BH Online
Ringkasan Berita

PAS licik intai ruang jadi 'abang besar' PN

PAS mungkin satu-satunya parti politik di negara ini yang gemar mengulangi episod drama bersiri. Sejarah meletakkan PAS sebagai parti yang lahir pada 24 November 1951 hasil tantangan terhadap kehendak tidak dipenuhi.
PAS licik intai ruang jadi 'abang besar' PN

PAS mungkin satu-satunya parti politik di negara ini yang gemar mengulangi episod drama bersiri. Sejarah meletakkan PAS sebagai parti yang lahir pada 24 November 1951 hasil tantangan terhadap kehendak tidak dipenuhi.

Dekad 1950-an dan 1960-an menyaksikan PAS berkembang di kawasan luar bandar khususnya negeri dominasi Melayu. Di sebalik dominan pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta sesekali Perlis, PAS selalu mahu menjadi berbeza.

Ia mahu sentiasa dipandang dan mahu selalu menjadi bahan bualan, tidak kira dipuji atau dicerca. PAS pernah menyertai kerajaan campuran bersama UMNO bermula 1973 dan membentuk Barisan Nasional (BN) pada 1974 sebelum konflik mengakhiri kerjasama pada 1977.

Rekod menyaksikan PAS bersama Parti Semangat 46 (S46) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990; Barisan Alternatif (BA) bersama Keadilan, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 1999; Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP pada 2008; Gagasan Sejahtera bersama IKATAN dan BERJASA pada 2016, sebelum lahirnya Perikatan Nasional (PN) pada 2020 bersama BERSATU.

Terkini, PAS berbalah dengan BERSATU dan mengambil alih kepengerusian PN, berganding dengan Parti Wawasan Negara diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menjadi watak antagonis BERSATU, malah kembali dinamakan sebagai Ketua Pembangkang.

PAS seolah-olah memiliki sisi ketagihan dalam menggapai badai, menguji pantai. Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berpandangan kerjasama PAS dengan pelbagai pihak, terutama menjelang pilihan raya, seolah-olah menampakkan parti itu terbuka menerima sesiapa juga, namun tetap dikekang batasan suara mutlak kuasa atasan.

"Setiap keputusan PAS diambil dengan restu Maj- lis Syura Ulama sebagai badan pembuat dasar tertinggi parti. Bersama atau berpecah, parti Melayu atau bukan Melayu, ia tidak pernah dan tidak akan melanggar asas politik ulama.

"Zahirnya, PAS dilihat mudah membentuk kerjasama politik dengan sesiapa pun tetapi ia juga boleh dipandang dari sudut berasingan.

"Kita tidak boleh menolak kemungkinan ada masanya PAS berasa terlalu besar dan stabil dengan memiliki pakej lengkap sebagai sebuah parti politik, khususnya jentera akar umbi yang ramai hingga boleh memutuskan ikatan dengan sekutu pada bila-bila masa jika hubungan tidak lagi menguntungkan.

"Dalam jangka panjang, persepsi ini agak berbahaya kerana boleh mewujudkan krisis kepercayaan terhadap keikhlasan PAS dalam bergabung.

"PAS diakui ada struktur pentadbiran kukuh dan stabil, ditambah dengan ribuan ahli yang boleh dikatakan menaruh sepenuh kepercayaan terhadap keputusan pimpinan parti.

"Itu yang lebih penting dijaga sebagai taruhan untuk kekal relevan, berbanding politik peluang diamalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana sekuat mana sekalipun gabungan dibentuk, PAS tetap terikat dengan 'wahyu' Majlis Syura Ulama tanpa ruang kompromi," katanya.

PAS tidak bergantung kepada BERSATU

Perkembangan mutakhir, kata Sivamurugan, menampakkan PAS tidak bergantung kepada BERSATU untuk survival politik, tetapi sebaliknya. BERSATU lebih memerlukan PAS untuk pergantungan gerak kerja.

Tindakan BERSATU menolak penyertaan beberapa parti majoriti Melayu Islam, termasuk dikaitkan dengan Hamzah pada waktu itu, katanya menghantar isyarat jelas kepada PAS untuk mula mencipta jarak mencetuskan bibit perpecahan.

Jajaran baharu kerjasama politik diumum Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 akhir bulan depan, mengesahkan tekaan beberapa pihak mengenai pengaruh PAS mahu menjadi 'abang besar'.

Ia mungkin tidak dinyatakan secara terbuka, malah mungkin tidak pernah terlintas dalam perancangan PAS untuk bersifat begitu hinggalah ia berlaku.

Perhitungan di Johor bakal menyaksikan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Parti Berjasa Malaysia (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dilapor bakal menjadi antara sekutu PAS.

PAS mahu menggunakan logo sendiri dan bercadang meletak calon di 10 kerusi DUN yang dimenangi dengan majoriti tipis pada PRN lalu.

Persoalannya, bagaimana jika watikah calon tidak dikeluarkan bagi individu dipilih PAS kerana hanya Majlis Presiden PN mempunyai kuasa membuat keputusan muktamad mengenai ketetapan kerusi pilihan raya yang dirujuk Jawatankuasa Rundingan Kerusi.

Keputusan Majlis Presiden perlu dibuat secara sebulat suara dan perlembagaan PN tidak memberikan kuasa mutlak kepada pengerusi gabungan itu membuat ketetapan perihal kerusi pilihan raya.

Apakah politik Malaysia bakal menyaksikan PAS bekerjasama dengan UMNO - parti bangsa Melayu dilihat paling stabil dan tenang daripada sebarang palitan kontroversi ketika ini.

Sivamurugan tidak menolak langkah itu, namun melihatnya sebagai suasana yang boleh menyuramkan politik tanah air.

"UMNO sebagai parti politik di bawah payung BN tidak boleh disamakan dengan UMNO/BN yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan. Satu, adalah topi kelangsungan bangsa, manakala satu lagi topi pentadbiran demi kesejahteraan rakyat.

"Di sini letaknya kebijaksanaan UMNO. Ada garis membatasi fungsi dan keberadaannya kerana politik dan pentadbiran adalah dua entiti berbeza.

"Mungkin PAS mahu menjadikan UMNO sebagai batu loncatan seterusnya, terutama dalam keadaan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bakal berlangsung selewat-lewatnya akhir tahun depan.

"Soal sama ada ia politik peluang atau sekadar mengambil kesempatan hanya boleh ditentukan selepas kita melihat hasilnya," katanya.

Dengan PAS, tiada apa yang perlu dihairankan atau mengejutkan. Apa sekalipun lambang atau dogmanya, PAS adalah parti politik dan politik itu sifatnya sentiasa mencari kuasa.

PAS tidak betah berbahagi kuasa untuk tempoh panjang. Sejarah menjadi saksi PAS amat kerap 'tidur sebantal' dengan pasangan bersilih-ganti.

Mimpinya kekal berbeza, kemahuannya cuma berkongsi bumbung sebelum mencari hentian seterusnya. Mungkin itu hakikat terbesar yang terlepas daripada pandangan PAS - mimpi akan berakhir sebaik mata dibuka.

Politik jarang memihak kepada bidak yang terlalu laju geraknya.

Penulis adalah Pengarang BH

Video Terkini

Berita Berkaitan