BH Online
Ringkasan Berita

'Melastik politik kebencian', kesabaran ada hadnya…

POLITIK kebencian mungkin boleh menang dalam percaturan emosi, tetapi kalah dalam membina masa depan negara. Terlalu taasub mahu mengejar kuasa politik, segala-galanya dipanaskan di media sosial mahupun gelanggang politik. Fenomena ini semakin berleluasa. Apakah ini yang diharapkan rakyat Malaysia?
'Melastik politik kebencian', kesabaran ada hadnya…

Semua pihak perlu bersama-sama menjaga hubungan baik antara kaum dan rakyat demi memastikan kemakmuran serta masa depan negara terus terjamin. - Foto hiasan

POLITIK kebencian mungkin boleh menang dalam percaturan emosi, tetapi kalah dalam membina masa depan negara. Terlalu taasub mahu mengejar kuasa politik, segala-galanya dipanaskan di media sosial mahupun gelanggang politik. Fenomena ini semakin berleluasa. Apakah ini yang diharapkan rakyat Malaysia?

Dalam era politik moden berpaksikan kemunculan pelbagai teknologi canggih yang semakin kompleks dan mencabar, pelbagai unsur kebencian, provokasi dan sandiwara berpanjangan sudah berada di tahap membimbangkan ibarat berjalan atas api.

Salah siapakah? Siapakah yang harus dipersalahkan? Pemimpin politik pula sibuk mengejar jawatan dan kuasa dengan melunakkan pelbagai alasan. Parti politik berpecah, pemimpin keluar parti, keluar sekejap, masuk balik, lari ke sana, letak jawatan, penubuhan parti baharu dan macam-macam lagi. Inilah situasi sebenar politik ketika ini.

Rakyat pula sudah letih, menyampah dan meluat melihat politik yang tidak sudah-sudah dengan pertelingkahan, sedangkan isu sebenar membelenggu kehidupan mereka terus menunggu penyelesaian. Seharusnya pemimpin politik perlu berganding bahu antara satu sama lain untuk memimpin rakyat.

Rakyat di bawah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Contohnya, isu kos sara hidup, hutang, pembiayaan untuk usahawan, isu pendidikan, pekerjaan dan perumahan menjadi cabaran bagi rakyat biasa di peringkat akar umbi.

Terima kasih kepada Kerajaan MADANI yang mengusahakan pelbagai inisiatif untuk membantu mereka. Namun, sekali lagi sistem penyampaian dan pelaksanaan menjadi persoalan. Apakah segala-galanya perlu dipikul sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim? Ingatkah lagi Kerajaan Perpaduan pada hari ini dapat dibentuk untuk apa?

Kerajaan mengumumkan pelbagai langkah dan inisiatif untuk membantu rakyat mengurangkan beban. Malah, setiap minggu Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Ketika dunia sedang terhimpit dengan krisis Asia Barat dan sudah ada pelbagai indikasi mengenai hala tuju ekonomi dunia termasuk impaknya, sayang sekali kita masih sibuk berpolitik.

Politik dalam negara sudah berada di tahap cukup merisaukan dengan isu agama, kaum dan kebencian. Perdana Menteri juga berkali-kali memberikan amaran, teguran pedas berhubung dilema ini. Ada juga pemimpin politik yang kononnya menganggap diri terlalu 'bersih' menyerang balik dengan menggunakan naratif sama. Menuding jari antara satu sama lain. Inilah yang sedang berlaku ketika ini.

Perdana Menteri menyeru golongan majoriti yang cintakan kedamaian agar bangkit bersuara menolak naratif kebencian dan fitnah yang cuba dimainkan golongan tertentu terhadap masyarakat negara ini.

Beliau berkata, keadaan semasa memperlihatkan seolah-olah wujud tyranny of the minority apabila ada segelintir pihak lantang, marah dan gemar menabur fitnah cuba menentukan kehendak mereka ke atas majoriti rakyat.

"Sekarang ini minoriti yang bising, marah, kejam, panaskan orang. Yang berhimpun, tanam kebencian, buat fitnah dan takutkan orang. Ini seolah-olah tyranny of the minority. Kezaliman, kekejaman golongan kecil memaksa golongan besar (majoriti).

