KEBANYAKAN pembaharuan institusi hanya dilakukan selepas sesuatu sistem gagal. Apabila berlaku skandal, krisis keyakinan atau penyalahgunaan kuasa, barulah undang-undang diperketatkan, struktur pentadbiran dirombak dan sempadan kuasa diperjelaskan.
Namun negara yang matang tidak semestinya perlu menunggu kerosakan berlaku sebelum bertindak. Ada kalanya reformasi dilaksanakan bukan kerana sistem sedia ada runtuh, sebaliknya kerajaan mahu memastikan ia terus dihormati dalam suasana politik dan tuntutan masyarakat semakin berubah.
Usaha memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dibaca dalam kerangka itu.
Kerangka sedia ada dibentuk melalui Perlembagaan Persekutuan dan berfungsi beberapa dekad. Peguam Negara, timbalan pendakwa raya dan pegawai undang-undang berkhidmat di bawah sistem ini tetap tertakluk kepada undang-undang, etika profesional serta tanggungjawab awam besar.
Namun, institusi awam tidak hanya dinilai melalui apa berlaku di dalam bilik mesyuarat, pejabat pendakwaan atau proses penelitian kertas siasatan. Ia turut dinilai melalui keyakinan rakyat.
Di bawah kerangka semasa, Peguam Negara memegang tanggungjawab sebagai penasihat undang-undang utama kepada kerajaan, sekali gus menjalankan fungsi Pendakwa Raya.
Kedua-dua tanggungjawab itu sah dari sudut Perlembagaan. Namun apabila sesuatu kes membabitkan tokoh politik, anggota pentadbiran atau individu berpengaruh, pertanyaan mengenai kemungkinan konflik peranan mudah timbul dalam masyarakat.
Justeru, pemisahan peranan kedua-duanya bukan semata-mata melindungi institusi pendakwaan daripada campur tangan, bahkan mengelakkan kerajaan daripada tuduhan campur tangan politik.
Ia turut melindungi Peguam Negara daripada persepsi nasihatnya kepada kerajaan mempengaruhi keputusan pendakwaan.
Pada masa sama, reformasi ini memberi keyakinan kepada rakyat yang kuasa pendakwaan bebas daripada sebarang persepsi campur tangan.
Perkembangan terbaharu di Dewan Rakyat menunjukkan reformasi ini kini bergerak melangkaui pemisahan dua nama jawatan.
Selasa lalu, kerajaan memaklumkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 ditangguhkan ke mesyuarat akan datang bagi membolehkan cadangan pindaan lanjut disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.
Antara cadangan paling signifikan ialah pengukuhan peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya. Nama calon akan dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat sebelum diteliti Jawatankuasa Pilihan. Dewan kemudiannya akan mengesyorkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong hanya berhubung nama disyorkan Dewan.
Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak mempunyai peranan dalam proses pelantikan berkenaan. Cadangan lain termasuk tempoh jawatan selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula, kewajipan mengemukakan laporan tahunan pentadbiran dan kedudukan kewangan pejabat Pendakwa Raya serta penggubalan Kod Etika khusus.
Semua ini menunjukkan kerajaan bukan sekadar mahu mewujudkan jawatan baharu. Kerajaan sedang berusaha membina satu struktur mempunyai jarak institusi lebih jelas daripada cabang eksekutif, di samping meletakkan mekanisme penelitian dan akauntabiliti lebih luas.
Dalam konteks inilah kepemimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) wajar diiktiraf.
Keberanian luar biasa
Namun, keberanian lebih besar terletak pada kesediaan beliau membuka cadangan kerajaan kepada penelitian, menerima kritikan dan membenarkan rangka asal diperkuatkan.
RUU itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas membabitkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Pandangan turut diperoleh daripada Jabatan Peguam Negara, BHEUU, pakar perundangan, badan profesional dan pertubuhan masyarakat sivil termasuk mahasiswa perundangan.
Cadangan asal kemudiannya berkembang kepada suatu kerangka memberikan Parlimen peranan lebih substantif serta mengeluarkan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri daripada proses pelantikan Pendakwa Raya.
Proses penelitian itu pada awalnya dibuka selepas bacaan kedua pada Mac 2026 bagi membolehkan mekanisme kawal selia dan pelantikan diperhalusi.
Tidak semua menteri selesa apabila RUU dibawa kementeriannya dipersoalkan. Kritikan kadang kala dilihat serangan terhadap kerajaan. Penangguhan pula mudah dianggap kelemahan politik.
Azalina memilih pendekatan berbeza. Beliau tidak mempertahankan cadangan awal semata-mata kerana datang daripada kerajaan. Sebaliknya, proses penelitian digunakan untuk membawa reformasi tersebut ke tahap lebih tinggi.
Keberanian dalam reformasi bukan hanya keberanian mengumumkan perubahan. Ia juga keberanian menerima cadangan pertama boleh diperbaiki, bahawa pandangan pihak lain boleh menguatkan dasar kerajaan dan pindaan Perlembagaan tidak harus dikejar hanya untuk mendapatkan kemenangan politik segera. Dalam hal ini, penangguhan bacaan kali kedua tidak semestinya menandakan reformasi hilang momentum.
Pindaan ini membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Parlimen serta struktur pendakwaan negara.
Sekiranya sembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan penelitian lanjut dapat menghasilkan pindaan lebih jelas serta tahan daripada pertikaian pada masa hadapan, masa tambahan itu menjadi sebahagian reformasi.
Peranan lebih besar dicadangkan untuk Parlimen juga perlu disertai kematangan institusi. Penelitian calon Pendakwa Raya tidak boleh berubah menjadi perbicaraan politik atau pertandingan kepartian tetapi berasaskan kelayakan, pengalaman, integriti, kebebasan pemikiran dan keupayaan calon memimpin institusi pendakwaan.
Jika usaha ini berjaya, manfaatnya bukan hanya kepada institusi Pendakwa Raya.
Kerajaan lebih terlindung daripada tuduhan campur tangan. Peguam Negara dapat menjalankan tugas sebagai penasihat undang-undang kerajaan tanpa keputusan pendakwaan sentiasa dikaitkan dengan peranan itu. Pendakwa Raya pula dapat membuat keputusan dalam kerangka lebih jelas kedudukannya.
Rakyat akhirnya memperoleh sesuatu paling penting dalam mana-mana sistem keadilan: Keyakinan keputusan undang-undang adalah bebas daripada campur tangan.
Penulis ialah Penyelidik Perundangan dan Konsultan Pengurusan Risiko serta bekas Pegawai Penyelidik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM)
























