"NANTI kamu kena buat keputusan, nak hilang kasut atau kaki?"
Peringatan itu diberikan Sir Baha, guru yang melatih saya dan rakan-rakan, Ahmad Arif Mohd Arshad, Allahyarham Noor Hisham Mokhtar dan Azman Ahmad dalam Pertandingan Forum Remaja dari peringkat daerah hingga kebangsaan di Kota Kinabalu pada 1997 mewakili Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS).
Beliau mengingatkan usah berpusing-pusing ketika menyampaikan pandangan dalam forum hingga tidak sempat membuat kesimpulan. Rumusnya, sudahkan isi ketiga walaupun tidak lengkap dan jangan lupa kesimpulan akhir supaya hanya kurang markah isi ketiga, iaitu kasut, bukannya markah keseluruhan, sudah tentu kaki.
Rupa-rupanya ingatan itu tidak hanya ketika masuk bertanding forum (walaupun kami terkandas di Kota Kinabalu itu), bahkan cocok dijadikan pesan kepada mana-mana parti mahu menyertai pilihan raya.
Ketika PKR, DAP dan AMANAH mengadakan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru, Ahad lalu, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Ahmad memilih tarikh sama di Petaling Jaya untuk mengisytiharkan hala tuju baharu mereka, tentunya sudah diketahui umum sebagai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
Tindakan keluar parti dan mewujudkan platform baharu boleh dikatakan 'rahsia terbuka' selepas Rafizi dan Nik Nazmi kalah dalam pemilihan PKR tahun lalu, sekali gus meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Bayangan itu acap kali diutarakan Rafizi dalam podcastnya di sela-sela kritikannya terhadap pemimpin, PKR, PH dan kerajaan, selain diulas aktivis parti yang pernah berada dalam kumpulannya ketika pemilihan.
Justeru, pemilihan tarikh sama dengan Konvensyen PH yang menjadi paluan gendang perang kepada pemimpin dan ahli gabungan itu sudah tentu memberikan isyarat BERSAMA memposisikan kedudukan parti yang baru diambil alih itu sebagai nemesis bukan sahaja kepada PKR, bahkan PH sendiri.
Apatah lagi kelompok sasaran BERSAMA seperti yang kita boleh dibaca daripada ucapan Rafizi itu adalah juga pengundi teras PH, iaitu kelas menengah dan atasan, urban serta pengundi bukan Melayu, selain pemimpin, aktivis serta ahli parti lamanya dan komponen.
Tidak hairanlah sepanjang minggu ini, banyak hantaran media sosial pemimpin PKR yang mengisytihar meletak jawatan dan keluar parti termasuk bersama ahli jawatankuasa sama ada pada peringkat sayap mahupun ranting dan cabang.
BERSAMA sasar tarik sokongan Gen Z, Alpha
'Lalu lintas' hantaran ini sudah tentu melonjakkan 'adrenalin' kepada mereka yang memiliki idea dan pemikiran sama dengan Rafizi hingga mahu menyertai gerombolan popular atau jump on the bandwagon.
Dalam konteks media sosial, ia dikenali sebagai Fear of Missing Out (FOMO) yang boleh dibina terutama dengan kewujudan algoritma yang sudah tentu menyebabkan hantaran berkenaan lebih mudah melalui akaun pengundi teras PH atau mereka yang banyak membaca tulisan berkaitan politik.
Bagaimanapun, BERSAMA tidak hanya menyasarkan pemimpin dan pengundi teras PH kerana sudah tentu ramai dalam gabungan itu sama ada memang penyokong Rafizi, berkongsi idealismenya, terpinggir, nostalgiak atau berasa putus asa dengan janji reformasi (salah satu atau mungkin gabungan ciri itu) yang pastinya akan mengisytiharkan keluar parti dari semasa ke semasa.
Sebaliknya, antara sasaran utama seperti dapat difahami daripada ucapan Rafizi ialah Gen Z terutama yang baru kali pertama mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atau Gen Alpha yang meskipun masih belum boleh berbuat demikian untuk beberapa tahun lagi, mempunyai potensi besar untuk mengubah demografi pengundi.