"Saya ambil kesempatan ini menyeru... sudah sampai ketikanya yang majoriti ini bersuara dari hati nurani mereka (supaya) selamatkan negara kita dan majukan semua," katanya menerusi ucap tama pada majlis Wacana Harmoni MADANI sempena Hari Wesak, baru-baru ini.

Politik kebencian berasaskan sentimen kaum, agama dan emosi sempit semakin menjadi-jadi terutama di ruang media sosial. Naratif 'kita serang mereka' terus bergema, sehingga menjejaskan agenda sebenar pembangunan negara.

Dalam suasana ini, perbezaan pandangan politik tidak lagi dilihat sebagai satu proses demokrasi yang sihat, tetapi berubah menjadi medan permusuhan yang merugikan semua. Lebih membimbangkan, budaya 'politik drama' ini bukan sahaja berlaku di luar, malah turut mewarnai perbahasan politik di pelbagai peringkat.

Alih perhatian terhadap isu utama rakyat

Isu kecil diperbesar-besarkan, konflik dicipta secara berterusan dan perhatian rakyat dialihkan daripada isu utama seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan anak muda serta kestabilan ekonomi negara. Apakah ini sudah menjadi satu trend baharu di negara ini?

Dalam beberapa titah dan peringatan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, penekanan jelas diberikan kepada kepentingan perpaduan rakyat, kestabilan politik serta keutamaan kepada kesejahteraan negara berbanding kepentingan politik sempit. Teguran ini harus dilihat sebagai satu isyarat penting bahawa negara tidak boleh terus hanyut dalam politik yang tidak matang dan berasaskan emosi.

Titah seperti ini membawa mesej cukup mendalam. Pemimpin politik perlu berhenti daripada budaya menangguk di air keruh, menyebarkan naratif perpecahan serta menggunakan isu sensitif sebagai alat untuk meraih sokongan jangka pendek.

Sebaliknya, negara memerlukan kepemimpinan bertanggungjawab, berintegriti dan benar-benar fokus kepada penyelesaian masalah rakyat.

Pada masa sama, cabaran baharu seperti penyebaran maklumat palsu, manipulasi di media sosial serta penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta naratif palsu, menjadikan suasana politik semakin tidak stabil.

Tanpa disiplin politik tinggi, semua ini boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan menghakis kepercayaan terhadap institusi negara.

Sudah tiba masanya Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak agresif. Negara perlu diselamatkan daripada ancaman seperti ini. Kita bukannya mahu menyekat kebebasan bersuara, tetapi segala-galanya perlu ada hadnya.

Ekonomi global tidak menentu, tekanan kos sara hidup serta cabaran pekerjaan generasi muda sepatutnya menjadi fokus utama semua pihak. Namun, semua ini sering tenggelam apabila politik kebencian dan drama berterusan mendominasi ruang awam.

Sudah tiba masanya pemain politik melakukan muhasabah secara menyeluruh. Demokrasi tidak bermakna bebas menyemai kebencian, tetapi bebas untuk berbeza pandangan dalam kerangka matang dan bertanggungjawab. Perbezaan politik seharusnya menjadi ruang untuk berlumba idea, bukan berlumba mencipta konflik.

Rakyat Malaysia hari ini jauh lebih bijak dan kritikal. Mereka tidak lagi mudah dipengaruhi retorik kosong atau permainan emosi. Mereka mahu melihat hasil kerja, bukan sekadar janji; mahu kestabilan, bukan pergolakan; mahu penyelesaian, bukan sandiwara.

Kesimpulannya, politik kebencian dan budaya berdrama perlu dihentikan segera sebelum ia menjadi barah merosakkan masa depan negara. Teguran institusi diraja harus dijadikan panduan dan 'disiplin politik', bukan diabaikan. Masa depan Malaysia terlalu penting untuk dipertaruhkan demi kepentingan politik jangka pendek.

Politik kebencian tidak pernah membina negara, ia hanya membakar perpaduan yang sudah lama kita bina. Jangan 'melastik politik kebencian', kesabaran ada hadnya.

Penulis adalah Penganalisis Politik dan Perunding Media

Video Terkini

Berita Berkaitan