BAGI seorang dewasa, mahkamah bukan ruang mudah difahami. Bukan hanya kerana undang-undang dibicarakan di dalamnya rumit, tetapi kerana seluruh suasananya dibina atas satu disiplin.
Pintu kayu besar, ruang menunggu kosong dan kaku, hakim dan peguam berjubah hitam, meja tinggi, mikrofon, rakaman, tatacara dan bahasa perundangan terasa cukup asing dengan kehidupan harian.
Bagi sesetengah orang, berada di mahkamah sudah cukup membuatkan tubuh menjadi kaku dan perasaan menjadi gerun sebelum sepatah perkataan pun diucapkan.
Seseorang tidak bersalah atau sekadar menjadi saksi boleh berasa kerdil dan lemah apabila melangkah masuk ke ruang begitu asing.
Bayangkan pula bagi kanak-kanak. Bagi mereka, mahkamah bukan sekadar bangunan besar. Ia boleh menjadi ruang yang menakutkan, penuh dengan orang dewasa, soalan dan wajah tidak dikenali.
Kanak-kanak yang menjadi mangsa atau saksi bukan datang dengan dokumen, strategi atau kefahaman undang-undang. Mereka datang membawa ingatan, ketakutan dan beban emosi yang belum tentu mampu dinyatakan dengan jelas.
Dalam keadaan seperti itu, proses mencari keadilan boleh bertukar menjadi trauma kedua bagi kanak-kanak. Di sinilah Mahkamah Bergerak Kanak-Kanak perlu difahami.
Ia mungkin kelihatan sekadar pembaharuan kecil dalam pentadbiran kehakiman. Sebuah van, ruang keterangan, pautan video dan kelengkapan bergerak. Namun, di sebalik semua itu tersimpan persoalan jauh lebih besar.
Apakah sistem keadilan negara cukup manusiawi untuk mendengar suara seorang kanak-kanak. Selama ini, sistem meminta kanak-kanak menyesuaikan diri dengan ruang mahkamah.
Reformasi ini membawa perubahan falsafah lebih penting. Mahkamah akan mula menyesuaikan diri dengan keperluan kanak-kanak.
Ini bukan soal melembutkan mahkamah sehingga mengorbankan ketegasan undang-undang. Mahkamah tetap mahkamah. Keterangan tetap perlu diuji. Hak tertuduh tetap mesti dipelihara.
Namun, ketegasan sistem tidak menuntut suasana menakutkan kanak-kanak. Sistem keadilan matang tahu membezakan antara disiplin proses dengan perjalanan emosi.
Menerusi gabungan Vehicle for Meaningful Redress, Victims' Nexus to Justice dan Vehicle for Nationwide Justice, pendekatan ini amat jelas. Kanak-kanak boleh dibawa ke ruang lebih selamat dari segi emosinya.
Ruang keterangan boleh disusun dengan lebih mesra. Perbicaraan pula tidak lagi semestinya terikat sepenuhnya kepada bangunan mahkamah konvensional. Butiran teknikal penting, tetapi inti reformasinya terletak pada perubahan cara negara mendekati kelompok paling rentan.
Namun, bagi kanak-kanak, keluarga miskin, penduduk luar bandar atau mangsa yang trauma, jarak kepada keadilan bukan hanya diukur melalui kilometer. Ia diukur melalui rasa takut, malu, kos, tekanan dan ketidakupayaan memahami proses.
Atas hakikat itu, Mahkamah Bergerak Kanak-Kanak memberi wajah manusia kepada reformasi institusi. Jejak pembaharuan ini memperlihatkan kesinambungan dasar tidak wajar diperkecilkan.
Pindaan pada 2023 memperluas perlindungan saksi kanak-kanak, termasuk menaikkan had usia saksi kanak-kanak kepada bawah 18 tahun dan memperkenalkan mekanisme pendengaran khas untuk merakam keterangan sebelum perbicaraan.
 Kekal prinsip perbicaraan adilÂ
Pindaan pada 2024 pula memperkukuhkan lagi kedudukan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak sebagai undang-undang utama berkaitan keterangan saksi kanak-kanak, sambil mengekalkan prinsip perbicaraan adil sebagai asas sistem keadilan jenayah.
Selepas itu, penguatkuasaan pada 2025 dan penyusunan garis panduan khas bagi pengendalian kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak membentuk lapisan pelaksanaan lebih tersusun.
Dalam Belanjawan 2026, peruntukan untuk Mahkamah Bergerak Khas Kanak-Kanak membawa reformasi ini ke tahap lebih praktikal, bagaimana ia dapat berfungsi di lapangan.
Di sinilah kerja Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said wajar diberi perhatian.
Nilainya terletak pada proses. Mengenal pasti kelemahan, meminda undang-undang, menyusun tatacara, menggerakkan penyelarasan, menyediakan peruntukan dan memastikan institusi dapat melaksanakan fungsi dengan lebih manusiawi.
Apabila reformasi itu menyentuh kanak-kanak mungkin ketakutan untuk memberi keterangan, ia menjadi lebih mudah difahami. Rakyat tidak perlu menjadi pakar undang-undang untuk memahami seorang kanak-kanak tidak sepatutnya dibiarkan berdepan proses menakutkan daripada kebenaran mahu diceritakannya.
Reformasi dibawa kerajaan wajar diberi penghargaan. Maklum balas awal pihak kehakiman amat menggalakkan. Pendekatan ini membantu meredakan kebimbangan, mengurangkan tekanan suasana mahkamah dan memudahkan kanak-kanak melengkapkan keterangan.
Dalam isu membabitkan kanak-kanak, keterbukaan seperti ini amat penting. Reformasi ini berjaya menyelesaikan satu masalah kemanusiaan sebelum ini mungkin tidak pernah dirasai sebahagian besar mereka yang tidak pernah mengalami proses mahkamah.
Kanak-kanak mempunyai bahasa, emosi, psikologi dan cara memahami dunia berbeza. Sistem matang tidak memaksa mereka menjadi berani seorang diri. Sistem matang membina ruang supaya mereka boleh bersuara tanpa dihukum oleh suasana.
Dalam hal ini, Mahkamah Bergerak Kanak-Kanak bukan sekadar kemudahan baharu. Ia pengakuan bahawa keadilan tidak boleh duduk menunggu di bangunan besar dan dingin. Keadilan mesti mempunyai keberanian bergerak mendekati mereka paling lemah.
Negara adil bukan hanya menghukum pesalah tetapi memastikan anak kecil tidak kehilangan suara hanya kerana takut kepada sistem yang sepatutnya melindunginya.
Penulis adalah Penyelidik perundangan dan perunding pengurusan risiko
























