BH Online
Ringkasan Berita

Pengundi makin pragmatik, tak mudah 'termakan' retorik, slogan

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberikan satu mesej politik cukup jelas. Kekalahan dialami Pakatan Harapan (PH) bukan sekadar mengenai jumlah kerusi dimenangi atau kalah, tetapi mencerminkan perubahan sedang berlaku dalam cara rakyat menilai parti.
Pengundi makin pragmatik, tak mudah 'termakan' retorik, slogan

Kerusi dimenangi Pilihan Raya Negeri Johor ke-16. - Grafik BERNAMA

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberikan satu mesej politik cukup jelas. Kekalahan dialami Pakatan Harapan (PH) bukan sekadar mengenai jumlah kerusi dimenangi atau kalah, tetapi mencerminkan perubahan sedang berlaku dalam cara rakyat menilai parti.

Johor sekali lagi membuktikan pengundi hari ini semakin pragmatik. Mereka tidak lagi mudah dipengaruhi retorik dan slogan semata-mata. Sebaliknya, mereka semakin menilai parti politik berdasarkan kemampuan menawarkan penyelesaian terhadap masalah semasa dan memberikan keyakinan pada masa depan.

Dalam konteks ini, keputusan di Johor seharusnya menjadi medan muhasabah serius kepada PH. Kekalahan pada PRN Sabah sepatutnya menjadi amaran awal, namun tsunami Johor menunjukkan PH masih belum mengambil pengajaran sepenuhnya.

Tidak dapat dinafikan isu berkaitan integriti, rasuah dan salah guna kuasa, termasuk membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pernah menjadi pemangkin utama kepada kebangkitan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Isu itu berjaya menyatukan sentimen rakyat yang mahukan perubahan dan akhirnya membawa kepada pertukaran kerajaan Persekutuan buat pertama kali dalam sejarah negara. Namun, politik tidak statik. Apa yang berjaya pada 2018 tidak semestinya terus memberikan kesan sama pada tahun berikutnya.

Selepas hampir lapan tahun, keutamaan pengundi berubah. Mereka lebih bimbang soal kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendapatan isi rumah, harga rumah dan masa depan ekonomi keluarga mereka.

Dalam keadaan sedemikian, pengundi tidak lagi bertanya apa berlaku pada masa lalu. Mereka mahu mengetahui apakah penyelesaian ditawarkan untuk masa hadapan.

Mesej utama daripada PRN Johor ialah pengundi semakin beralih daripada politik penolakan kepada politik penawaran. Mereka bukan lagi sekadar mahu menolak sesuatu pihak, tetapi mahu diyakinkan mengapa mereka perlu memberikan sokongan kepada sesebuah parti.

fakta-743763063_870729455740247_943294586502219239_n
Fakta menarik Pilihan Raya Negeri Johor ke-16. - Grafik BERNAMA

Di sinilah cabaran utama PH. Sepanjang kempen di Johor, PH dilihat masih terlalu bergantung kepada isu politik pernah membawa mereka ke Putrajaya pada 2018. Isu lama terus diketengahkan, seolah-olah sentimen sama masih mampu menghasilkan gelombang politik serupa.

Hakikatnya, bagi sebahagian besar pengundi, isu berkenaan tidak lagi menjadi keutamaan. Ini bukan bermaksud rakyat melupakan soal integriti dan tadbir urus.

Apa yang dicari rakyat hari ini ialah idea, penyelesaian baharu dan kepemimpinan mampu membawa perubahan boleh dirasai secara langsung.

Bagi sebahagian pengundi, kegagalan PH menawarkan cerita baharu dan selepas beberapa tahun menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan mula dilihat sebagai tanda ketandusan idea.

Laungan 'reformasi' yang suatu ketika dahulu berjaya membangkitkan semangat perubahan tidak lagi memberikan kesan emosi sama.

Rakyat bukan menolak reformasi sebaliknya mahu melihat apakah bentuk reformasi ingin dibawa, bagaimana ia boleh meningkatkan taraf hidup mereka dan apakah manfaat dapat dirasai.

