BH Online
Ringkasan Berita

HAWANA angkat suara wartawan, perkasa demokrasi Malaysia

“APAKAH tajuk utama akhbar esok?”
HAWANA angkat suara wartawan, perkasa demokrasi Malaysia

Anwar berusaha merealisasikan penubuhan MMM dan Fahmi menjayakan proses Akta Majlis Media. (Foto fail NSTP)

"APAKAH tajuk utama akhbar esok?"

Dahulu, persoalan inilah sering menjadi topik hangat dalam kalangan rakyat, termasuk ahli politik. Ramai ternanti-nanti berita bakal menghiasi muka depan akhbar keesokannya.

Seawal 4 pagi, pengedar akhbar berkumpul di sekitar Lebuh Ampang untuk mengambil naskhah dan mengagihkannya kepada ejen. Dari situ, akhbar dihantar dari rumah ke rumah menggunakan motosikal atau basikal, memastikan orang ramai dapat membaca berita sebaik sahaja memulakan hari.

Media sosial masih belum wujud. Sumber utama maklumat hanyalah akhbar, televisyen dan radio. Sebab itulah setiap tajuk utama dan laporan disiarkan mampu mencetuskan perbincangan besar serta membentuk pandangan masyarakat. Lidah pengarang pernah menjadi suara digeruni, manakala ruangan kolum pula menjadi wadah dinanti-nantikan kerana ketajaman analisisnya mampu mencetuskan gelombang perubahan.

Begitulah tajamnya suara pena. Tanpa perlu meninggikan suara, ia mampu menggegarkan pentas politik, negara dan menyedarkan masyarakat, termasuk menuntut perubahan.

Zaman kita ini, belek, selak dan cari berita di akhbar fizikal semakin kurang. Sejak ada berita dalam talian yang jauh lebih cepat dan pantas, semuanya di hujung jari. Inilah antara cabaran dilalui media arus perdana.

19bh11lb
Foto hiasan

Berbicara mengenai dunia kewartawanan dan peranan media, sudah tentu nama seperti Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Chamil Wariya, Datuk Ahmad Nazri Abdullah, Datuk Hishamuddin Aun, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Khalid Mohd, Datuk Aziz Ishak, Datuk Ahmad Zaini Kamarulzaman, Datuk Sirajuddin Rafia, Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Wong Sai Wan, Datuk Hassan Mohd Nor, Datuk Manja Ismail, Dr G Manimaran, Zulkifli Jalil, Datuk Suhaimi Sulaiman, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Arul Rajoo dan ramai lagi tokoh media akan terus dikenang.

Tan Sri Zainuddin Maidin atau lebih dikenali sebagai Zam antara tokoh wartawan paling menonjol hingga berkhidmat sebagai Menteri Penerangan dari 2006 hingga 2008 selepas meniti kerjaya daripada pemberita hingga Ketua Pengarang Utusan Malaysia.

Selepas beliau, hampir tiada lagi tokoh media diberi ruang, peranan dan pengiktirafan pada tahap sama. Malah, sumbangan insan media dalam kepemimpinan dan pentadbiran negara jarang sekali diangkat dengan penghormatan sedemikian.

Jatuh bangun, perjalanan dan perjuangan setiap media bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Tamil memiliki identiti serta sejarah sukar dinafikan. Wartawan tidak mengira warna kulit, bangsa ataupun agama. Mereka berada di barisan hadapan negara.

Ketika dunia berdepan serangan teknologi bertalu-talu dalam era semakin mencabar, peranan dan tanggungjawab media juga berdepan dengan pelbagai cabaran untuk kekal relevan seiring dengan tuntutan zaman.

Media terpaksa bertarung dan bertempur dengan pelbagai aplikasi sosial media yang menjadi satu lagi saluran media alternatif bergerak pantas. Media arus perdana terpaksa bersaing dengan kuasa media baharu.

Dalam era semakin mencabar dengan penyebaran berita palsu, manipulasi maklumat dan polarisasi masyarakat, kewartawanan beretika menjadi benteng utama mempertahankan kebenaran serta integriti serta kesahihan maklumat.

Wartawan bukan sekadar menyampaikan laporan sesuatu peristiwa, malah memikul tanggungjawab besar untuk membentuk masyarakat berilmu, berfikiran kritis, celik media dan mampu membuat penilaian secara rasional demi kepentingan negara.

Dalam situasi dan fenomena seperti inilah, langkah berani Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM), sekali gus reformasi besar dalam landskap kewartawanan negara diperjuangkan sejak awal 1970.

Pengamal media, tokoh kewartawanan dan pemerhati industri sudah lama menyuarakan hasrat mengangkat keperluan badan kawal selia memastikan kebebasan media tidak terpisah daripada tanggungjawab etika.

