BH Online
Ringkasan Berita

Hakim Danish pertaruh nyawa demi kibaran Jalur Gemilang

DI litar perlumbaan, segala-galanya berlaku dalam ruang masa terlalu singkat untuk memberi peluang kepada kesilapan. Satu brek terlewat, satu garisan selekoh tersasar atau satu sentuhan kecil cukup membezakan antara kegemilangan dan tragedi.
Hakim Danish pertaruh nyawa demi kibaran Jalur Gemilang

Hakim Danish di tempat ketiga pada perlumbaan di Litar Mugello, Itali, sekali gus menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk kembali menaiki podium Kejuaraan Dunia dalam kelas Moto3.

DI litar perlumbaan, segala-galanya berlaku dalam ruang masa terlalu singkat untuk memberi peluang kepada kesilapan. Satu brek terlewat, satu garisan selekoh tersasar atau satu sentuhan kecil cukup membezakan antara kegemilangan dan tragedi.

Dalam dunia sukan permotoran, satu hakikat tidak pernah berubah - setiap pelumba di grid permulaan mempertaruhkan sesuatu jauh lebih besar daripada kemenangan.

Di tengah dunia tidak mengenal belas kasihan itu, muncul anak muda Malaysia, Hakim Danish Ramli.

Pada usia 18 tahun, beliau memilih jalan tidak ramai sanggup tempuhi. Bukan sekadar mengejar kelajuan, tetapi memburu impian mengangkat Jalur Gemilang ke pentas tertinggi sukan permotoran dunia. Hakim Danish bukan lahir daripada keluarga berada. Sejak usia 14 tahun, beliau meninggalkan keselesaan rumah dan hidup berjauhan keluarga demi mengejar cita-cita dianggap terlalu besar oleh sesetengah pihak.

Perjalanannya bermula pada 2019 apabila menyertai sesi pemilihan Kejuaraan SIC MiniGP sebelum beraksi dalam kejuaraan itu setahun kemudian menerusi program pembangunan bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dikendalikan ZK Racing milik bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin.

Di bawah bimbingan Zulfahmi, beliau dibentuk bukan sahaja sebagai pelumba, bahkan atlet memahami kepentingan disiplin, fokus dan ketahanan mental. Hasilnya, Hakim Danish muncul juara sulung kategori 160cc SIC MiniGP pada 2020, sekali gus memberikan petunjuk awal potensi besarnya.

Bakat itu membuka laluan ke Asia Talent Cup (ATC) pada 2021. Dalam musim pertamanya, beliau menamatkan kempen di tangga kelima keseluruhan sebelum melakar sejarah setahun kemudian apabila muncul juara keseluruhan.

Kejayaan itu menjadikan Hakim Danish pelumba Malaysia pertama menjuarai ATC sejak kejuaraan berkenaan diperkenalkan pada 2014.

Cabaran sebenar menantinya di Eropah menerusi saingan European Talent Cup (ETC), Red Bull Rookies Cup dan JuniorGP, platform yang menjadi medan pembuktian buat pelumba muda terbaik dunia sebelum melangkah ke Kejuaraan Motosikal Dunia.

Perpindahan ke Eropah bukan sekadar perubahan lokasi perlumbaan, tetapi cabaran baharu persaingan, budaya kerja dan tekanan untuk membuktikan kemampuan dalam kalangan pelumba dari negara kuasa besar sukan permotoran.

Di situlah Hakim Danish belajar bakat semata-mata tidak mencukupi. Namun cabaran itu tidak pernah mematahkan semangatnya, sebaliknya beliau mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Malaysia pertama menaiki podium Red Bull Rookies Cup pada 2023, selain muncul pelumba negara pertama menamatkan perlumbaan di podium ETC di Portugal.

Tahun 2025 menjadi satu lagi detik penting dalam kariernya apabila muncul pelumba Malaysia pertama menamatkan kempen Red Bull Rookies Cup dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.

