BH Online
Ringkasan Berita

DAP bakal dihukum jika gagal di Negeri Sembilan

MELIHAT keputusan DAP menarik diri daripada kerajaan Melaka baru-baru ini, adakah DAP masih belum menerima hakikat strategi tekanan politik ketara selepas kekalahan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak menghasilkan kesan seperti diharapkan.
DAP bakal dihukum jika gagal di Negeri Sembilan

- Foto hiasan

MELIHAT keputusan DAP menarik diri daripada kerajaan Melaka baru-baru ini, adakah DAP masih belum menerima hakikat strategi tekanan politik ketara selepas kekalahan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak menghasilkan kesan seperti diharapkan.

Pendekatan berkenaan, dilihat bertujuan memberi gambaran kepada penyokong kekuatan politik DAP masih tidak terjejas, ternyata tidak membawa perubahan besar dan kini kembali muncul dalam perkembangan politik di Melaka.

Selepas tewas di semua lapan kerusi ditandingi pada PRN Sabah, November lalu, DAP dilihat berdepan keperluan menjelaskan keputusan di negeri itu tidak menggambarkan kedudukan sebenar parti, khususnya di Semenanjung.

Kekalahan di Sabah menjadi cabaran besar kepada parti itu untuk menyatakan betapa sokongan terhadap DAP masih kukuh dalam kalangan pengundi.

Dalam usaha menangani persepsi ini, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) mengambil pendekatan agak drastik dengan mengeluarkan kenyataan keluar kerajaan Melaka dilihat memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Langkah itu mencetuskan persoalan apabila sebuah parti berada dalam Kerajaan Persekutuan dilihat mengambil nada hampir menyerupai pendirian parti pembangkang.

DAP melihat kekalahan teruk pada PRN Sabah adalah persepsi parti itu hilang pengaruh sedangkan mereka berada dalam kerajaan dan mempunyai wakil rakyat teramai.

Maka, jalan mudah dan singkat untuk menongkah persepsi ini, DAP perlu bersuara lebih lantang sehingga keluar kenyataan akan keluar daripada kerajaan jika tuntutan tidak dipenuhi.

Begitu jelas dalam masa enam bulan sejak PRN Sabah sehingga PRN Johor, penyokong DAP masih tidak yakin parti itu mampu menjaga kepentingan mereka.

Apatah lagi DAP gagal mempertahankan kubu kuat seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Jementah, Johor Jaya dan Perling pada PRN Johor.

DAP nampak gayanya masih belum belajar daripada kesilapan strategi lampau apabila DAP Melaka membuat keputusan menarik sokongan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akibat tidak puas hati dengan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli DUN (ADUN) secara lantikan.

Sukar difahami apakah matlamat akhir langkah DAP Melaka ini kerana ia langsung tidak menggugat kerajaan negeri, malah menguatkan lagi cengkaman UMNO di Melaka.

Ironisnya DAP Pahang yang menyokong kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hanya berdiam diri apabila RUU sama diluluskan DUN Pahang pada 2024.

Jika DAP Melaka berhujah tindakan sebegitu terpaksa dibuat kerana mempertahankan prinsip menentang proses ADUN lantikan, mengapa pula prinsip sedemikian tidak diguna pakai di Pahang, sekali gus menjadi tanda tanya. Jawapan sebenarnya ialah pendirian itu bermatlamat menjaga kepentingan politik DAP.

Sudah agak pasti jika DAP Pahang mengikuti langkah DAP Melaka, maka sudah pasti UMNO bekerjasama dengan PAS untuk menubuhkan kerajaan negeri. Senario sebegini mahu dihindari DAP Pahang. Tindakan DAP Melaka ini dilihat bakal memudaratkan PH lebih-lebih lagi menjelang PRN Negeri Sembilan.

Walaupun Anwar memberi gambaran perbincangan masih terbuka antara DAP Melaka dan kerajaan negeri, tetapi Ab Rauf sudah menghidu percaturan politik dengan menegaskan keputusan DAP Melaka itu muktamad.

BN atur bekerjasama dengan PN

Hakikatnya senario kerjasama UMNO dan PAS mahu dihindari DAP Pahang, nampak gayanya tercetus pada PRN Negeri Sembilan susulan tindakan DAP Melaka ini.

Anggapan awal ialah Barisan Nasional (BN) akan bertanding semua 36 kerusi secara solo seperti mana di Johor, tetapi akhirnya hanya mengumumkan bertanding 25 kawasan DUN Negeri Sembilan.

Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci status baki 11 kerusi, bukan menjadi rahsia lagi BN sudah pun memeterai persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) diterajui PAS.

Sebagai persediaan awal menghadapi kemelut di Pahang dan Perak jika DAP menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, maka BN mengambil langkah bekerjasama dengan PN pada PRN Negeri Sembilan demi membuktikan BN dan PN mampu bertolak ansur membentuk kerajaan negeri dan barangkali Kerajaan Persekutuan.

Konvensyen Kebangsaan DAP akan berlangsung 16 Ogos ini yang ditangguhkan kerana PRN Johor dan Negeri Sembilan bakal membuat keputusan kritikal bersandarkan keputusan kedua-dua PRN terbabit. Keputusan PRN Johor mempamerkan kemerosotan pengaruh politik DAP bermula di Sabah, sudah merebak ke Johor.

Jika fenomena Sabah dan Johor berterusan di Negeri Sembilan, maka sudah pasti perwakilan konvensyen DAP bakal membuat keputusan terhadap kedudukan parti terbabit bukan sahaja pada peringkat Persekutuan tetapi di Pahang dan Perak.

Namun, BN bertindak bijak apabila menggunakan sepenuhnya kedudukan dalam Kerajaan Persekutuan untuk meraih manfaat menarik penyokong.

Ini dapat diterjemahkan dengan kemenangan bergaya BN di Johor sehingga membuahkan kepercayaan rakyat menyokong UMNO untuk kembali mentadbir dengan majoriti dua pertiga.

Akan tetapi DAP yang kekuatannya tiada tolok bandingnya dalam struktur Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka sering bertindak seolah-olah mereka pembangkang dalam kerajaan diterajui.

Tindak tanduk seperti ini membuatkan penyokong DAP hilang kepercayaan terhadap kemampuan parti itu mentadbir sebuah kerajaan.

Penulis adalah Felo Majlis Profesor Negara dan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Video Terkini

Berita Berkaitan