BH Online
Ringkasan Berita

Pemenang PRN Johor ditentukan siapa paling menguasai persepsi

PILIHAN raya moden tidak lagi dimenangi semata-mata oleh parti paling banyak memasang bendera, menganjurkan ceramah atau menggerakkan jentera paling besar. Semua itu masih penting, tetapi bukan lagi penentu utama kemenangan. Dalam landskap politik hari ini, pertandingan sebenar ialah menguasai persepsi pengundi.
Pemenang PRN Johor ditentukan siapa paling menguasai persepsi

Foto hiasan

PILIHAN raya moden tidak lagi dimenangi semata-mata oleh parti paling banyak memasang bendera, menganjurkan ceramah atau menggerakkan jentera paling besar. Semua itu masih penting, tetapi bukan lagi penentu utama kemenangan. Dalam landskap politik hari ini, pertandingan sebenar ialah menguasai persepsi pengundi.

Perubahan ini dapat diperhatikan dengan jelas sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Jika suatu ketika dahulu pentas ceramah menjadi medan utama mempengaruhi rakyat, hari ini medan itu telah beralih kepada ruang digital.

Ceramah, walkabout, ziarah, pertemuan dengan peniaga, nelayan dan masyarakat setempat bukan lagi sekadar aktiviti lapangan, tetapi menjadi kandungan yang terus hidup di Facebook, TikTok, Instagram dan WhatsApp. Program mungkin berakhir selepas satu atau dua jam, namun rakaman video, gambar dan perkongsiannya mampu mempengaruhi persepsi pengundi selama berhari-hari.

Inilah perubahan paling besar dalam komunikasi politik moden. Kempen fizikal tidak lagi berdiri sendiri, sebaliknya menjadi sumber kandungan yang memperkukuh pengaruh di media sosial. Dalam erti kata lain, media sosial kini menjadi medan utama pembentukan persepsi, manakala kempen fizikal menjadi bukti yang mengesahkan naratif berkenaan.

Fenomena ini bukan berlaku secara kebetulan. Kajian penulis mengenai penglibatan politik di media sosial mendapati lebih 95 peratus pengundi mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun media sosial.

Facebook pula kekal sebagai platform paling matang apabila majoriti penggunanya telah berada di platform itu selama lebih sedekad. Ini menjelaskan mengapa media sosial bukan lagi sekadar medium penyampaian maklumat, tetapi ruang utama rakyat menilai kredibiliti, kesungguhan dan keupayaan seseorang pemimpin.

Berdasarkan pemerhatian penulis sepanjang lapan hari kempen PRN Johor, setiap parti politik kini menggabungkan kempen fizikal dan media sosial secara serentak. Setiap lawatan ke pasar, kampung, rumah ibadat atau program komuniti bukan lagi bertujuan mempengaruhi mereka yang hadir sahaja. Sebaliknya, aktiviti berkenaan dirancang supaya dapat diperluaskan kepada ribuan pengundi lain melalui kandungan digital yang dikongsi secara pantas.

Di sinilah terletaknya perubahan yang ramai masih belum sedari. Jika dahulu media sosial digunakan untuk melaporkan aktiviti kempen, hari ini kempen fizikal pula dilaksanakan bagi menghasilkan kandungan yang mampu menguasai media sosial. Hubungan antara kedua-duanya kini saling melengkapi dan tidak lagi boleh dipisahkan.

Johor sendiri sedang melalui fasa pembangunan yang signifikan. Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City meletakkan negeri ini dalam kedudukan strategik sebagai hab pelaburan dan pertumbuhan ekonomi serantau.

Dalam suasana ini, sebahagian pengundi bukan sekadar menilai manifesto atau retorik politik, tetapi turut melihat keupayaan kepemimpinan negeri memastikan agenda pembangunan berkenaan dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat.

Berdasarkan pemerhatian penulis di beberapa kawasan sepanjang tempoh kempen, isu kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan sering muncul dalam perbualan bersama pengundi.

Pendekatan 'walk the talk'

Pada masa sama, pendekatan kepemimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sering dikaitkan dengan konsep walk the talk turut menjadi antara faktor dibincangkan sebahagian masyarakat ketika menilai prestasi kerajaan negeri.

Pada masa sama, parti pembangkang terus membawa naratif masing-masing berhubung kos sara hidup, tadbir urus, kebajikan rakyat dan keperluan semak imbang. Perbezaan pendekatan ini memperlihatkan persaingan dalam PRN Johor bukan sekadar pertandingan manifesto, tetapi pertandingan membina keyakinan terhadap siapa yang lebih diyakini mampu memimpin Johor dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bagi kerusi seperti Kota Iskandar, persaingan mempunyai dimensi lebih besar. Kawasan ini bukan sahaja menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri, malah berada dalam ekosistem pembangunan Iskandar Malaysia yang berkait rapat dengan agenda pelaburan, ekonomi dan hubungan rentas sempadan.

Pada masa sama, kawasan ini masih mempunyai komuniti tradisional seperti nelayan dan penduduk kampung yang menilai calon berdasarkan hubungan, kefahaman terhadap isu setempat serta keupayaan menyelesaikan masalah mereka.

Sepanjang pemerhatian penulis mengikuti kempen di Kota Iskandar, pendekatan turun padang dan interaksi secara langsung dengan masyarakat masih mendapat sambutan yang baik.

Namun, perkara lebih menarik adalah bagaimana setiap aktiviti berkenaan kemudiannya diperluaskan melalui media sosial sehingga membentuk persepsi dalam kalangan pengundi yang tidak hadir di lokasi. Ini membuktikan kempen fizikal dan media sosial bukan lagi dua strategi yang berasingan, sebaliknya saling memperkukuh antara satu sama lain.

Hakikatnya, tingkah laku pengundi juga sudah berubah. Ramai tidak lagi menunggu tempoh akhir kempen untuk membuat keputusan. Mereka menilai calon secara berterusan melalui rekod perkhidmatan, kehadiran di media sosial, cara menangani isu semasa, interaksi bersama masyarakat dan konsistensi penyampaian. Persepsi terhadap seseorang calon mula terbentuk lebih awal dan akan terus berkembang sepanjang tempoh kempen.

Justeru, ukuran kejayaan kempen juga perlu dinilai semula. Bilangan ceramah, jumlah bendera atau ramai mana penyokong yang hadir bukan lagi ukuran mutlak. Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah sejauh mana setiap aktiviti di lapangan berjaya diterjemahkan kepada kandungan membina interaksi, mengukuhkan kepercayaan dan akhirnya membentuk persepsi positif dalam kalangan pengundi.

PRN Johor memperlihatkan landskap politik Malaysia sedang berubah. Parti yang berjaya bukan semestinya parti paling banyak berkempen, tetapi paling berjaya menyelaraskan kerja di lapangan dengan komunikasi digital sehingga mampu membina keyakinan rakyat secara konsisten.

Akhirnya, pilihan raya tetap diputuskan di peti undi. Namun sebelum tangan memangkah kertas undi, keputusan sebenar sudahpun bermula dalam minda pengundi. Dalam politik moden, siapa yang berjaya menguasai persepsi, dialah yang mempunyai kelebihan untuk menguasai pilihan raya.

Penulis ialah Penganalisis Politik

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Video Terkini

Berita Berkaitan