BH Online
Ringkasan Berita

Perkasa kepakaran negara hasilkan inovasi hadapi cabaran kesihatan

MALAYSIA sudah lama dikenali sebagai antara penggiat penting dalam industri semikonduktor dunia. Selama lebih lima dekad, negara membina kepakaran dalam pembuatan komponen elektronik, fabrikasi mikro, pembungkusan cip dan teknologi berkaitan yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.
Perkasa kepakaran negara hasilkan inovasi hadapi cabaran kesihatan

- Foto hiasan

MALAYSIA sudah lama dikenali sebagai antara penggiat penting dalam industri semikonduktor dunia. Selama lebih lima dekad, negara membina kepakaran dalam pembuatan komponen elektronik, fabrikasi mikro, pembungkusan cip dan teknologi berkaitan yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.

Persoalannya kini bukan lagi sekadar sejauh mana Malaysia mampu menghasilkan komponen elektronik, tetapi bagaimana kekuatan itu dapat diterjemahkan kepada teknologi bernilai tinggi yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Teknologi kesihatan ialah antara bidang strategik menawarkan peluang berkenaan. Keperluannya semakin jelas.

Penyakit buah pinggang kronik menjadi antara cabaran kesihatan utama dunia. Di Malaysia, kajian berasaskan populasi menganggarkan kelaziman penyakit ini dalam kalangan orang dewasa meningkat daripada 9.07 peratus pada 2011 kepada 15.48 peratus pada 2018.

Ribuan pesakit baharu pula memulakan rawatan dialisis setiap tahun. Bagi pesakit mengalami kegagalan buah pinggang, dialisis bukan sekadar prosedur perubatan. Rawatan ini mempengaruhi masa, pergerakan, kehidupan berkeluarga, kemampuan bekerja dan kebebasan menjalani kehidupan seharian.

Peningkatan jumlah pesakit turut memberi tekanan kepada keluarga, tenaga kesihatan dan sistem penjagaan kesihatan negara.

Atas sebab itu, komuniti penyelidikan antarabangsa sedang meneroka teknologi rawatan generasi baharu lebih mudah digunakan, fleksibel dan berpusatkan keperluan pesakit.

Setiap negara membangunkan bidang tumpuan berdasarkan kekuatan masing-masing. Di Amerika Syarikat, The Kidney Project di University of California, San Francisco memberi tumpuan kepada pembangunan buah pinggang bioartifisial yang direka untuk diimplan ke dalam tubuh.

Pendekatan ini menggabungkan membran silikon untuk menuras darah dengan bioreaktor yang mengandungi sel buah pinggang bagi melaksanakan sebahagian fungsi biologi organ berkenaan.

Di Belanda, University Medical Center Utrecht, University of Twente dan rakan penyelidikan mereka meneroka membran berprestasi tinggi, penyingkiran bahan buangan daripada darah, teknologi berasaskan sel serta sistem rawatan buah pinggang lebih mudah alih.

Singapura pula menonjol melalui pembangunan sistem dialisis peritoneal boleh pakai. Teknologi bahan penjerap digunakan untuk membersihkan dan menggunakan semula cecair dialisis, sekali gus mengurangkan jumlah cecair diperlukan serta membolehkan peranti dibangunkan dalam bentuk yang lebih kecil dan mudah dibawa.

Perkembangan ini menunjukkan inovasi dalam rawatan buah pinggang tidak bergantung pada satu teknologi atau satu institusi. Ia lahir daripada gabungan kepakaran perubatan, biologi, sains bahan, teknologi membran, kejuruteraan mikro, penderia, elektronik dan pengurusan bendalir.

Dalam landskap inilah Malaysia mempunyai ruang memberikan sumbangan tersendiri melalui kekuatan sudah lama dibina dalam semikonduktor dan kejuruteraan mikro.

Antara teknologi semakin penting ialah sistem mikroelektromekanik (MEMS). Teknologi ini menggabungkan struktur mekanikal dan komponen elektronik bersaiz mikro dalam satu sistem.

Dalam bidang bioperubatan, MEMS boleh digunakan untuk mengawal aliran bendalir, menuras bahan tertentu, mengesan isyarat biologi dan mengintegrasikan pelbagai fungsi ke dalam peranti yang padat.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebahagian kepakaran itu dibangunkan melalui Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN).

IMEN diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi dalam bidang MEMS untuk aplikasi bioperubatan, dengan penyelidikan yang berkaitan dengan agenda buah pinggang buatan.

Teknologi rawatan buah pinggang termaju

Sumbangannya tertumpu pada pembangunan teknologi pemungkin dan komponen, termasuk mikrofluidik, penurasan berskala mikro dan nano, penderiaan, manipulasi sel, platform berkaitan dialisis peritoneal serta sistem berkuasa rendah dan kuasa kendiri.

Teknologi ini menyokong fungsi tertentu yang diperlukan dalam sistem rawatan buah pinggang termaju. Mikrofluidik membolehkan sejumlah kecil bendalir dikendalikan dengan tepat.

Teknologi penurasan membantu mengasingkan bahan tertentu, manakala penderia boleh digunakan untuk memantau parameter biologi dan prestasi peranti. Kepakaran ini tidak terhad kepada satu aplikasi.

MEMS, mikrofluidik, penderia biologi dan teknologi makmal atas cip turut mempunyai kegunaan dalam diagnosis penyakit, pemantauan kesihatan, peranti boleh pakai dan pelbagai peralatan perubatan berketepatan tinggi.

Dalam industri berteknologi tinggi, penguasaan komponen kritikal sama pentingnya dengan penghasilan produk akhir. Sesebuah sistem perubatan moden lazimnya terhasil melalui integrasi teknologi daripada pelbagai bidang dan institusi.

Justeru, peluang Malaysia bukan sekadar menghasilkan semula teknologi dibangunkan di negara lain, tetapi menyumbang kepakaran tersendiri kepada rantaian inovasi antarabangsa.

Pelaburan dalam bidang ini juga penting untuk pembangunan bakat, harta intelek, keupayaan reka bentuk dan pertumbuhan industri teknologi perubatan tempatan.

Namun, perjalanan daripada hasil penyelidikan makmal kepada penggunaan oleh pesakit memerlukan pengujian menyeluruh, pengesahan biologi, penilaian keselamatan, kajian klinikal dan pematuhan terhadap peraturan yang ketat.

Kerjasama antara jurutera, saintis, pakar perubatan dan industri perlu dibina sejak peringkat awal. Input klinikal memastikan teknologi dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan pesakit, manakala pembabitan industri penting untuk meningkatkan skala pengeluaran dan membawa inovasi melangkaui persekitaran makmal.

Kekuatan Malaysia dalam semikonduktor membina asas kejuruteraan kukuh. Cabaran seterusnya adalah menerapkan keupayaan itu dalam bidang teknologi kesihatan yang memberikan nilai tambah tinggi dan manfaat langsung kepada masyarakat.

Daripada mikrocip kepada rawatan buah pinggang masa hadapan, peluang ini menunjukkan bagaimana kepakaran kejuruteraan negara boleh digerakkan untuk menangani cabaran kesihatan sebenar.

Menerusi penyelidikan konsisten, kerjasama pelbagai disiplin serta sokongan berterusan daripada kerajaan, universiti dan industri, Malaysia berpotensi bukan sekadar menjadi pengguna, tetapi penyumbang penting kepada inovasi teknologi kesihatan dunia.

Penulis adalah Pengarah, Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia

Video Terkini

Berita Berkaitan