Pencapaian itu membuka laluan ke pentas impian setiap pelumba muda dunia - Kejuaraan Motosikal Dunia. Hakim Danish diberi peluang membuat penampilan dalam kelas Moto3 menerusi tiket wildcard pada Grand Prix (GP) Malaysia sebelum dipanggil pasukan MT Helmets-MSI untuk menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka yang mengalami kecederaan di GP Portugal dan Valencia.

Beliau menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 di Litar Algarve dan ke-14 di Valencia. Prestasi memberangsangkan itu akhirnya menghadiahkan kontrak perlumbaan sepenuh masa bersama MT Helmets-MSI musim ini.

Namun, berada di pentas tertinggi sukan permotoran dunia bukan sekadar mengenai kelajuan dan kejayaan. Ia juga bermakna berdepan risiko setiap kali lampu perlumbaan dipadamkan.

Sejarah sukan permotoran dipenuhi kisah keberanian dan pengorbanan. Wayne Rainey terpaksa menamatkan karier selepas kemalangan serius di Misano pada 1993, manakala Marco Simoncelli terkorban dalam kemalangan tragik di Sepang pada 2011.

Di sebalik risiko itulah lahirnya pelumba sanggup mengorbankan segala-galanya demi mengejar kejayaan di pentas dunia.

Malaysia tidak pernah ketandusan pelumba yang berani memikul cabaran itu. Zulfahmi pernah menghadiahkan dua podium Moto3 buat negara pada musim 2012 menerusi Grand Prix Malaysia dan Grand Prix Valencia.

Hafizh Syahrin Abdullah mencipta sejarah dengan meraih tiga podium dalam saingan Moto2, termasuk penamat kedua di Grand Prix San Marino 2017. Khairul Idham Pawi mengukir detik paling ikonik apabila muncul juara Grand Prix Argentina dan Grand Prix Jerman 2016 dalam kelas Moto3.

Bina legasi sendiri

Kini, Hakim Danish membina legasinya sendiri dalam landskap perlumbaan yang semakin kompetitif.

Moto3 hari ini jauh berbeza berbanding sedekad lalu. Jurang antara pelumba semakin kecil, teknologi semakin seimbang dan setiap kedudukan perlu diperjuangkan hingga ke garisan penamat.

Di Grand Prix Itali minggu lalu, Hakim Danish mampu bersaing dengan kelompok terbaik apabila menghadiahkan podium tempat ketiga buat Malaysia dalam keadaan litar kering.

Ia bukan penamat biasa kerana pencapaiannya itu berbeza dengan podium dilakar Zulfahmi, Hafizh Syahrin dan Khairul Idham berlangsung dalam keadaan litar basah.

Ini kerana perlumbaan lebih banyak ditentukan kelajuan sebenar, ketepatan jentera, strategi pasukan dan kemampuan pelumba mengawal tekanan sepanjang perlumbaan.

Bagi pelumba baru memulakan musim penuh pertamanya di Kejuaraan Motosikal Dunia, pencapaian itu memberikan gambaran masa depan lebih besar sedang menantinya.

Namun di sebalik sorakan penyokong, perhatian media dan pencapaian di litar, Hakim Danish tetap anak muda yang meninggalkan keluarga sejak usia remaja demi mengejar impian belum selesai.

Perjalanannya masih panjang. Masih banyak perlumbaan perlu ditempuhi, cabaran perlu diatasi dan impian mahu direalisasikan. Namun satu perkara sudah pasti. Setiap kali visor diturunkan dan enjin mengaum di grid permulaan, seorang anak muda dari Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu terus membawa harapan Malaysia bersamanya.

Selagi peluang itu ada, Hakim Danish akan memburu impian sama - mengibarkan Jalur Gemilang di pentas tertinggi dunia.

Penulis adalah Wartawan Sukan BH

Video Terkini

Berita Berkaitan