bhrencana@bh.com.my
Sejurus pulang lawatan rasmi dari Jepun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menunggu lama untuk kembali melaksanakan tanggungjawabnya apabila terus mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Di satu sudut lain pula, sekumpulan pemimpin politik pula menguruskan strategi politik untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak mudah tunduk kepada tekanan politik sedang melanda negara ketika ini. Namun, beliau juga manusia biasa mempunyai hati dan perasaan.
Tidak dapat dinafikan, ada kalanya beliau sukar menyembunyikan emosinya, seperti dapat dilihat dalam ucapannya ketika merasmikan jentera pilihan raya PH Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.
Dalam suasana politik semakin mencabar dan pelbagai tekanan yang dihadapi, reaksi sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa.
Apa yang penting, beliau terus fokus kepada tugas dan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri sambil berdepan pelbagai serangan serta cabaran politik berterusan.
Fokusnya mahu menjaga rakyat. Beliau juga jarang sekali menyerang mana-mana parti politik berada dalam gabungan Kerajaan Perpaduan mahu pun pemimpinnya.
Beliau cukup berhati-hati mahu menjaga keamanan, kestabilan dan kesejahteraan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan pada 2022.
Tidak dinafikan kuasa di tangan beliau sebagai Perdana Menteri, tetapi perlu menjaga hati semua 18 parti berada dalam lingkungan Kerajaan Perpaduan, khususnya UMNO.
Pertama kali dalam sejarah politik negara, situasi seperti ini wujud untuk membentuk kerajaan. Pernahkah kita terfikir PKR, Barisan Nasional (BN) dan DAP duduk bersama dalam Kabinet.
Pertama kali juga dalam sejarah dua jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan untuk menjaga kestabilan dan ketenangan politik. Komposisi Kabinet juga diperuntukkan secara adil.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PH menang 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (PN) meraih 74 kerusi, BN (30) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi Parlimen.
Perjalanan gabungan ini sudah merentasi tiga tahun setengah. Bagi Anwar dirinya sudah melalui bermacam sepak terajang, keperitan dan tikam belakang dalam karier politiknya.
Apa pun tarikh PRN Johor dan Negeri Sembilan sudah ditetapkan. Suka atau tidak proses demokrasi perlu dihormati. Malaysia sedang memasuki satu fasa politik unik. Pertukaran kerajaan menjadi 'new norm'. Zaman dominasi sudah berakhir.
Keutamaan rakyat semakin berubahÂ
Jika suatu ketika dahulu rakyat begitu ghairah berbicara pertukaran kerajaan, reformasi politik dan perebutan kuasa, hari ini keutamaan rakyat semakin berubah.
Politik masih penting, tetapi kehidupan harian menjadi ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan. Rakyat hari ini bangun pagi bukan memikirkan siapa menang atau kalah dalam percaturan politik, mereka memikirkan harga makanan di meja makan, kos pendidikan anak, bayaran ansuran rumah, peluang pekerjaan dan masa depan keluarga.
Dalam bahasa mudah, rakyat mahukan penyelesaian, bukan sekadar polemik. Walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi global tercetus termasuk krisis dan perang di Asia Barat, rakyat masih menaruh harapan besar terhadap masa depan negara. Keyakinan terhadap potensi Malaysia tidak pernah hilang.
Malaysia memiliki kestabilan institusi yang baik, kedudukan strategik di rantau Asia Tenggara, hubungan diplomatik kukuh serta daya tarikan pelaburan terus berkembang.
Kemasukan pelaburan asing, khususnya dari negara utama seperti Jepun, China dan Negara Teluk, memberikan gambaran Malaysia masih mempunyai asas ekonomi kukuh.
Rakyat berharap pelaburan yang masuk bukan sekadar angka dalam laporan ekonomi, tetapi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan kehidupan yang lebih baik.
Kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan utama. Walaupun pelbagai inisiatif bantuan diperkenalkan kerajaan, rakyat masih merasakan tekanan akibat kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan.
Golongan muda pula berdepan cabaran memiliki rumah pertama, membina kerjaya stabil dan menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi digital pantas.
Pada masa sama, rakyat semakin menuntut perkhidmatan kerajaan lebih cekap, pantas dan mesra pengguna. Era rakyat beratur panjang untuk mendapatkan bantuan atau berdepan birokrasi menyusahkan semakin tidak dapat diterima.
Rakyat mahukan kerajaan memahami maruah mereka sebahagian daripada kesejahteraan negara. Hakikat perlu diterima semua pihak ialah rakyat semakin muak dan menyampah dengan politik berasaskan kemarahan, fitnah dan permusuhan.
Budaya politik kebencian semakin berleluasa. Politik perkauman dijadikan modal untuk meraih undi. Politik terlalu banyak memainkan emosi kebencian, tetapi semakin sukar menawarkan penyelesaian diperlukan rakyat.
Masyarakat mahu melihat pertandingan idea lebih matang dan terbuka bukan pertandingan mencipta musuh. Rakyat memahami perbezaan pandangan sebahagian daripada demokrasi, namun mereka mahu melihat kematangan dalam kalangan pemimpin bekerjasama demi kepentingan negara. Jangan sekadar cakap ala 'politik kosmetik'.
PRN Johor, Negeri Sembilan mahupun PRU16 bukan sekadar gelanggang persaingan parti politik atau perebutan kuasa. Sebaliknya, ia bakal menjadi referendum rakyat terhadap keupayaan pemimpin mengurus harapan, menangani cabaran serta memacu negara dalam suasana semakin mencabar.
Rakyat akan menilai bukan pada janji diungkapkan, tetapi pada hasil berjaya diterjemahkan. Akhirnya, masa depan kerajaan tidak ditentukan retorik politik, tetapi keupayaan menunaikan harapan rakyat dan menyelesaikan masalah mereka hadapi.
Penganalisis politik dan perunding media
