Di Johor, terdapat persepsi sebahagian pemimpin PH berkempen dengan nada terlalu yakin dan dalam keadaan tertentu dilihat sebagai bersifat elitis dan angkuh.

Kempen terlalu menumpukan kelemahan pihak lawan dan seolah-olah menganggap pengundi akan menerima hujah dibawa tanpa persoalan akhirnya tidak memberi kesan seperti diharapkan.

Pengundi Johor hargai pendekatan sederhana

Pengundi Johor secara tradisinya lebih menghargai pendekatan sederhana, rendah hati dan menghormati kebijaksanaan rakyat.

Mereka tidak selesa pendekatan seolah-olah menggambarkan hanya satu pihak mempunyai jawapan kepada semua persoalan. Pengundi mungkin boleh menerima kelemahan sesebuah parti, tetapi mereka sukar menerima sikap dianggap tidak menghormati kebijaksanaan mereka membuat pilihan.

Cabaran ini menjadi lebih besar kerana PH kini sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan. Sebagai parti berada dalam kerajaan, rakyat mempunyai jangkaan berbeza. Mereka tidak lagi melihat PH sebagai gerakan protes atau pembangkang.

Mereka mahu melihat rekod pencapaian, dasar jelas dan penyelesaian terhadap masalah sedang dihadapi.

Sebuah kerajaan perlu bercakap mengenai dasar, pencapaian dan masa depan, bukan terus bergantung kepada kritikan dan isu lampau.

Dalam erti kata lain, rakyat mengharapkan PH bercakap sebagai kerajaan, bukan terus berkempen seperti pembangkang.

Sebaliknya, inilah yang berjaya dilakukan Barisan Nasional (BN) di Johor. Pertama, BN berjaya meletakkan dirinya sebagai simbol kestabilan politik.

Selepas beberapa tahun melalui ketidaktentuan politik, sebahagian pengundi mula melihat kestabilan sebagai keperluan penting menjamin pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur.

Bagi mereka, kestabilan bukan sekadar isu politik, tetapi mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan harian rakyat.

Kedua, BN dilihat lebih berjaya memfokuskan kempen kepada isu tempatan dan masa depan Johor. Penekanan terhadap pembangunan negeri, peluang ekonomi dan agenda kemajuan negeri lebih dekat dengan kehidupan pengundi berbanding perdebatan mengenai isu lama.

Ketiga, BN berjaya mengelakkan diri daripada terlalu terperangkap dalam pertikaian masa lalu. Sebaliknya, mereka lebih banyak menawarkan gambaran mengenai masa depan dan apa yang boleh dilakukan untuk negeri.

Keempat, BN dilihat lebih memahami karakter pengundi Johor yang secara tradisinya pragmatik dan sederhana. Pengundi di negeri itu lazimnya mengutamakan kestabilan, kepemimpinan dan agenda pembangunan boleh memberikan manfaat kepada rakyat. Mereka mahukan pelan, bukan sekadar laungan.

Tsunami Johor membuktikan politik Malaysia sedang memasuki fasa baharu. Era bergantung kepada sentimen lama dan nostalgia politik semakin berakhir.

Pengundi hari ini semakin matang dan rasional. Mereka mahu melihat dasar jelas, idea segar dan penyelesaian praktikal. Mereka mahu diyakinkan mengenai masa depan, bukan terus diheret kepada pertikaian masa lalu.

Antara gelombang Sabah dan tsunami Johor, mesejnya hampir sama. Lokasi mungkin berbeza, tetapi pengajarannya serupa. Parti yang gagal menyesuaikan naratifnya dengan perubahan sentimen rakyat akan kehilangan sokongan, walaupun pernah menjadi simbol perubahan.

Dalam politik baharu Malaysia, kemenangan tidak lagi ditentukan siapa paling lantang mengungkit kisah lama atau melaungkan slogan perubahan.

Kemenangan berpihak kepada parti mampu mendengar denyut nadi rakyat, menghormati kebijaksanaan pengundi dan menawarkan harapan baharu lebih meyakinkan untuk masa depan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Perlis

Video Terkini

Berita Berkaitan