dan menawarkan kehidupan sejahtera.

Justeru, audit dijalankan itu akan memastikan ribuan pemerhatian kecil membentuk satu gambaran jauh lebih jujur daripada mana-mana laporan di atas meja. Tidak sukar sebenarnya untuk melibatkan masyarakat yang sudah terbiasa mengemas kini atau memberikan reaksi di media sosial dalam sela masa saat, bukan lagi minit. Ditambah pula dengan insentif bersesuaian dengan turut menggalakkan penglibatan sektor swasta.

Pada masa sama, Datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis, jurutera, arkitek landskap dan pegawai kesihatan persekitaran juga wajar melakukan audit sama secara berkala. Mereka perlu meninggalkan bilik mesyuarat dan berjalan melalui laluan digunakan rakyat setiap pagi supaya sebarang perancangan tidak hanya dinilai hanya daripada laporan di atas meja, sebaliknya pengalaman sendiri di atas kaki lima.

Selama ini kita banyak mengukur prestasi PBT melalui kutipan hasil, bilangan lesen diproses, projek disiapkan atau kedudukan kewangan. Tanpa menafikannya kepentingan itu, kita tidak boleh lupa bahawa ukuran lebih hampir kepada kehidupan rakyat ialah pengalaman mereka sebaik sahaja melangkah keluar dari rumah.

Audit seperti ini juga mampu membina hubungan lebih erat antara PBT dengan komuniti. Rakyat tidak lagi sekadar menjadi pengadu apabila masalah berlaku, tetapi menjadi rakan strategik membantu kerajaan tempatan mengenal pasti perkara sering terlepas pandang.

Malah, ia juga penting dalam aspek kemampanan bandar, iaitu keupayaan perbandaran kita menyediakan ruang kehidupan bukan sahaja untuk kita sekarang, bahkan anak cucu kita pada masa depan.

Akhirnya, bagi saya dan semua warga negara, kesejahteraan bandar sebenarnya terserlah dalam pengalaman kecil yang dilalui kami setiap pagi daripada pintu rumah hingga ke destinasi pertama mereka. Jika 15 minit hingga setengah jam pertama itu selamat, selesa dan menyenangkan, barangkali di situlah letaknya ukuran sebenar kejayaan sebuah bandar yang kami diami.

Penulis ialah Pengarang Berita (Rencana) BH

Video Terkini

Berita Berkaitan