Faktor kepemimpinan adalah satu elemen cukup penting untuk membentuk, membina sebuah negara maju, progresif dan berwawasan seiring dengan cabaran semasa.
Dalam proses pembangunan negara, semua kaum memainkan peranan masing-masing bagi mendakap kejayaan untuk negara ini. Kekuatan 'istimewanya' muncul daripada semangat perpaduan kaum yang wujud sebelum, selepas merdeka sehingga hari ini.
'Kepemimpinan antara kaum' inilah menjadikan Malaysia negara mencuri tumpuan dunia. Malaysia berdiri gah di pentas dunia. Ketika berdepan dengan apa juga krisis global, kepemimpinan negara membuktikan kita antara negara cukup tersusun dan terancang menguruskanya.
Kaum Melayu, Cina dan India menjadi benteng kekuatan negara. Walaupun komuniti India lihat sebagai 'minoriti', sumbangan dan pengorbanan mereka dalam proses pembangunan negara cukup signifikan dalam sektor awam, swasta, perkhidmatan, perladangan dan perniagaan.
Ramai pemimpin komuniti India pernah menjawat jawatan tertinggi melalui proses perkongsian kuasa politik sejak dulu hingga sekarang termasuk di Kabinet, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan jawatan politik lain.
Pada 14 April lalu, komuniti India merayakan Tahun Baharu mengikut kalendar Tamil. Tahun baru ini bukan sekadar peralihan kalendar, tetapi simbol pembaharuan, harapan dan kekuatan komuniti kaya dengan sejarah, budaya dan ketahanan.
Perayaan ini memberi ruang untuk merenung perjalanan lalu serta menetapkan azam baharu ke arah masa depan lebih inklusif dan progresif.
Setiap kali muncul perayaan seperti ini ramai pemimpin India melaungkan slogan perpaduan, keakaraban dan persefahaman antara komuniti namun, bagi mendepani cabaran semasa, pemerkasaan komuniti India perlu terus diperkukuh, diperkasa secara menyeluruh dan bersepadu sebagai satu pasukan.

Ambil iktibar, pendekatan Perdana MenteriÂ
Ketepikan sebarang perbezaan pandangan dan ego. Mulakan dengan 'vanakkam'. Dalam bab ini kita perlu mengambil iktibar dan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan MADANI melalui proses 'perpaduan politik' demi masa depan negara dan rakyat.
Di bawah kerajaan ini, antara individu memegang jawatan tertinggi termasuk Datuk Seri M Jana Santhiran adalah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan.
Beliau juga memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Aset Keretapi (RAC). Sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai KSU Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta memegang jawatan penting dalam di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan. Perjalanan beliau dalam sektor awam menghampiri 30 tahun.
Perlantikan Datuk M Kumar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman juga satu penghormatan tertinggi untuk komuniti India di negara ini. Buat julung kalinya kaum India diberikan tugas dan tanggungjawab tertinggi dalam struktur kepemimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Baru-baru ini Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, satu lagi pengiktirafan tertinggi kepada komuniti India.
Sementara itu, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Arul Rajoo; KSU Kementerian Sains , Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Nagulendran dan ramai lagi penjawat awam ataupun individu berbangsa India diberikan peranan penting dalam sektor awam.
Ini bukan soal perkauman antara Melayu, Cina ataupun India. Kerajaan MADANI memilih berdasarkan kelayakan serta keupayaan seseorang individu memikul tugas dan tanggungjawab mereka.
Apa yang penting, komuniti India perlu berganding bahu membantu antara satu sama lain. Gunakan peluang dan inisiatif diberikan kerajaan. Sekiranya wujud sebarang 'ketidakpuasan hati', gunakan saluran sesuai dan strategik untuk mencari jawapan serta penyelesaian.
Akses kepada pendidikan berkualiti harus menjadi keutamaan kerana pendidikan kunci mobiliti sosial dan pembuka peluang masa depan.
Pada masa sama, pembangunan ekonomi komuniti harus dipacu melalui sokongan kepada usahawan kecil dan sederhana, peningkatan akses kepada pembiayaan serta pengukuhan jaringan perniagaan.
Tidak kurang pentingnya adalah aspek sosial dengan memastikan kesejahteraan komuniti terus terpelihara melalui perumahan lebih baik, peluang pekerjaan adil serta sistem sokongan inklusif.
Dalam kepelbagaian, kita menemukan kekuatan. Pemerkasaan komuniti India bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti itu sendiri, tetapi turut menyumbang kepada kemajuan negara.
Akhirnya, menjadi tanggungjawab kaum India memperbaharui tekad untuk terus membina komuniti lebih berdaya saing, berilmu dan bersatu padu.
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH
Penulis ialah Penganalisis politik dan perunding media
























