BH Online
Ringkasan Berita

Kes Nadiem Makarim uji wibawa teknokrat, sistem keadilan

KES membabitkan bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Anwar Makarim kini menjadi antara isu paling mendapat perhatian di Asia Tenggara.
Kes  Nadiem Makarim uji wibawa teknokrat,  sistem keadilan

Nadiem Makarim berdepan dakwaan rasuah babitkan perolehan komputer riba Chromebook dan sistem CDM ketika pandemik COVID-19 di Mahkamah Jakarta Pusat, Jakarta pada 13 Mei lalu. (Foto REUTERS)

KES membabitkan bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Anwar Makarim kini menjadi antara isu paling mendapat perhatian di Asia Tenggara.

Tokoh muda yang pernah diraikan sebagai simbol reformasi, inovasi dan kejayaan ekonomi digital itu kini berdepan hukuman penjara 18 tahun atas dakwaan rasuah membabitkan perolehan komputer riba Chromebook dan sistem Pengurusan Peranti Chrome (CDM) ketika pandemik COVID-19.

Kes ini bukan sekadar soal jumlah kerugian negara didakwa mencecah lebih AS$125 juta. Apa yang menjadikan isu ini begitu sensitif ialah latar belakang individu terbabit sendiri.

Nadiem bukan ahli politik tradisional membina pengaruh melalui parti atau permainan kuasa. Beliau dikenali sebagai pengasas Gojek, syarikat teknologi 'unicorn' pertama Indonesia berjaya membuka jutaan peluang pekerjaan dan mengubah landskap ekonomi digital negara itu.

Lulusan Harvard itu sebelum ini dilihat sebagai simbol generasi baharu teknokrat dan profesional dibawa masuk ke dalam kerajaan untuk memperbaiki sistem pentadbiran negara.

Ketika banyak negara bergelut mencari bakat berkualiti untuk membantu sektor awam, Indonesia mengambil langkah berani memberi ruang kepada seorang usahawan teknologi menerajui reformasi pendidikan nasional.

Namun hari ini, tokoh pernah dipuji sebagai pembawa perubahan kini berdiri di kandang tertuduh.

Inilah realiti paling keras dalam dunia politik dan pentadbiran moden. Ramai masuk ke dalam politik dengan niat mahu membawa perubahan, tetapi akhirnya terpaksa berdepan sistem jauh lebih kompleks, keras dan penuh risiko politik.

Persoalan besar kini bermain dalam fikiran masyarakat bukan sekadar sama ada Nadiem bersalah atau tidak. Persoalan lebih mendalam ialah sama ada dunia sedang menyaksikan proses keadilan berjalan secara profesional atau reformasi sedang dijadikan mangsa atas nama penguatkuasaan.

Dalam media sosial, ramai rakyat Malaysia turut mengikuti perkembangan kes ini. Ada yang menyuarakan solidariti terhadap rakyat Indonesia dalam usaha memerangi rasuah, manakala sebahagian lain mempersoalkan kewajaran tuntutan hukuman begitu berat terhadap seorang reformis sebelum ini dilihat cuba mengubah sistem pendidikan negara.

Sudah tentu prinsip paling asas dalam mana-mana negara demokrasi mesti dihormati. Seseorang didakwa tidak boleh dianggap bersalah selagi mahkamah belum membuat keputusan. Proses perbicaraan adil, bebas dan telus wajib dipertahankan tanpa kompromi.

Pada masa sama, perjuangan memerangi rasuah juga tidak boleh berubah menjadi medan menghukum berdasarkan persepsi, tekanan politik atau sentimen populis semata-mata. Di sinilah munculnya dilema besar dalam reformasi pentadbiran moden.

Hari ini banyak negara, termasuk Malaysia sering bercakap mengenai keperluan membawa golongan profesional, teknokrat dan usahawan berjaya masuk ke dalam kerajaan.

Negara mahukan individu mempunyai pengalaman dunia sebenar untuk membantu memperbaiki sistem birokrasi, pendidikan, ekonomi dan teknologi.

Persoalannya, siapa akan berani menyertai kerajaan jika setiap keputusan dasar kontroversi akhirnya boleh membawa kepada siasatan jenayah dan berdepan hukuman penjara.

Tindakan tegas tanpa kira kedudukan

Ini bukan bermaksud golongan teknokrat perlu diberikan kekebalan daripada undang-undang. Jika berlaku penyelewengan, salah guna kuasa, konflik kepentingan atau rasuah, maka tindakan tegas wajib diambil tanpa mengira kedudukan.

Namun, dalam pentadbiran moden, negara juga perlu matang membezakan antara tiga perkara sering bercampur-aduk dalam perdebatan awam.

Pertama, rasuah yang benar-benar membabitkan sogokan, keuntungan peribadi dan penyalahgunaan kuasa secara jelas.

Kedua, konflik kepentingan mungkin tidak membabitkan wang masuk ke akaun sendiri, tetapi membuka ruang manfaat kepada pihak tertentu.

Ketiga, kegagalan dasar atau keputusan pentadbiran mungkin tidak efektif, mahal atau tidak mencapai objektif asal.

Ketiga-tiga perkara ini tidak sama. Malangnya, dalam suasana politik panas dan tekanan media sosial agresif, semuanya sering dicampur menjadi satu naratif besar.

Dalam kes Nadiem, antara perkara menjadi perhatian ialah dakwaan tiada wang ditemui masuk ke akaun peribadi beliau. Keadaan itu menyebabkan ramai mula bertanya sama ada beliau benar-benar memperoleh manfaat secara langsung daripada keputusan itu.

Namun, dunia rasuah moden tidak lagi semudah sampul duit atau transaksi bank peribadi semata-mata. Hari ini, rasuah boleh berlaku melalui jaringan kepentingan korporat, hubungan strategik, pengaruh dasar dan manfaat tidak langsung jauh lebih kompleks.

Sebab itu, proses siasatan dan pendakwaan kes rasuah mesti dilakukan secara profesional, berasaskan bukti kukuh serta bebas daripada tekanan politik.

Apa yang paling berbahaya ialah apabila agensi penguatkuasaan mula dilihat sebagai alat politik atau instrumen menghukum pihak tertentu. Persepsi seperti itu mampu meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Sama ada rakyat Indonesia mahupun Malaysia, kedua-duanya tetap mahukan ia berlaku serentak, iaitu perang habis-habisan terhadap rasuah dan kedua, jaminan keadilan tidak diperalatkan untuk membunuh reformasi atau menghancurkan individu tertentu.

Jika sistem penguatkuasaan terlalu lemah terhadap rasuah, negara akan rosak akibat ketirisan dan kerakusan kuasa. Tetapi jika sistem terlalu agresif negara akan kehilangan keberanian melakukan reformasi kerana semua orang takut membuat keputusan.

Akhirnya pentadbiran negara akan dipenuhi pegawai yang hanya mahu 'selamat', bukan pegawai berani membawa perubahan.

Kes Nadiem Makarim boleh menjadi pengajaran besar kepada semua, termasuk Malaysia. Negara memerlukan sistem antirasuah tegas tetapi matang, penguatkuasaan yang berani tetapi profesional dan keberanian membanteras penyelewengan tanpa menjadikan pendakwaan sebagai senjata politik.

Penulis ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Video Terkini

Berita Berkaitan