BH Online
Ringkasan Berita

PRN atau PRU, rakyat perlu nilai politik berdasarkan realiti

Ada dakwaan dan desas-desus menyatakan pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) semakin hampir. Negeri terkait ialah Melaka, Sarawak dan Johor.
PRN atau PRU, rakyat perlu nilai politik berdasarkan realiti

Foto hiasan.

bhrencana@bh.com.my

Ada dakwaan dan desas-desus menyatakan pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) semakin hampir. Negeri terkait ialah Melaka, Sarawak dan Johor.

Ia sekali gus membuka perbincangan politik terutama di media sosial. Dalam ruang maya ini, naratif terbina dengan pantas, emosi dipacu tanpa henti dan persepsi disebarkan seolah-olah itulah realiti.

Namun persoalan lebih penting ialah adakah apa yang dilihat hari ini benar-benar mencerminkan keadaan sebenar atau sekadar gambaran dibentuk secara berulang menerusi satu naratif yang sudah ditetapkan.

Politik tidak pernah dibayangi siapa paling lantang atau paling kerap muncul di skrin. Ia berkaitan keupayaan pemimpin, parti dan kerajaan mengurus kepelbagaian, mengekalkan kestabilan dan menghasilkan dasar memberi kesan nyata kepada rakyat.

Pada era digital, ukuran ini sering tersasar. Apa yang tular dianggap benar dan apa yang senyap dianggap lemah. Sedangkan dalam politik sebenar yang menentukan sokongan dan kejayaan bukan soal apa yang popular tetapi apa yang berfungsi.

Struktur politik Malaysia hari ini menjadikan satu hakikat tidak boleh dielakkan, betapa tiada parti mampu membentuk kerajaan secara bersendirian. Ia dibuktikan pasca PRU15.

Dengan pecahan undi semakin ketara terutama dalam kalangan pengundi Melayu serta keperluan mendapatkan sokongan pelbagai kaum, pembentukan kerajaan bergantung kepada keupayaan parti membina gabungan, kebijaksanaan mengurus perbezaan dan disiplin mengekalkan kestabilan.

Dalam konteks ini, label sensasi sering mengaburkan realiti. Kerajaan campuran bukan sesuatu yang luar biasa tetapi satu keperluan dalam sistem demokrasi majmuk. Ukuran sebenar ialah keupayaan gabungan parti mengurus kerjasama itu secara konsisten dan berkesan.

Hari ini, media sosial mempercepat pembentukan persepsi tetapi ia tidak menjamin ketepatan. Persepsi boleh terhasil daripada potongan konteks, mesej diulang dan rangsangan emosi.

Namun kekuatan politik tidak diukur pada persepsi semata-mata. Ia dinilai melalui kekuatan organisasi, rekod pentadbiran dan keupayaan membuat keputusan memberi kesan kepada rakyat. Apa yang tular tidak semestinya tepat dan apa yang tenang tidak semestinya lemah.

Sementara itu, dalam mana-mana parti, pemimpin silih berganti itu lumrah. Apa yang membezakan ialah ketahanan institusi itu. Dalam sejarah UMNO, perubahan kepemimpinan berlaku beberapa kali, menunjukkan parti ini tidak bergantung kepada individu tetapi berdiri sebagai sebuah organisasi lebih besar daripada mana-mana tokoh.

Ulang tahun ke-80 UMNO bulan depan mencerminkan kesinambungan itu, melalui fasa kemerdekaan, pembangunan negara hingga cabaran politik kontemporari. Tidak banyak parti mampu bertahan sepanjang tempoh itu dalam landskap sentiasa berubah.

Pada masa sama, gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kembali diperkatakan memberi isyarat kepada usaha merapatkan saf dan mengukuhkan kekuatan dalaman.

Ia menunjukkan perbezaan boleh wujud dalam dan antara parti tetapi keperluan menyatukan kekuatan tetap menjadi keutamaan apabila berdepan realiti politik semasa.

Undi berpecah, kekuatan jadi lemah

Dalam kerangka masyarakat majmuk, peranan Melayu sebagai kaum teras kekal penting, bukan secara terpisah tetapi penentu bagi memastikan hubungan rakyat kekal utuh menjamin kestabilan keseluruhan negara.

Malangnya, cabaran utama dihadapi hari ini ialah perpecahan undi Melayu. Apabila undi berpecah, kekuatan menjadi lemah. Keputusan menjadi tidak menentu dan pembentukan kerajaan menjadi lebih kompleks.

Dalam keadaan ini, kelebihan terletak pada pihak dan parti mempunyai jaringan akar umbi luas, memiliki pengalaman mengurus kerajaan dengan identiti sendiri dan keupayaan membina serta mengekalkan gabungan parti membentuk kerajaan.

Realiti seterusnya jelas, usaha membentuk kerajaan memerlukan sokongan pelbagai kaum. Ini bukan soal menggadai prinsip bangsa tetapi soal mengurus kepelbagaian secara matang.

Sejarah politik negara menunjukkan kestabilan datang daripada keupayaan kerajaan dan parti mengimbangi kepentingan semua kaum dalam satu kerangka bersama.

Lebih kritikal, pengundi muda kini membawa dimensi baharu dalam politik. Mereka menilai pentadbiran dan keberkesanan kerajaan berdasarkan peluang ekonomi, kestabilan masa depan, kredibiliti dan konsistensi kepemimpinan.

Mereka juga lebih kritikal terhadap propaganda dan lebih berhati-hati membuat keputusan. Ini menuntut politik bergerak daripada retorik kepada prestasi dan kepercayaan.

Menjelang pilihan raya sama ada PRN atau PRU, perang persepsi akan terus memuncak. Namun, dalam membuat pilihan, rakyat perlu kembali kepada asas utama, menilai dengan fakta, memahami konteks dan berfikir secara rasional.

Pada akhirnya, persoalan yang berbangkit bukan lagi siapa atau parti mana paling kuat dalam menentukan naratif mencorak persepsi tetapi siapa benar-benar mampu memastikan kestabilan, pengalaman dan masa depan lebih baik untuk negara.

Pengkaji Tingkah Laku Politik Media Sosial, Universiti Teknologi Malaysia

Video Terkini

Berita Berkaitan