DALAM situasi perang atau konflik geopolitik, peluru pertama mungkin dilepaskan di medan perang. Namun impak ekonominya sering kali berakhir di meja makan di rumah kita.
Apabila rantaian bekalan dunia terganggu, kesan domino melanda sepantas kilat. Harga minyak mentah dunia melonjak, kos pengangkutan melambung, akhirnya harga sekilogram ayam atau bil utiliti bulanan kita yang menjadi mangsa.
Walaupun ekonomi negara kita hari ini masih mampu bertahan, persoalannya sampai bila?
Dalam dunia semakin saling bergantung, keselamatan tenaga mencakupi skop lebih besar - soal kelangsungan hidup, daya saing ekonomi dan kestabilan negara.
Lantas Malaysia tidak boleh sekadar memerhati. Krisis tenaga global menuntut negara bergerak laju, mempercepat inisiatif peralihan tenaga.
Realitinya, kita berada pada kedudukan cukup bertuah, ada akses kepada bekalan tenaga stabil, bersih dan mampu milik. Kelebihan ini menjadi magnet utama menarik pelaburan gergasi, terutama bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi dan ekonomi digital seperti pusat data yang memerlukan tenaga tanpa henti.
Misi besar ini digerakkan secara agresif Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di bawah pimpinan Datuk Seri Fadillah Yusof. Fokus utama termasuk meluaskan penggunaan tenaga boleh baharu, membangunkan grid pintar dan memperkukuh hubungan tenaga rentas sempadan.
Salah satu projek mega wajar diberi perhatian ialah cadangan projek kabel dasar laut menghubungkan Sarawak dan Johor. Walaupun masih menunggu kelulusan kerajaan Indonesia untuk kajian dasar laut - memandangkan laluannya merentasi perairan negara jiran - projek ini membuktikan kesungguhan kita untuk jangka panjang.
Sarawak, dengan khazanah hidroelektrik melimpah, mempunyai potensi besar menjadi 'hab tenaga hijau' bukan hanya untuk Malaysia, malah rantau Asia Tenggara. Bayangkan lebihan tenaga bersih dari Bumi Kenyalang ini mampu disalurkan terus bagi memacu industri di Semenanjung, Sabah, malah negara tetangga.
Namun untuk membolehkan ia tercapai, masa depan sektor tenaga tidak boleh dirancang sendirian. Infrastruktur moden memerlukan jaringan serantau yang saling melengkapi.
Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN baru-baru ini bersetuju mempercepatkan pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Projek Saluran Paip Gas Trans-ASEAN.
Fakta ekonomi menyokong penuh usaha ini. APG sebagai contoh bukan sekadar projek kabel dan wayar, tetapi lubuk ekonomi masa depan.
APG dijangka menyumbang AS$3 trilion sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN menjelang 2050, mewujudkan 1.45 juta peluang pekerjaan. Kini, 18 projek kuasa rentas sempadan dalam perancangan, di samping 60 lokasi tenaga boleh baharu turut dikenal pasti.
Jika Kesatuan Eropah (EU) berjaya menyatukan pasaran tenaga mereka merentasi sempadan, mengapa tidak ASEAN? Sumber bukan isu, kerana rantau kita kaya dengan hidro, solar, angin dan biojisim.
Cumanya, ketiadaan satu rangka kerja atau regulasi bersama yang jelas wajar dirungkai. Di sinilah komitmen politik dan kesepakatan jiran serantau diperlukan.
NETR garis transformasi mobiliti hijau negara
Pada peringkat domestik, kompas kita sudah jelas, khususnya melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan sasaran mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal 2050.
Bukan sekadar janji di atas kertas, NETR menggariskan transformasi drastik dalam landskap mobiliti hijau negara.
Antaranya meningkatkan perkongsian mod pengangkutan awam kepada 60 peratus, mempercepat penembusan kenderaan elektrik (EV), termasuk pacuan empat roda kepada 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan, menyasarkan penembusan 80 peratus motosikal elektrik dalam pasaran serta memperkukuh keupayaan pembuatan EV tempatan sehingga mencapai kadar 90 peratus.
Langkah ini penting kerana kita tidak boleh terus bergantung model lama yang terlalu 'taksub' dengan import bahan api fosil yang harganya sering tidak menentu.
Dalam situasi semasa, memastikan solidariti tenaga cukup penting, terutama bagi mendepani risiko krisis tenaga seperti berlaku akibat konflik di Asia Barat kini. Ia hanya boleh dicapai dengan adanya grid yang saling terhubung.
Jika ini berhasil, seandainya sesebuah negara mengalami gangguan bekalan, negara jiran dalam rangkaian boleh bertindak sebagai penyelamat untuk menstabilkan sistem. Kestabilan tenaga serantau secara kolektif juga penting untuk menarik pelabur.
Bagi Malaysia, mempercepat peralihan tenaga bukan lagi sekadar memenuhi KPI komitmen iklim global. Ia tentang keselamatan ekonomi, daya tahan nasional dan masa depan anak cucu.
Semakin cepat kita memodenkan grid nasional dan mengintegrasikan sistem tenaga dengan negara jiran, semakin kebal ekonomi kita daripada badai geopolitik dunia.
Masa depan tenaga bersih, stabil dan mampu milik tidak akan jatuh bergolek dari langit. Ia memerlukan keberanian politik dan pelaburan strategik harus bermula hari ini.
Malaysia mempunyai segala ramuan untuk menjadi pemimpin tenaga di rantau ASEAN. Dalam dunia bergerak pantas, menunggu dan melihat bukan lagi satu pilihan, kerana ia jelas satu kerugian.
Penulis adalah Pengarang Berita BH
