Selepas melalui proses perbincangan, sesi libat urus konsisten antara industri media, kerajaan dengan pihak berkepentingan, reformasi ini menjadi realiti apabila Akta Majlis Media Malaysia dikuatkuasakan pada 14 Jun.

Antara figura penting mengusahakan dan menoktahkan proses ini termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta sokongan pelbagai blok politik di Parlimen yang membuka ruang kepada persetujuan rentas parti.

Ia isyarat jelas industri media bergerak ke arah era baharu lebih matang dan berstruktur, apabila prinsip kawal selia kendiri, kebebasan media dan akauntabiliti awam cuba diseimbangkan dalam satu kerangka lebih stabil sambil memastikan media terus berfungsi sebagai ruang semak dan imbang. Kita tunggu dan lihat apakah langkah MMM selepas ini?

Penulis juga tertarik dengan komitmen Fahmi dalam menangani isu kebajikan dan hal ehwal wartawan di negara ini. Beliau sering turun padang untuk memastikan nasib mereka dijaga dan terjamin.

Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 20 Jun ini dengan Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Butterworth Arena akan dirasmikan Perdana Menteri dan dijangka disertai 1,000 pengamal media dalam dan luar negara, sekali gus menjadi pengiktirafan kepada dedikasi dan pengorbanan mereka.

Mengangkat tema Media Berintegriti, Teras Kredibiliti, HAWANA 2026 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai agensi pelaksana, adalah platform kemuncak penghargaan terhadap sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.

Benteng utama pastikan kestabilan politik 

Keutuhan demokrasi, kestabilan politik dan keyakinan ekonomi negara tidak dapat dipisahkan daripada kewujudan media bebas, profesional dan berintegriti. Dalam era keterbukaan maklumat semakin mencabar dan kritikal, media menjadi tunjang penting dalam membentuk persepsi, keyakinan dan hala tuju masyarakat.

Media menjadi benteng utama dalam memastikan kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan keyakinan ekonomi negara terus kukuh. Dalam era percambahan maklumat dan media sosial, kewartawanan beretika serta bertanggungjawab penting bagi memastikan rakyat menerima maklumat tepat, sahih dan seimbang.

Kestabilan politik dinikmati negara tidak dapat dipisahkan daripada sokongan media matang, profesional dan berintegriti. Dalam landskap politik moden, media dan komunikasi menjadi antara benteng utama membentuk kekuatan pemimpin serta parti politik sehingga ramai akhirnya bergelar 'Yang Berhormat' melalui pengaruh, liputan dan ruang dibuka dunia kewartawanan.

Namun, hubungan antara pemimpin politik dengan media bersifat naik turun. Media dan wartawan dicari ketika diperlukan, tetapi tidak jarang juga berlaku sikap 'kacang lupakan kulit' apabila berubah.

Apabila berlaku kesilapan laporan atau perbezaan naratif, media menjadi sasaran kritikan, walaupun hakikatnya mereka berperanan sebagai penyampai maklumat kepada rakyat.

Begitulah lumrah dunia media dan kewartawanan - medan sentiasa berada di tengah-tengah tekanan, tetapi tetap menjadi nadi penting kepada demokrasi dan ruang awam negara.

Apapun percaturan politik, hubungan antara media dengan pemimpin politik perlu terus dipelihara dalam kerangka sihat, profesional dan berteraskan rasa hormat. Media bukan musuh kepada kerajaan atau pembangkang, sebaliknya jambatan maklumat antara rakyat dengan pihak memegang kuasa.

Pemimpin politik pula harus bersedia menerima kritikan membina serta menjawab persoalan rakyat dengan keterbukaan dan fakta. Jangan sesekali memandang rendah kebijaksanaan rakyat kerana mereka celik maklumat, mampu membezakan antara fakta dan propaganda serta tidak mudah terpedaya dengan retorik atau janji kosong.

Dalam dunia digital menyimpan segala rekod di hujung jari, ingatan rakyat jauh lebih panjang. Akhirnya, kredibiliti dan integriti akan sentiasa mengatasi gimik politik atau sensasi sementara.

Pelabur asing serta komuniti perniagaan sentiasa melihat kestabilan politik dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara. Media yang profesional membantu membina keyakinan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Semua pihak perlu menghormati kebebasan media serta memberi ruang kepada wartawan menjalankan tugas tanpa tekanan atau ancaman. Wartawan menjadi barisan hadapan dalam menyampaikan suara rakyat, terutama ketika negara berhadapan krisis, bencana atau cabaran politik.

Sempena HAWANA, penulis merakamkan penghargaan kepada semua rakan seperjuangan termasuk pengamal media, editor, jurukamera dan petugas industri media.

HAWANA

Penulis ialah Penganalisis Politik dan Perunding Media

Video Terkini

Berita Berkaitan