bhrencana@bh.com.my
Lapan dekad bukan sekadar angka. Ia adalah himpunan sejarah, pengorbanan, kejayaan dan ujian membentuk jati diri sebuah perjuangan. Dalam arus politik sentiasa berubah, hanya organisasi benar-benar memahami makna kewujudan mereka mampu bertahan.
UMNO bukan sekadar parti politik, ia pernah menjadi suara harapan, payung perlindungan dan nadi kepada perjalanan sebuah negara sedang mencari arah.
Namun, persoalan hari ini bukan lagi apa yang dicapai, tetapi apa yang masih mampu diperjuangkan. Dalam dunia semakin kritikal dan generasi berani menilai, UMNO berdepan satu hakikat tidak boleh dielakkan, legasi sahaja tidak cukup untuk menjamin masa depan. Kepercayaan perlu dibina semula, bukan diwarisi.
Tahun ini menandakan genap 80 tahun penubuhan UMNO, sebuah parti bukan sekadar entiti politik, tetapi sebahagian daripada sejarah pembinaan negara bangsa Malaysia. Ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru, UMNO lahir daripada semangat rakyat Melayu yang bangkit menentang Malayan Union.
Ketika itu, UMNO menjadi wadah penyatuan suara rakyat demi mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta hak masyarakat tempatan.
Penubuhan UMNO membuktikan apabila rakyat bersatu hati, gelombang perubahan mampu digerakkan. 'Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat'.
Di bawah kepimpinan tokoh seperti Datuk Onn Jaafar, UMNO berjaya menyatukan pelbagai kelompok masyarakat Melayu yang sebelum itu bergerak secara berasingan. Perjuangan itu diteruskan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, memimpin negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Selepas merdeka, UMNO menjadi tunjang utama pentadbiran negara selama beberapa dekad. Dalam tempoh itu, pelbagai dasar penting diperkenalkan termasuk pembangunan luar bandar, peluasan pendidikan, pembasmian kemiskinan dan pengukuhan ekonomi Bumiputera.
Negara berkembang daripada sebuah ekonomi berasaskan pertanian kepada negara membangun dihormati. Ini membuktikan kestabilan politik disertai perancangan mampu menghasilkan kemajuan.
Namun, sejarah politik sentiasa berputar. Langit tidak selalu cerah. Seiring perubahan zaman, UMNO berdepan cabaran baharu. Isu integriti, persaingan dalaman, perubahan sikap pengundi serta kemunculan landskap politik berbilang gabungan.
Kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018 menjadi detik paling getir apabila buat pertama kalinya parti itu kehilangan kuasa pada peringkat Persekutuan. Bagi sesetengah pihak, kekalahan itu dilihat sebagai noktah tetapi dalam politik, setiap kejatuhan boleh menjadi ruang kebangkitan.
Tersungkur bukan bererti tewas, rebah bukan bererti kalah. UMNO kemudian melalui fasa muhasabah dan penyesuaian, termasuk menyertai Kerajaan Perpaduan dalam suasana politik lebih kompleks dan menuntut kerjasama rentas parti.
Medan menilai masa hadapan
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sambutan ulang tahun ke-80 tahun ini sepatutnya menjadi medan menilai masa depan, bukan sekadar mengingati masa lalu.
Sejarah memang penting, tetapi generasi muda hari ini menilai politik melalui kejujuran, prestasi dan penyelesaian isu rakyat. Mereka mahu melihat parti memahami tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti serta masa depan ekonomi digital.
Di sinilah UMNO harus berani untuk terus melakukan pembaharuan. Parti itu kini sedar tidak cukup hanya bergantung pada nama dan nostalgia. 'Jika tidak dipecahkan ruyung, bagaimana hendak dapat sagunya'.
Reformasi dalaman, pengkaderan pemimpin muda, ketelusan pentadbiran serta keberanian menerima idea baharu menjadi agenda utama untuk UMNO terus relevan.
UMNO masih mempunyai kekuatan tidak kecil. Jentera akar umbi luas, pengalaman mentadbir negara serta hubungan rapat dengan masyarakat luar bandar kekal sebagai aset penting. Dalam politik Malaysia yang sentiasa berubah, pengalaman adalah guru, tetapi perubahan ialah syarat kelangsungan.
Hakikatnya, usia 80 tahun UMNO adalah usia matang bagi sebuah parti. Ia membawa bersama legasi perjuangan, kejayaan pembangunan dan pengajaran daripada kesilapan lalu.
Parti yang panjang usianya bukan diukur pada berapa lama ia berkuasa, tetapi sejauh mana ia mampu menyesuaikan diri dengan kehendak zaman.
Akhirnya, UMNO berdiri di persimpangan sejarah. Jika dahulu ia dikenang sebagai parti memperjuangkan kemerdekaan, hari ini cabarannya memperjuangkan keyakinan semula rakyat.
'Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'. Parti politik pula akan dikenang menerusi jasa dan keberaniannya berubah.
Usia 80 tahun seharusnya menjadi cermin kepada UMNO, bukan sekadar melihat ke belakang dengan bangga, tetapi menilai ke hadapan dengan jujur.
Kepemimpinan hari ini melihat ini satu keperluan. Rakyat hari ini tidak lagi mudah terikat dengan sejarah sebaliknya mereka menuntut ketelusan, keberanian dan keikhlasan memimpin.
Pada titik inilah penentuan sebenar berlaku sama ada UMNO terus hidup sebagai kenangan atau bangkit sebagai keperluan kerana dalam dunia hari ini, penghormatan boleh diwarisi tetapi kepercayaan mesti diperjuangkan semula.
UMNO memilih jalan perubahan dengan berani dan jujur, ia bukan sahaja menjurus kepada usaha mengembalikan keyakinan sepenuhnya orang parti, tetapi membuka pintu kepada rakyat melihatnya dengan perspektif baharu, bukan lagi sekadar sejarah, tetapi harapan masih hidup.
Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM)
























