PENDIRIAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 10 Jun seperti dalam kenyataan rasminya menjelaskan kesediaan parti itu bekerjasama dengan parti lain, sekali gus menunjukkan ia tidak hanya berada dalam lingkungan pilihan raya negeri (PRN), sebaliknya membabitkan prospek untuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ia adalah maklum balas semasa UMNO berdasarkan rentetan prestasi kerajaan diketuai Pakatan Harapan (PH) dan reaksi semasa rakyat yang semakin menolak parti gabungan itu berdasarkan keputusan PRN Sabah.
Ia memperlihatkan kehendak majoriti rakyat perlu diutamakan dan sebarang perbezaan dapat diselesaikan di meja rundingan dengan mementingkan kestabilan negara. Dalam konteks ini, Muafakat Nasional (MN) 2.0 perlu direalisasikan agar selari kehendak rakyat di lapangan berbanding objektif peribadi.
Perkembangan ini memberi petunjuk ruang kerjasama antara PAS dengan UMNO yang sebelum ini dianggap tertutup mungkin sedang dibuka semula secara perlahan-lahan. Kenyataan media Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 8 Jun yang mengumumkan penamatan kerjasama dengan BERSATU, diikuti kenyataan media Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Rabu lalu, yang menegaskan parti itu terbuka kepada 'apa jua bentuk kerjasama' berasaskan keikhlasan dan kepercayaan, menjadi dua perkembangan yang sukar dipisahkan daripada konteks politik semasa.
Kenyataan Presiden PAS secara jelas menyebut PAS akan 'meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah'. Walaupun UMNO tidak disebut secara khusus, realiti politik semasa menunjukkan pilihan paling logik bagi PAS selepas berpisah dengan BERSATU ialah kembali membina hubungan dengan UMNO.
Kenyataan Setiausaha Agung UMNO juga cukup signifikan. Walaupun UMNO menegaskan komitmennya kepada Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan, parti itu turut menyatakan kerajaan negeri tidak terikat dengan formula politik Persekutuan dan UMNO berhak menentukan strategi sendiri menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Bahasa politik seperti ini biasanya digunakan untuk menyediakan ruang rundingan tanpa perlu mengumumkan sesuatu secara terbuka pada peringkat awal. Ia membolehkan kedua-dua pihak menguji reaksi akar umbi dan pengundi terlebih dahulu sebelum membuat keputusan yang lebih besar.
Johor mempunyai kedudukan unik. Kerajaan negeri hari ini diterajui Barisan Nasional (BN) tanpa penyertaan PH. Berbeza dengan negeri lain yang mempunyai Kerajaan Perpaduan pada peringkat negeri, Johor memberi lebih banyak fleksibiliti kepada UMNO untuk merangka formula politik tersendiri.
Antara manfaat terbesar sekiranya PAS dan UMNO berjaya mencapai suatu bentuk persefahaman politik ialah keupayaan kedua-dua parti untuk menyatukan semula sebahagian besar undi Melayu-Islam yang berpecah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam beberapa pilihan raya lalu, persaingan antara PAS dengan UMNO menyebabkan berlakunya perpecahan undi dalam kalangan pengundi Melayu sehingga memberi kelebihan kepada pihak lawan. Melalui kerjasama tersusun, kedua-dua parti berpotensi mengurangkan persaingan sesama sendiri dan memaksimumkan kekuatan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu.
Selain itu, kerjasama berkenaan juga mampu menyumbang kepada kestabilan politik lebih baik. Sejak 2018, landskap politik negara sering dicirikan perubahan pakatan dan ketidaktentuan politik berpanjangan. Persefahaman antara PAS dengan UMNO boleh membantu dalam mengurangkan konflik politik dalam kalangan parti Melayu utama, sekali gus memberikan keyakinan lebih tinggi kepada rakyat serta pelabur terhadap kestabilan politik negara.
Gabung kekuatan organisasi
Kerjasama ini juga membolehkan kedua-dua parti menggabungkan kekuatan organisasi masing-masing. UMNO mempunyai jaringan organisasi dan pengalaman pentadbiran yang luas, manakala PAS terkenal dengan kekuatan jentera akar umbi serta disiplin ahlinya.
Gabungan kedua-dua kelebihan ini boleh mewujudkan satu jentera pilihan raya lebih mantap dan berkesan berbanding jika kedua-duanya bergerak secara berasingan.
Dari sudut lebih luas, kerjasama itu berpotensi mengembalikan pengaruh politik Melayu-Islam yang sebelum ini menjadi teras kepada MN. Bagi penyokong kedua-dua parti, penyatuan ini dilihat mampu memperkukuhkan suara politik Melayu dalam menghadapi cabaran politik semakin kompleks menjelang PRU16.
Bagi memastikan kerjasama ini berjaya, PAS dan UMNO perlu mengambil pendekatan pragmatik serta berperingkat. Langkah pertama boleh dilakukan adalah memulakan kerjasama dalam bentuk persefahaman pilihan raya tanpa perlu mewujudkan gabungan politik formal. Pendekatan ini lebih mudah diterima akar umbi kerana memberi ruang kepada kedua-dua parti membina semula keyakinan secara beransur-ansur.
Kedua-dua parti juga perlu mengutamakan dialog berterusan dan mengelakkan polemik terbuka melalui media. Pengalaman lalu menunjukkan banyak rundingan politik menjadi sukar apabila kenyataan bercanggah dibuat secara terbuka oleh pemimpin kedua-dua pihak.
Rundingan dijalankan tertutup dan profesional akan memberikan peluang lebih besar untuk mencapai persefahaman berkekalan.
Pada masa sama, kerjasama dibentuk perlu berasaskan agenda lebih besar daripada kepentingan parti semata-mata. Kedua-dua pihak perlu menumpukan perhatian kepada isu memberi manfaat kepada rakyat seperti kestabilan politik, pembangunan ekonomi, kos sara hidup dan kesejahteraan masyarakat. Pendekatan ini akan membantu dalam meningkatkan penerimaan rakyat terhadap sebarang bentuk kerjasama diwujudkan.
Akhir sekali, tokoh mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua parti seperti Tan Sri Annuar Musa pada pihak PAS dan tokoh lain sama daripada UMNO boleh berperanan penting sebagai pemudah cara dan jambatan komunikasi. Dalam konteks ini, lantikan Annuar sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS Johor bukan sahaja mempunyai nilai strategik dari sudut pilihan raya, malah berpotensi menjadi pemangkin pembentukan semula persefahaman politik Melayu-Islam lebih luas pada masa hadapan.
Walaupun masih terlalu awal untuk menyimpulkan PAS dan UMNO akan kembali bergabung, perkembangan terkini menunjukkan kedua-dua parti sedang menghantar isyarat semakin jelas ke arah persefahaman politik baharu. Sekiranya formula persefahaman ini berjaya di Johor, selain di Negeri Sembilan, ia berpotensi menjadi asas penjajaran semula politik Melayu-Islam menjelang PRU16.
Namun, kejayaannya bergantung kepada satu faktor utama, iaitu sama ada kedua-dua parti mampu mengatasi krisis kepercayaan yang menjadi punca keruntuhan MN sebelum ini. Jika cabaran berkenaan dapat diuruskan dengan baik, PRN Johor dan Negeri Sembilan mungkin menjadi titik permulaan kepada babak baharu hubungan politik PAS-UMNO.
Penulis adalah Pensyarah Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH
























