"MEMANG sengit , tetapi Bangsa Johor sudah membuat pilihan mereka. Malah, pengundi muda dilihat semakin bijak membaca sentimen semasa, manakala pengundi atas pagar pula berkemungkinan besar akan mengikut arus dan trend politik terkini. Mereka mahu melihat prestasi bukan promosi. Peningkatan pengundi baharu seramai 130,184 juga menjadi tumpuan, termasuk Undi 18," kata seorang pemimpin politik kepada penulis.
Di sebalik pelbagai gaya, rentak dan strategi kempen mewarnai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Sambutan Hari Peneroka FELDA 2026 Peringkat Kebangsaan serta Ulang Tahun ke-70 di Maran, Pahang bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mencuri perhatian pemerhati politik.
Perlu diingat, kira-kira 150,000 pengundi di 73 FELDA di Johor turut menjadi antara penentu penting menentukan keputusan PRN Johor kali ini.
Di saat kempen PRN Johor memasuki fasa paling kritikal, kemunculan kedua-dua pemimpin tertinggi Kerajaan Perpaduan dalam satu pentas besar membawa mesej lebih luas daripada sekadar meraikan sejarah FELDA.
Ia dilihat sebagai simbol kesepaduan kepemimpinan kerajaan, pengiktirafan berterusan terhadap jasa warga peneroka serta isyarat agenda pembangunan luar bandar dan kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan, walaupun suhu politik semakin memuncak.
Lawan tetap lawan. Itulah hakikat politik yang sukar dielakkan. Apa lagi pilihan yang ada. Selesai sahaja tirai PRN Johor, gelanggang politik Negeri Sembilan pula sudah sedia menanti.
Persoalannya siapakah pilihan Bangsa Johor. Jawapannya bukan sahaja menjadi perhatian rakyat di Johor, malah turut diperhatikan seluruh negara. Pada peringkat pusat, pemimpin parti berkawan atas semangat perpaduan, tetapi di Johor terpaksa tukar naratif untuk meraikan demokrasi.
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) 'melancarkan serangan' antara satu sama lain. Apakah ini kematangan dan imej politik baharu negara. Rakyat semakin bijak menilai antara kata-kata dan tindakan.
Tidak dinafikan PH mengharapkan 'sentuhan' Anwar untuk menyantuni Bangsa Johor. Faktor Anwar dijangka memberikan 'suntikan semangat' kepada jentera PH.
PH bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan harapan dan iltizam untuk merampas Johor. Jentera PH berhempas pula menawarkan 'harapan baru' untuk Bangsa Johor.
PH turut berdepan dengan kemunculan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai pemimpin Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
Perkembangan ini mengundang persoalan sejauh mana kehadiran beliau mampu mempengaruhi landskap politik dan pola sokongan pengundi, terutama selama ini bersama PKR.
Dalam setiap pilihan raya sebelum ini, Rafizi sentiasa berada di barisan hadapan bersama PKR dan PH, memainkan peranan besar menyusun strategi serta kempen parti.
Namun kali ini, kedudukannya berubah sama sekali. Apakah impaknya terhadap PH. Mampukah beliau mengubah sentimen pengundi atau sekadar memecahkan sebahagian kecil sokongan sedia ada.
BN Johor pula agresif menggerakkan kempen dan dilihat cukup yakin mampu mempertahankan kedudukan sebagai kerajaan negeri. Keyakinan itu disokong kepemimpinan Ahmad Zahid, selain faktor kredibiliti Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Onn Hafiz berjaya membina imej sebagai Menteri Besar aktif, mudah didekati dan memberi tumpuan kepada pelaburan, penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur serta kebajikan rakyat.
Rekod pentadbiran Onn Hafiz aset utama BN
Rekod pentadbiran Onn Hafiz menerajui Johor menjadi antara aset utama BN meyakinkan pengundi lantas mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan mandat sebelum ini.
Namun, BN tetap berdepan cabaran sengit daripada PH dan Perikatan Nasional (PN) serta parti lain, khususnya di kerusi marginal.
Pengaruh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih meluas dan mengancam BN di Johor di sebalik keputusan PAS tidak membantu kempen parti itu sebaliknya mengarahkan ahlinya menyokong calon BN di kerusi tidak ditandinginya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan PH tidak memenangi kerusi ditandinginya.
PRN Johor bukan sekadar memilih kerajaan negeri baharu, tetapi menjadi medan menguji sentimen politik rakyat selepas lebih tiga setengah tahun Kerajaan MADANI mentadbir negara.
Sejarah membuktikan keputusan di Johor boleh berubah mengikut corak pengundian. Pada PRN 2022, hanya 54.92 peratus pengundi keluar mengundi, BN meraih kemenangan besar dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.
Namun, hanya beberapa bulan kemudian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), peratusan keluar mengundi meningkat kepada sekitar 74.85 peratus, PH pula muncul sebagai gabungan terbesar menang kerusi Parlimen di Johor dengan memenangi 15 daripada 26 kerusi.
Perbandingan ini membuktikan keputusan pilihan raya bukan ditentukan sentimen semata-mata, sebaliknya dipengaruhi sejauh mana pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka serta bagaimana kelompok pengundi membuat pilihan.
Adakah Bangsa Johor akan mengekalkan corak ini atau mencipta landskap politik baharu pada PRN kali ini. Sabtu ini bakal memberi jawapannya.
PRN kali ini dijangka ditentukan tiga faktor utama:
Pertama, peratusan keluar mengundi. Dalam pilihan raya dijangka sengit, kadar keluar mengundi boleh menentukan pemenang. Jika peratusan keluar mengundi tinggi, terutama di kawasan bandar dan separa bandar, persaingan akan menjadi lebih terbuka. Sebaliknya, kadar keluar mengundi rendah lazimnya memberi kelebihan kepada parti mempunyai jentera akar umbi paling tersusun. Kedua, sokongan pengundi Cina dan India. Kedua-dua komuniti ini dijangka terus menjadi penentu di banyak kerusi campuran. Pengundi Cina yang membentuk lebih satu pertiga daripada keseluruhan pengundi Johor mempunyai pengaruh besar di kawasan bandar. Pada masa sama, sekitar 180,000 pengundi India walaupun minoriti, mampu menjadi faktor penentu di hampir 25 kerusi DUN. Ketiga, hala tuju pengundi muda. Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik mengubah landskap politik negara. Corak pengundian generasi muda masih sukar diramal kerana mereka lebih dipengaruhi isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan dan integriti kepemimpinan berbanding sentimen politik tradisional. Apa pun, Johor mempunyai acuan dan kekuatannya tersendiri. Semangat Bangsa Johor dibina atas asas perpaduan, saling menghormati serta kepemimpinan institusi diraja sentiasa menjadi benteng keharmonian negeri.
Penulis adalah Penganalisis politik dan perunding media
























