Apa yang menjadikan pertikaian di Negeri Sembilan begitu penting ketika ini bukan semata-mata kerana ia membabitkan persoalan adat, pewarisan atau pelantikan, tetapi menyentuh asas kestabilan institusi yang menjadi sebahagian struktur kenegaraan Malaysia sejak sebelum merdeka.
Isu ini melangkaui individu tertentu dan membawa perbincangan kepada persoalan lebih besar berkaitan tadbir urus Perlembagaan, keyakinan awam dan kelangsungan institusi diwarisi turun-temurun.
Sejarah mempunyai kecenderungan untuk berulang, walaupun tidak pernah muncul dalam bentuk sama sepenuhnya. Oleh sebab itu, sebarang penilaian terhadap pertikaian berkaitan Institusi Diraja Negeri Sembilan perlu dilakukan secara berhati-hati, berasaskan penghormatan terhadap proses Perlembagaan serta pemisahan jelas antara ulasan politik dan realiti undang-undang.
Persoalan utama bukanlah mengenai siapa menyokong siapa, tetapi sama ada integriti institusi terbabit dapat dipertahankan sepanjang proses berlangsung.
Kritikan yang timbul dalam isu ini turut mencerminkan kebimbangan lebih luas bahawa tokoh politik, bekas ahli politik dan pelbagai kelompok berkepentingan mungkin sedang mempengaruhi perkara secara tradisinya berada dalam lingkungan adat dan kerangka perlembagaan Negeri Sembilan.
Sama ada persepsi itu tepat atau sebaliknya, risiko terhadap reputasi institusi tetap besar. Institusi Raja memperoleh kewibawaannya melalui keyakinan rakyat, kesinambungan sejarah, sifat berkecuali serta legitimasi Perlembagaan.
Sebarang gambaran keputusan institusi dipengaruhi persaingan politik berpotensi menjejaskan kepercayaan terhadap institusi itu sendiri.
Rujukan terhadap perjalanan politik Tan Sri Dr Rais Yatim yang panjang daripada UMNO ke Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46), kembali ke UMNO, kemudian ke BERSATU serta melalui beberapa penjajaran politik lain sering dijadikan contoh pengkritik sebagai lambang kebolehsuaian politik atau oportunisme, bergantung kepada sudut pandang masing-masing.
Penghijrahan politik semata-mata bukan bukti salah laku. Namun, apabila individu mempunyai sejarah politik panjang dikaitkan dengan isu institusi amat sensitif, penelitian awam menjadi sesuatu tidak dapat dielakkan.
Apa yang lebih membimbangkan daripada sudut tadbir urus ialah persepsi semakin berkembang persaingan politik sedang bertembung dengan Institusi Diraja dan pihak berkuasa adat.
Pelbagai laporan dan perbahasan awam membangkitkan persoalan berkaitan pembabitan tokoh politik, kempen media sosial dan naratif saling bercanggah mengenai permasyhuran Yang di-Pertuan Besar baharu sedangkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawirr masih berada di atas takhta dan terus diiktiraf kerajaan Persekutuan.
Persoalan mengenai pematuhan prosedur juga menjadi tumpuan utama. Pengkritik merujuk kepada peruntukan perlembagaan mensyaratkan proses tertentu, termasuk peranan Menteri Besar bersama Undang dalam menandatangani dan mengumumkan proklamasi.
Isu prosedur ini kini menjadi teras pertikaian. Persoalannya bukan sama ada kuasa adat wujud atau tidak, tetapi sama ada semua kehendak perlembagaan dipenuhi dengan sempurna.
Pertikaian juga memasuki ruang kehakiman. Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan injunksi interim membabitkan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta beberapa pihak berkaitan.
Keperluan kekalkan status quo pentadbiran
Hujah perundangan terus dikemukakan mengenai kesahihan mesyuarat, bidang kuasa, pematuhan prosedur dan keperluan mengekalkan status quo pentadbiran.
Walaupun mahkamah lazimnya tidak campur tangan dalam keputusan adat diperuntukkan sebagai muktamad, mahkamah tetap mempunyai bidang kuasa menentukan sama ada kehendak perlembagaan bertulis dipatuhi.
Implikasi politik-ekonomi lebih luas tidak boleh dipandang ringan. Ketidakpastian berpanjangan tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Ia boleh menjejaskan reputasi Negeri Sembilan, menimbulkan persoalan mengenai kestabilan institusi dan berisiko mengheret Institusi Diraja ke dalam pertikaian partisan yang selama ini berada di luar lingkungan peranannya.
Pelabur, rakyat dan pemerhati sentiasa menghargai kestabilan, jangkaan serta tadbir urus teratur tanpa mengira siapa individu terbabit.
Pengajaran lebih besar ialah institusi lazimnya lebih mudah rosak daripada dibangunkan semula. Ahli politik datang dan pergi, parti bangkit dan jatuh namun Institusi Diraja serta perlembagaan perlu terus bertahan merentasi generasi.
Mereka yang terbabit dalam pertikaian seperti ini wajar memahami kemenangan politik jangka pendek boleh menghasilkan kos institusi jauh lebih besar dalam jangka panjang.
Pengalaman pernah dikongsikan bekas ahli panel penasihat nasional turut memberikan perspektif berguna. Antara pengajaran sering ditekankan ialah betapa pentingnya Institusi Raja sebagai sumber keyakinan rakyat.
Apabila masyarakat berasakan perkhidmatan awam, ahli politik atau sistem gagal menyelesaikan masalah mereka, Raja-Raja Melayu sering dilihat sebagai benteng terakhir masih dipercayai.
Sejarah turut menunjukkan campur tangan Institusi Raja pada waktu tertentu membantu menyelesaikan pertikaian masyarakat, menangani kesukaran pentadbiran dan meredakan ketegangan berpunca daripada persaingan politik.
Peranan sedemikian memperkukuhkan persepsi Raja Berperlembagaan berfungsi sebagai faktor penstabil ketika berdepan ketidakpastian.
Sudah tentu tiada institusi sempurna. Namun, Raja-Raja Melayu secara umumnya terus melaksanakan peranan perlembagaan mereka dan kekal sebagai antara faktor penting menyumbang kepada kestabilan negara.
Oleh itu, sebarang perkembangan yang boleh menjejaskan martabat institusi ini perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan kesederhanaan.
Politik mampu menyatukan masyarakat tetapi juga mampu memecahkannya apabila dibiarkan melampaui batas. Sejarah sarat dengan contoh kedua-dua keadaan itu.
Pengajaran sebenar daripada sejarah bukan untuk mengulangi kesilapan sama tetapi mengenal pasti coraknya lebih awal supaya tidak berulang pada masa hadapan.
Penulis ialah Pemerhati politik dan ekonomi bebas
