Malah 12 Agenda BERSAMA yang mula ditularkan pertengahan minggu ini, menumpukan isu yang dekat dengan Gen Z yang sudah mula berkerjaya termasuk yang lebih awal bergiat dalam ekonomi gig selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jika dilihat hanya satu agenda sahaja yang sinonim dengan apa diperjuangkan 'generasi Reformasi' yang turun ke jalan raya, iaitu agenda kelapan, kebebasan institusi utama negara dengan mengelakkan pemusatan kuasa walaupun kritikan Rafizi selama ini berpusat kepada isu sebegini.
Gen Z dan Alpha pastinya tidak akan memiliki ingatan kolektif sama ada pro mahupun anti kepada gerakan Reformasi tetapi mereka sedang melalui senario kehidupan mencabar dari segi guna tenaga tidak penuh, kenaikan kos sara hidup tidak sepadan peningkatan pendapatan, kerapuhan perlindungan sosial dan inflasi kesihatan, selain kesihatan mental termasuk ekokebimbangan atau eco-anxiety.
Semua ini akan mudah diterima atau 'dibeli' kedua-dua generasi ini yang dibantu dengan pakej logo BERSAMA yang bersifat bertenaga (vibrant), ceria dan boleh dijadikan meme atau memeable, sekali gus dipacu pula dengan fenomena FOMO seperti yang kita saksikan kini.
Soalnya, apakah reaksi daripada PKR dan PH serta penyokong dan laskar siber mereka dalam menghadapi cabaran eksistensial yang jauh lebih getir daripada tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membawa sejumlah Ahli Parlimen PKR dalam Langkah Sheraton pada 2020?
Setakat yang saya lihat di media massa dan media sosial, tindakannya lebih konvensional dan reaktif termasuk menyasarkan Ahli Parlimen PKR dan pemimpinnya yang menghadiri acara Rafizi atau memuat naik hantaran mengungkapkan kesetiaan dan komitmen kepada parti yang adakalanya dirasakan bernada propagandik dan romantisisme, malah ada juga semacam janaan kecerdasan buatan (AI).
Malah, kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh pula lebih banyak pada isu bon RM10 juta terhadap Rafizi dan Nik Nazmi yang sebenarnya boleh mencetuskan sentimen simpati kepada kedua-dua bekas Ahli Parlimen berkenaan yang sudahpun menghantar surat letak jawatan kepada Speaker Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Realitinya, Rafizi sebenarnya selesa dengan posisinya sekarang yang lebih dijiwainya, iaitu sebagai pembangkang yang boleh bersikap ofensif, manakala reaksi pemimpin serta laskar siber PKR adalah seperti 'corak permainan' yang dikehendaki tokoh yang selama ini menjadi strategis parti itu.
Gol sebenar yang dicari BERSAMA ialah Gen Z dan Gen Alpha yang selama ini sukar dijaringkan PH, sebaliknya berada dalam genggaman Perikatan Nasional (PN) terutama PAS.
Di sinilah PKR dan PH perlu memilih sama ada meneruskan serangan kepada pemimpin, aktivis dan penyokong yang hatinya sama ada sudah penuh atau separuh dengan Rafizi serta BERSAMA atau memberikan tumpuan kepada kelompok pengundi yang boleh menentukan kesinambungannya.
Jawapan balas PKR dan PH tidak boleh sekadar slaid politik pembangunan, angka pelaburan, kestabilan kerajaan atau nostalgia Reformasi kerana Gen Z dan Gen Alpha lebih mahukan jaminan kehidupan selepas bekerjaya dan berdikari seperti disediakan ibu bapa mereka sebelum ini.
Pastinya ia sukar dilakukan PH sama seperti payahnya cuba dijelaskan Barisan Nasional (BN) sebelum tumbang dalam PRU14 pada 2018, tetapi gabungan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ada pilihan lain. Cuma ia perlu bermula dengan PH menjawab soalan sama pernah diajukan Sir Baha kepada kami, 'PH mahu hilang kasut atau kaki?'
Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH
























