'Sebelum ayam bangunkan orang
Aku sudah ada di jalan
Berangkat pagi pulang pagi lagi
Ke sana ke sini cari rejeki.'
LAGU Yang Penting Halal nyanyian kumpulan Wali Band ini pastinya menggambarkan realiti warga Jakarta, tetapi ia tidak jauh terbias daripada apa yang berlaku di Kuala Lumpur dan bandar raya sekitar di Lembah Klang.
Malah, dengan Inisiatif Bangun KL dilancarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, mungkin lebih ramai yang bekerja di ibu kota keluar sebelum Subuh bukan sahaja untuk mendapatkan 'gaji segini yang penting halal', bahkan mencicip kopi dengan harga diskaun.
Itulah rutin warga bekerja di kota dengan waktu puncak sudah semakin awal. Sesiapa yang memandu kenderaan masuk sama ada di pintu masuk selatan di Plaza Tol Sungai Besi atau utara (Plaza Tol Jalan Duta) serta laluan lain, pasti akan menyedari keluar jam 6 pagi, belum menjanjikan jalan raya lancar, sebaliknya hampir pasti akan tersangkut juga.
Dalam realiti ini, sejauh manakah objektif Inisiatif Bangun KL yang menjadi sebahagian usaha jangka panjang kerajaan meningkatkan kualiti hidup warga kota menerusi keseimbangan antara waktu bekerja, kesihatan dan kehidupan sosial dapat dicapai?
Ia mungkin dapat 'menggalakkan' orang ramai memasuki ibu kota lebih awal, termasuk sebelum Subuh untuk mengelak kesesakan trafik pada waktu puncak, tetapi bagaimana pula dengan keadaan lalu lintas ketika keluar pejabat untuk pulang ke rumah? Apakah perlu ada 'Inisiatif Balik Lewat KL'?
Bagi sebahagian rakyat yang sudah pun keluar awal dari rumah dan terpaksa pulang lambat, inisiatif sebegini paling ringan akan dianggap troll atau jenaka politik dalam hantaran media sosial atau reaksi daripada berita ini, tetapi paling keras membayangkan betapa menteri sudah begitu jauh daripada realiti meskipun baharu tiga tahun menjadi kerajaan.
Mereka keluar awal bukan untuk mengejar kopi dengan harga diskaun, tetapi sudah berada dalam kitaran rutin bekerja di Lembah Klang yang memaksa mereka berbuat demikian. Itupun, berapa kali mereka dapat menebus diskaun dan sampai bila?
Matlamat meningkatkan kualiti hidup warga kota, termasuk mengurangkan kesesakan lalu lintas tidak boleh dengan hanya inisiatif bersifat performatif hingga boleh dianggap publicity stunt kerana selagi operasi dan struktur pekerjaan pada umumnya masih berpusat antara jam 9 atau 10 pagi hingga 5 atau 6 petang, tekanan akan tetap berkumpul pada waktu puncak sama ada pagi mahupun petang.
Mereka yang masuk lebih awal akan tetap keluar dalam gelombang sama, lalu kembali terperangkap dalam kesesakan yang tidak pernah berubah secara signifikan. Perjalanan mungkin dipercepat (dengan mengandaikan akan banyak lagi produk lain menawarkan diskaun atau belian percuma), tetapi warga kota kekal tersangkut di hujung masa satu lagi. Soalnya, adakah kita sedang menyelesaikan masalah atau sekadar mengalihkannya?
Hakikatnya, sebarang usaha meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan kesesakan tidak boleh dilakukan secara in silo oleh mana-mana kementerian. Kuala Lumpur bukan wilayah yang pentadbirnya bergerak sendirian, sebaliknya ia membentuk satu jaringan kerja membabitkan pelbagai kementerian, agensi dan sektor swasta.
Tuntut penyelarasan merentas struktur
Dalam konteks kesesakan, ia memerlukan penyelarasan merentas struktur, bukan hanya Kementerian Pengangkutan di bawah Anthony Loke dan Kementerian Kerja Raya (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi), bahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diketuai Nga Kor Ming. Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak terlepas kerana kita boleh melihat perbezaan tahap kesesakan ketika waktu biasa dengan cuti sekolah.
Mobiliti warga kota tidak bermula dan berakhir dalam sempadan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sahaja, sebaliknya ia turut berangkaian dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), bahkan sehingga Negeri Sembilan atau Perak.
Inisiatif Bangkit KL hanya bahagian terkecil daripada usaha mengatasi kesesakan kerana formula pentingnya terletak pada kecekapan pengangkutan awam yang dapat menghantar rakyat daripada rumah mereka ke pejabat serta pulang ke kediaman dengan efisien, selamat dan bahagia - bukannya dengan mengalami tekanan perasaan tinggi.
Kementerian Wilayah dan DBKL sepatutnya mengemukakan agenda besar ini dengan membabitkan sekurang-kurangnya dua kementerian, iaitu Kementerian Pengangkutan dan KPKT.
Pengangkutan awam masih pada tahap 'cukup baik tetapi rapuh' seperti laporan Khazanah Research Institute (KRI), malah Loke sendiri dalam kenyataan terbaharu, kecewa dan berang terhadap kekerapan gangguan perkhidmatan rel kendalian Prasarana Malaysia Berhad.
Sebenarnya, pengguna bukan hanya tidak berpuas hati dengan gangguan itu, bahkan kecewa dengan persoalan first mile dan last mile yang masih belum selesai. Bayangkan kekerapan bas perantara pada waktu malam selama 45 minit, manakala pengenalan van Demand Responsive Transit (DRT) tidak dapat menampung kekurangan itu.
Rakan sejawatan yang berkira-kira 'berhijrah' daripada menggunakan motosikal kepada pengangkutan awam memberitahu perjalanan dari rumahnya ke stesen berhampiran boleh mencecah sejam, menyamai masa diambil dari kediamannya ke pejabat.
Ia belum lagi masuk dengan keselamatan dan keselesaan perhentian bas, termasuk tidak berbumbung serta gelap yang tentunya masuk dalam bidang kuasa PBT, sekali gus berada di bawah pemantauan KPKT dan juga kerajaan negeri.
Rakan wartawan tinggal kurang satu kilometer dari Stesen MRT Kajang, tetapi tidak mungkin berjalan di tepi jalan tanpa membahayakan diri daripada risiko kemalangan hingga gangguan anjing liar.
Tanpa pembetulan menyeluruh ini, cadangan dan galakan rakyat untuk mengubah waktu perjalanan bukan hanya bersifat kosmetik, malah tidak akan mengurangkan kesesakan kerana seberapa awal lagi rakyat perlu keluar dari rumah?
Rakyat tidak perlukan 'nasihat perjalanan' dengan tawaran diskaun kopi atau produk lain, sebaliknya apa diperlukan adalah perancangan dan pelaksanaan agenda meningkatkan kualiti kehidupan warga, termasuk mengurangkan kesesakan yang dibuat dengan terancang dan bersepadu membabitkan semua kementerian serta agensi, tanpa melupakan sektor swasta.
Jika tidak, kita akan menyanyikan lagu Yang Penting Halal ketika menghidupkan enjin kereta jam 4 atau 5 pagi tetapi tetap menempuh kesesakan, manakala ketika perjalanan pulang pula memandu sambil bersiul-siul 'berangkat pagi pulang pagi lagi'.
Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH
























