Insiden berlaku ketika ucaptama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam Wacana Ilmiah Perdana baru-baru ini bukan sekadar satu gangguan kecil dalam sebuah acara intelektual.
Ia cerminan kepada satu trend semakin membimbangkan apabila ruang demokrasi disalahgunakan sehingga melampaui batas adab, etika dan rasionaliti.
Dalam keadaan negara sedang bergelut memperkukuh integriti dan memerangi rasuah semakin kompleks, tindakan provokatif seperti ini hanya melemahkan usaha kolektif dan mengalihkan fokus daripada isu sebenar.
Kita tidak menafikan Malaysia adalah negara demokrasi. Setiap individu berhak menyuarakan pandangan, termasuk kritikan terhadap mana-mana pemimpin atau institusi. Namun, demokrasi tidak pernah memberi lesen untuk bertindak tanpa adab.
Apabila seseorang bangun dalam sebuah majlis ilmiah dengan sepanduk cemuhan, disertai rakaman untuk tujuan tular, persoalannya bukan lagi soal kebebasan bersuara tetapi niat sebenar di sebalik tindakan itu.
Adakah ia satu usaha untuk memperjuangkan kebenaran atau sekadar satu bentuk teater murahan mencipta sensasi.
Lebih membimbangkan, tindakan segelintir individu ini mencalarkan imej anak muda dan mahasiswa. Generasi yang sepatutnya menjadi pelapis kepemimpinan negara kini berdepan risiko dilihat sebagai tidak beradab, mudah diperalat dan hilang arah memahami batas antara keberanian dan kebiadaban.
Dalam dunia penguatkuasaan, tekanan, serangan dan cubaan menjatuhkan kredibiliti adalah perkara biasa. Namun, keupayaan untuk kekal fokus tanpa terheret ke dalam permainan emosi adalah kualiti membezakan seorang pemimpin sebenar.
Insiden seperti ini mungkin dirancang untuk mencipta persepsi tertentu. Dalam era media sosial, satu klip video berdurasi beberapa saat mampu membentuk naratif jauh menyimpang maksudnya daripada realiti.
Wajar untuk bertanya dengan jujur, mengapa tindakan seperti ini dilakukan ketika ucapan sedang berlangsung. Mengapa ia dirakam dengan rapi dan kelihatan seolah-olah satu skrip sudah disusun.
Jika benar terdapat usaha mencipta 'drama' demi menarik perhatian, maka ini adalah satu bentuk manipulasi persepsi berbahaya. Ia bukan sahaja mencemarkan ruang wacana ilmiah, tetapi merendahkan kualiti perbahasan awam di negara ini.
Sejarah serantau memberikan kita pengajaran sangat jelas. Di Indonesia, perjuangan membanteras rasuah pernah mencapai momentum luar biasa di bawah kepimpinan tokoh seperti Abraham Samad.
Namun, apabila beliau disingkirkan melalui tekanan politik dan kontroversi, institusi itu mula kehilangan ketajaman. Kes besar menjadi perlahan, keyakinan awam merosot dan akhirnya usaha antirasuah menjadi semakin tumpul hingga sekarang.
Apabila individu berada di barisan hadapan melawan rasuah diserang secara berterusan sama ada melalui persepsi, provokasi atau tekanan politik, maka yang akan rugi bukan individu berkenaan, tetapi seluruh negara.
Dalam mana-mana isu membabitkan siasatan, prinsip asas mesti dipegang adalah 'Kedaulatan Undang-Undang'. Tuduhan tidak boleh dijadikan hukuman. Persepsi tidak boleh menggantikan bukti.
Maka, jika benar ada salah laku, biar ia dibuktikan menerusi saluran sah. Jika tidak, maka keadilan menuntut individu berkenaan dibersihkan daripada sebarang tuduhan. Kita tidak boleh membina negara berintegriti jika gagal menghormati asas keadilan.
Insiden uji kematangan demokrasi
Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila tindakan provokatif ini berpotensi melemahkan semangat penguatkuasaan. Bayangkan jika setiap pegawai tegas berdepan risiko dihina secara terbuka, dimalukan di khalayak dan dijadikan sasaran kempen persepsi.
Perlu difahami, rasuah tidak akan berhenti kerana undang-undang semata-mata. Ia memerlukan keberanian manusia melaksanakannya. Jika keberanian itu dipatahkan maka undang-undang tinggal tulisan.
Insiden itu juga membuka persoalan tahap kawalan dan penapisan kehadiran dalam program berprofil tinggi. Penganjur perlu lebih peka mengenal pasti risiko dan memastikan keselamatan serta ketertiban majlis terjamin.
Langkah seperti saringan peserta, pemantauan ketika acara berlangsung dan kawalan keselamatan lebih ketat bukan lagi pilihan tetapi keperluan. Kita tidak boleh membiarkan ruang ilmiah dijadikan pentas provokasi murahan.
Perlu difahami perjuangan menentang rasuah memerlukan disiplin, adab dan keikhlasan. Ia bukan medan untuk populariti murahan atau eksperimen politik jalanan.
Kepada anak muda, jadilah kritikal, tetapi beradab. Jadilah berani, tetapi berprinsip. Jangan biarkan diri anda diperalat agenda tidak anda fahami sepenuhnya.
Kepada masyarakat, jangan mudah terpengaruh dengan persepsi dibina menerusi klip video pendek dan naratif separuh benar. Nilai sesuatu berdasarkan fakta, bukan emosi.
Insiden itu mungkin kecil pada zahirnya, tetapi besar implikasinya. Ia menguji kematangan demokrasi kita, kekuatan institusi dan keikhlasan memerangi rasuah.
Malaysia tidak memerlukan lebih banyak drama, tetapi lebih banyak keberanian berprinsip. Jika kita benar-benar serius mahu membina negara bebas rasuah, maka mesti bermula dengan satu perkara paling asas iaitu menghormati kebenaran, proses dan mereka yang berani menegakkannya.
Penulis ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)
























