BH Online
Ringkasan Berita

Mulakan misi hapus 'kemiskinan menyeluruh' rentas lokasi

Dalam wacana pembangunan sosioekonomi di Malaysia, istilah ‘miskin’ dan ‘miskin tegar’ sering digunakan secara berganti-gantian, walhal kedua-duanya merujuk kepada kategori berbeza dari segi tahap kesusahan hidup serta keperluan dasar bantuan.
Mulakan misi hapus 'kemiskinan menyeluruh' rentas lokasi

Kerajaan sentiasa berusaha menangani jurang kemiskinan di antara penduduk bandar dan luar bandar. - Foto hiasan

bhrencana@bh.com.my

Dalam wacana pembangunan sosioekonomi di Malaysia, istilah 'miskin' dan 'miskin tegar' sering digunakan secara berganti-gantian, walhal kedua-duanya merujuk kepada kategori berbeza dari segi tahap kesusahan hidup serta keperluan dasar bantuan.

Kegagalan memahami perbezaan ini boleh membawa kepada salah tafsir terhadap dasar kerajaan serta keberkesanan program membasmi kemiskinan.

Kedua-dua kategori ini ditentukan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) ditetapkan kerajaan. Berdasarkan PGK 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan, garis pemisah antara miskin tegar dan miskin sangat jelas dari sudut angka dan realiti kehidupan.

Pada peringkat nasional, PGK miskin tegar bagi isi rumah adalah sekitar RM1,236 sebulan manakala PGK miskin berada pada paras RM2,705 sebulan. Dari sudut per kapita pula, miskin tegar berada sekitar RM348 sebulan berbanding RM772 bagi kategori miskin. Perbezaan ini menggambarkan tahap tekanan hidup jauh lebih serius bagi golongan miskin tegar.

Maka, golongan miskin merujuk kepada isi rumah yang pendapatannya di bawah PGK, namun mempunyai keupayaan asas untuk bertahan. Mereka mungkin masih mampu memenuhi keperluan makanan minimum, tetapi berdepan kesukaran dalam aspek lain seperti pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan atau perumahan selesa.

Sebaliknya, miskin tegar merujuk kepada golongan berada di bawah paras keperluan makanan asas. Dalam konteks PGK 2024, ini bermakna mereka hidup dengan pendapatan amat rendah sehingga keperluan paling asas pun tidak dapat dipenuhi secara konsisten. Keadaan ini menjadikan mereka kumpulan paling rentan dan memerlukan bantuan segera.

Berdasarkan data diterbitkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), sehingga 30 April 2026, jumlah keseluruhan Ketua Isi Rumah (KIR) berada dalam kategori miskin adalah 321,292 orang dengan 321,148 KIR miskin dan hanya 144 KIR miskin tegar .

Ini menunjukkan kemiskinan tegar berjaya dikurangkan ke tahap sangat minimum, manakala cabaran utama kini tertumpu kepada kemiskinan keseluruhan.

Dari sudut pecahan negeri, Kelantan mencatatkan jumlah kemiskinan tertinggi dengan 63,170 KIR miskin diikuti Sabah (59,935) dan Sarawak (38,062). Ini menunjukkan faktor pembangunan wilayah dan peluang ekonomi masih menjadi penentu utama tahap kemiskinan.

Di Pantai Timur, Terengganu mencatatkan 29,933 KIR miskin, Pahang (14,577), Kedah (21,392) dan antara negeri masih mempunyai kes miskin tegar (79) selain Sabah (59) dan Terengganu (enam). Ini menunjukkan walaupun kemiskinan tegar sudah sifar di kebanyakan negeri, masih terdapat beberapa negeri memerlukan perhatian khusus.

Bagi negeri maju, angka kemiskinan tetap signifikan walaupun pada skala lebih rendah. Di Selangor misalnya, terdapat 15,368 KIR miskin manakala Perak (21,765) dan Pulau Pinang (13,900). Wilayah Persekutuan pula mencatatkan 7,312 KIR miskin, Negeri Sembilan (7,050), Melaka (7,262) dan Johor (8,703).

Dapatan ini penting kerana ia menunjukkan kemiskinan bukan hanya isu luar bandar atau negeri kurang membangun, tetapi turut wujud di negeri maju seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Ini selari dengan pecahan strata menunjukkan 50.8 peratus kemiskinan berlaku di bandar dan 49.2 peratus di luar bandar sekali gus menegaskan kemiskinan bandar realiti semakin ketara.

Bagi memastikan data kemiskinan dibuat secara tepat dan menyeluruh, kerajaan membangunkan Sistem eKasih, iaitu Pangkalan Data Kemiskinan Nasional.

eKasih platform penyelarasan bantuan

Sistem eKasih berfungsi sebagai platform penyelarasan bantuan, pengemaskinian data secara dalam talian, penjanaan statistik kemiskinan serta pelaksanaan pemetaan kemiskinan bagi mengenal pasti kawasan dan kumpulan paling terkesan. Keupayaan ini menjadikan eKasih tulang belakang pendekatan dasar lebih bersasar dan berasaskan data.

Sistem eKasih mengandungi maklumat menyeluruh mengenai isi rumah miskin dan miskin tegar, bermula daripada profil individu, maklumat lokasi dan kediaman, sehingga aspek pendidikan, kemahiran, pekerjaan, kesihatan, pemilikan harta, pendapatan serta bantuan diterima.

Lebih penting, sistem ini membolehkan status kemiskinan ditentukan secara automatik berdasarkan PGK per kapita, sekali gus memastikan ketepatan dalam pengelasan antara miskin dan miskin tegar.

Dalam konteks pelaksanaan dasar, selain bantuan di negeri khasnya melalui institusi zakat majlis agama Islam negeri (MAIN), pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat digerakkan melalui ekosistem eKasih antaranya Program Usaha Kasih (uKasih), Program Didik Kasih (dKasih) dan inisiatif I Care For U.

Lebih menyeluruh, Program Sejahtera MADANI diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diselaraskan ICU JPM menjadi satu pendekatan bersepadu menghimpunkan pelbagai bentuk bantuan merentas kementerian, agensi dan sektor swasta.

Program ini bertujuan meningkatkan taraf hidup isi rumah miskin dan miskin tegar melalui bantuan bersasar, peluang pendidikan, latihan kemahiran, sokongan keusahawanan serta akses pekerjaan dan perkhidmatan kesihatan lebih baik.

Pendekatan ini disokong kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, rakan korporat melalui inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) serta penyertaan aktif peserta eKasih sebagai penerima manfaat. Sehingga 31 Mac lalu, jumlah sumbangan terkumpul bagi menyokong inisiatif ini mencecah lebih RM78 juta.

Oleh itu, memahami perbezaan serta pola taburan kemiskinan adalah penting bagi memastikan dasar dirangka benar-benar bersasar, adil dan berkesan untuk memastikan tiada rakyat tercicir arus pembangunan negara.

Orang ramai digalakkan merujuk ICU JPM sekiranya masih terdapat rakyat miskin atau miskin tegar di kawasan mereka yang belum berdaftar dalam sistem eKasih supaya bantuan dapat disalurkan secara lebih cepat dan tepat kepada golongan benar-benar memerlukan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Video Terkini

Berita Berkaitan