BH Online
Ringkasan Berita

Kaji, fahami faktor pencetus penipuan bantu tangani jenayah

Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus berkaitan fraud. Kes penipuan biasanya didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) sebagai penipuan, jenayah pecah amanah penyalahgunaan harta, atau curi.
Kaji, fahami faktor pencetus  penipuan bantu tangani jenayah

- Foto hiasan

bhrencana@bh.com.my

Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus berkaitan fraud. Kes penipuan biasanya didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) sebagai penipuan, jenayah pecah amanah penyalahgunaan harta, atau curi.

Undang-undang lain mungkin terpakai bergantung kepada konteks, termasuk Akta Syarikat 2016, iaitu penipuan korporat; AMLA 2001 (pengubahan wang haram) dan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (penipuan pelaburan dan sekuriti).

Beberapa kes berprofil tinggi didakwa di bawah kesalahan penipuan, pecah amanah jenayah (CBT) dan penyalahgunaan harta, yang menunjukkan bagaimana peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan AMLA digunakan dalam amalan untuk amalan menangani penipuan berleluasa.

Fraud atau penipuan ialah ancaman serius menjejaskan individu, organisasi dan ekonomi. Ini termasuk memperdaya seseorang untuk keuntungan tidak sah seperti rasuah, penyalahgunaan aset, manipulasi kewangan serta penipuan siber, cukai dan insurans.

Penipuan seperti dinyatakan Association of Certified Fraud Examiners (ACEF), iaitu organisasi global antipenipuan biasanya dikategorikan kepada penyalahgunaan aset, rasuah dan penipuan penyata kewangan.

Penyalahgunaan aset paling kerap berlaku. Ia membabitkan kecurian atau penyalahgunaan sumber organisasi seperti wang tunai atau inventori yang merangkumi 86 peratus kes dilaporkan.

Rasuah pula merujuk kepada penyalahgunaan kuasa atau pengaruh untuk kepentingan peribadi. Kedudukan Malaysia naik ke tangga ke-54 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 (daripada 57) dengan skor meningkat ke 52. Ini menunjukkan kemajuan dalam membanteras rasuah, namun usaha lebih gigih masih diperlukan.

Penipuan penyata kewangan, walaupun kini jarang berlaku, berikutan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat seperti Sarbanes-Oxley Act 2002 susulan kes Enron serta undang-undang tempatan, tetap kesalahan serius dan berimpak tinggi.

Ia membabitkan pemalsuan atau manipulasi maklumat kewangan untuk mengelirukan pelabur dan pihak berkepentingan. Walaupun jarang berlaku, penipuan ini memberi kesan kewangan paling besar kerana menjejaskan nilai keseluruhan sesebuah syarikat, bukan sekadar aset individu.

Perkara membimbangkan ialah banyak organisasi beranggapan penipuan tidak berlaku dalam sistem mereka dan percaya kawalan dalaman sudah memadai untuk mencegahnya. Hakikatnya, mereka masih kurang kesedaran dari segi pencegahan ketirisan.

Menurut laporan ACFE 2024, setiap tahun organisasi kehilangan sekitar 5 peratus daripada hasil tahunan akibat fraud. Kebanyakan kes dikesan melalui maklumat daripada individu, bukannya audit, sekali gus menekankan kepentingan sistem whistleblower berkesan. Keberkesanan dan kepercayaan terhadap sistem boleh dilihat melalui perbandingan jumlah maklumat diterima.

Dari segi statistik tempatan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (CCID) melaporkan penipuan telekomunikasi dan skim pelaburan palsu menjadi penyumbang utama kepada kerugian kewangan.

Kes fraud mencapai tahap membimbangkan, CCID merekodkan 67,735 kes jenayah dalam talian antara Januari hingga November 2025, membabitkan kerugian melebihi RM2.7 bilion. Ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM1.57 bilion pada 2024 dan RM1.28 bilion (2023).

Kebanyakan scam berlaku melalui panggilan telefon, skim cinta, penipuan beli-belah online, tawaran pembiayaan palsu serta pinjaman atau pelaburan yang tidak wujud. Sejak lebih 10 tahun lalu, dark web membantu penjenayah bersembunyi dengan memberi mereka identiti tanpa nama dan cara mengelak dikesan.

Kurang pengetahuan, kesedaran masyarakat

Ia berpunca kurangnya pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai taktik penjenayah siber, mudah panik serta cepat percaya, selain kurang pengetahuan mengenai keselamatan dalam talian.

Ia diburukkan dengan keinginan mendapatkan keuntungan segera, hendak cepat kaya, hidup mewah dan kebergantungan tinggi terhadap transaksi digital, memudahkan penipu memperdaya mangsa, terutama apabila setiap amaran pihak berkuasa diabaikan.

Ahli kriminologi mengkaji untuk memahami modus operandi, mengapa ia berlaku dan bagaimana ia boleh dicegah.

Penipuan biasanya berlaku apabila tekanan, peluang, rasionalisasi dan keupayaan dikenali teori fraud diamond. Contohnya, seorang pekerja menghadapi tekanan kewangan mungkin mengambil kesempatan terhadap kawalan dalaman yang lemah atau budaya kerja tidak beretika (peluang), membenarkan perbuatannya dengan menganggap orang lain juga korup (rasionalisasi) dan menyalahgunakan kemahiran atau kedudukannya, seperti pengetahuan perakaunan untuk mengelak pengesanan (keupayaan).

Penipuan sering didorong persekitaran tekanan tinggi, kekurangan kepemimpinan yang jujur dan berkesan serta budaya tidak beretika yang dipacu ego dan menormalkan rasuah. Faktor lain termasuk tadbir urus lemah, integriti rendah, kawalan tidak berkesan, penguatkuasaan lemah, serta struktur organisasi yang kompleks yang membuka ruang dan mengurangkan risiko dikesan.

Pensijilan seperti ISO meningkatkan kecekapan, kualiti dan keyakinan pelanggan serta memastikan pematuhan standard global. Namun, jika hanya dikejar sebagai simbol pematuhan, ia sekadar menjadi imej tanpa memperkukuh tadbir urus atau integriti sebenar.

Organisasi mungkin mempunyai sistem dalaman kukuh tetapi tetap memerlukan langkah benar-benar berkesan. Prinsip Pareto dalam konteks penipuan, sebahagian kecil penipu atau punca masalah boleh menyebabkan kebanyakan kes penipuan.

Jika kita fokus memperbaiki atau menghentikan punca utama ini terlebih dahulu, kita boleh mengurangkan banyak masalah dengan lebih cepat.

Masalah utama adalah tiada kajian saintifik yang jelas di negara ini untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya fraud, sama ada cara dibesarkan, pendidikan atau faktor sosioekonomi. Agak sukar mengatasi masalah ini secara benar-benar profesional dan tepat selagi jawapan belum ada.

ACFE menekankan pencegahan penipuan memerlukan pendekatan menyeluruh. Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data mampu mengesan penipuan lebih pantas dan mengurangkan kerugian, namun keberkesanannya bergantung pada tadbir urus baik dan pengawasan manusia.

Kawalan tradisional masih penting dalam usaha pencegahan penipuan. Mekanisme seperti talian aduan tanpa identiti, audit mengejut dan latihan kakitangan terbukti terus relevan dan berkesan dalam mengesan serta menghalang aktiviti penipuan.

Penulis ialah Profesor Kriminologi dan Keadilan Jenayah, Universiti HELP

Video Terkini

Berita Berkaitan