rencanabh@bh.com.my
PILIHAN raya adalah asas kepada sistem demokrasi sesebuah negara. Ia bukan sekadar proses memilih kerajaan tetapi turut menjadi ukuran terhadap tahap kematangan politik, integriti institusi dan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran.
Dalam konteks itu, setiap pilihan raya perlu berlangsung dalam suasana memastikan persaingan berlaku secara adil, telus dan berasaskan idea, dasar serta prestasi, bukan dipengaruhi kelebihan akses terhadap sumber awam.
Terdapat pelbagai pandangan dan kebimbangan awam dibangkitkan sepanjang tempoh hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini berkaitan dakwaan penggunaan program kerajaan, institusi awam serta inisiatif membabitkan masyarakat sebagai platform berpotensi memberi kelebihan politik kepada pihak tertentu.
Perkara seperti ini perlu diberi perhatian serius bukan sahaja dalam konteks PRN Johor, tetapi sebagai pengajaran penting kepada semua pilihan raya akan datang.
Prinsipnya jelas, kerajaan boleh berubah, parti boleh bertukar, tetapi institusi awam mesti kekal neutral, profesional dan berkhidmat untuk rakyat.
Segala program kerajaan bertujuan membantu masyarakat, termasuk pembangunan belia, pendidikan, latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), peluang pekerjaan, bantuan kebajikan dan pembangunan komuniti.
Program seperti ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan memegang amanah pentadbiran. Namun, garis pemisah antara tanggungjawab kerajaan dan kepentingan politik mesti sentiasa dihormati.
Apa yang perlu dielakkan ialah apabila program menggunakan sumber kerajaan menimbulkan persepsi ia dimanfaatkan untuk membina pengaruh politik, mendapatkan sokongan pilihan raya, mengumpul data kecenderungan politik atau memberikan kelebihan tidak adil kepada mana-mana pihak.
Walaupun matlamat asal sesuatu program mungkin baik, cara pelaksanaan tidak berhati-hati boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi awam.
Dalam perbincangan mengenai rasuah dan integriti, masyarakat sering mengaitkannya dengan wang atau habuan. Namun, dalam tadbir urus moden, isu integriti lebih luas daripada itu.
Penyalahgunaan kedudukan juga boleh berlaku apabila sumber, pengaruh, kemudahan atau platform rasmi kerajaan digunakan untuk tujuan tidak selari dengan mandat asalnya.
Persoalan utama perlu sentiasa ditanya ialah sama ada sesuatu sumber itu benar-benar digunakan secara adil untuk kepentingan rakyat atau memberi kelebihan politik kepada kumpulan tertentu.
Dalam demokrasi sihat, semua pihak perlu bersaing melalui kekuatan idea, dasar dan rekod perkhidmatan, bukan melalui kelebihan mengakses sumber awam.
Perhatian khusus juga perlu diberikan terhadap golongan muda, termasuk pengundi kali pertama. Mereka bukan sekadar kelompok sasaran dalam angka statistik pilihan raya, tetapi generasi akan menentukan arah masa depan negara.
Program pembangunan belia seharusnya menjadi ruang membina ilmu demokrasi, kepemimpinan, integriti dan pemikiran kritikal, bukan menimbulkan persepsi peluang pendidikan, latihan atau bantuan kerajaan mempunyai kaitan dengan sokongan politik.
Pihak berkuasa berkaitan perlu memainkan peranan lebih proaktif bagi memastikan penggunaan sumber kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya dipantau dengan berkesan.
Pemantauan tidak seharusnya hanya berlaku selepas kempen rasmi bermula. Budaya integriti pilihan raya perlu dibina lebih awal kerana pengaruh politik boleh hadir dalam pelbagai bentuk.
Semua pihak berkaitan perlu memastikan program kerajaan tidak disalahgunakan, dana awam digunakan mengikut tujuan sebenar, institusi pendidikan dan agensi kerajaan kekal neutral, serta penjawat awam tidak diletakkan dalam situasi konflik kepentingan.
Pada masa sama, rakyat mempunyai peranan sebagai mata dan telinga kepada perjalanan proses memperkukuh integriti negara.
Sebarang dakwaan salah guna kuasa atau penyalahgunaan sumber awam perlu dilaporkan melalui saluran yang betul berdasarkan fakta dan bukti, bukan persepsi atau fitnah.
Apa sahaja isu yang timbul pada PRN Johor harus dijadikan ruang memperbaiki sistem, bukan sekadar perdebatan bermusim.
Malaysia tidak boleh terus membiarkan elemen pelanggaran integriti atau amalan dua darjat antara kerajaan dan parti politik menjadi kabur setiap kali pilihan raya berlangsung.
Jika benar mahu membina negara berintegriti, prinsip ketelusan mesti kekal sama tanpa mengira siapa mentadbir. Ketika berada di luar kerajaan, tuntutan terhadap integriti mesti dipertahankan. Apabila memegang kuasa, prinsip sama wajib dihormati.
Akhirnya, program kerajaan mesti memperkasa rakyat, bukan memperkukuh kepentingan politik. Sumber awam adalah amanah negara, bukan kelebihan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Integriti pilihan raya bukan hanya tanggungjawab parti politik atau pihak berkuasa tetapi tanggungjawab seluruh rakyat yang mahu melihat demokrasi terus dihormati dan dipercayai.
Penulis adalah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)
























