RASUAH bukan fenomena baharu dalam sejarah manusia. Sejak wujudnya kuasa, kekayaan dan pengaruh, rasuah turut berkembang seiring dengannya. Namun hakikat perlu diakui ialah rasuah tidak pernah statik. Ia sentiasa berubah bentuk, menyesuaikan diri dengan sistem, teknologi dan kelemahan manusia.
Justeru, perjuangan menentang rasuah juga tidak boleh berhenti atau tertakluk kepada pendekatan lama semata-mata. Ia mesti sentiasa berkembang, matang dan relevan dengan zaman.
Dalam banyak perbincangan mutakhir, satu istilah baharu mula muncul dalam wacana integriti global iaitu 'cyber corruption' atau rasuah siber. Jika dahulu rasuah sering dikaitkan dengan sampul surat, wang tunai atau pertemuan di belakang tabir, hari ini ia boleh berlaku secara jauh, senyap dan hampir tidak kelihatan melalui sistem digital, platform dalam talian, pemindahan wang elektronik, manipulasi data atau bahkan penggunaan mata wang kripto.
Perubahan ini menjadikan rasuah semakin sukar dikesan. Kedua-duanya, ruang siber dan rasuah mempunyai satu persamaan berbahaya.
Kedua-duanya sering tidak kelihatan. Transaksi boleh berlaku tanpa saksi, tanpa bukti fizikal jelas dan kadangkala tanpa meninggalkan jejak mudah dikesan sistem penguatkuasaan tradisional.
Namun, walaupun bentuk rasuah berubah, akar masalahnya masih sama. Rasuah lahir daripada gabungan beberapa faktor utama iaitu peluang, kelemahan tadbir urus, ketamakan peribadi, ketiadaan akauntabiliti dan budaya terlalu bertoleransi terhadap tingkah laku tidak beretika.
Oleh sebab itu, apabila kuasa tidak dipantau dengan baik dan ketelusan menjadi terhad, ruang untuk rasuah berkembang dengan mudah.
Dalam konteks ini, penting untuk memahami rasuah boleh diibaratkan seperti penyalahgunaan dadah. Selagi terdapat permintaan, akan sentiasa ada pihak bersedia menyediakan bekalan.
Dalam dunia rasuah, 'permintaan' mungkin datang daripada pihak mahu mempercepatkan kelulusan projek, mendapatkan kontrak kerajaan, menutup kesalahan atau memperoleh kelebihan tidak adil dalam persaingan ekonomi. Selagi permintaan terhadap kelebihan haram ini wujud, akan ada pihak sanggup menjadi pembekal.
Hukum pemberi, penerima seadilnya
Oleh sebab itu, usaha memerangi rasuah tidak boleh hanya menumpukan kepada pihak menerima rasuah semata-mata. Ia mesti menangani pihak memberi rasuah serta sistem membenarkan permintaan terhadap rasuah itu berlaku. Dalam banyak kes, pemberi rasuah sebenarnya pihak lebih berkuasa dari segi ekonomi atau politik.
Selain faktor sistemik, satu lagi dimensi penting memahami rasuah ialah kerentanan individu. Dalam banyak kes, tanda awal seseorang mudah terjerumus dalam rasuah boleh dilihat daripada motif, niat, cita-cita dan gaya hidup mereka.
Apabila gaya hidup seseorang jauh melampaui kemampuan sebenar, apabila lingkaran pergaulannya dipenuhi individu mengejar kemewahan tanpa batas atau tekanan sosial dan keluarga meningkat, kerentanan terhadap rasuah menjadi semakin besar.
Di sinilah peranan kepemimpinan beretika menjadi sangat penting. Integriti bukan sekadar slogan atau dokumen dasar, ia nilai perlu hidup dalam diri individu memegang amanah. Tanpa kepemimpinan yang murni, undang-undang baik sekalipun boleh disalahgunakan.
Ada pihak berpendapat cara paling berkesan membanteras rasuah ialah melalui hukuman sangat keras. China sering dijadikan contoh kerana mengenakan hukuman berat termasuk hukuman mati bagi kes rasuah besar.
Pendekatan ini bertujuan mewujudkan ketakutan cukup kuat sehingga sesiapa berniat melakukan rasuah akan berfikir berkali-kali.
Namun persoalan perlu direnungkan ialah sama ada ketakutan semata-mata cukup untuk menghapuskan rasuah. Pengalaman di banyak negara menunjukkan hukuman keras mungkin boleh memberi kesan pencegahan jangka pendek, tetapi tidak semestinya menyelesaikan masalah secara menyeluruh.
Tanpa reformasi sistem, pengukuhan institusi dan budaya integriti yang kuat dalam masyarakat, rasuah boleh terus muncul dalam bentuk yang berbeza.
Oleh itu, pendekatan lebih berkesan ialah gabungan antara penguatkuasaan tegas dan pembinaan sistem telus. Ketelusan dalam perolehan kerajaan, mekanisme semak dan imbang kukuh, perlindungan pemberi maklumat serta pengawasan masyarakat adalah elemen penting memastikan rasuah dapat dikesan dan dicegah.
Dalam era digital hari ini, usaha memerangi rasuah memerlukan pendekatan baharu. Teknologi sama yang boleh digunakan untuk menyembunyikan rasuah boleh digunakan untuk mendedahkannya.
Sistem data terbuka, analisis data besar, kecerdasan buatan (AI) dalam pengauditan serta rekod transaksi digital telus boleh membantu menjadikan aktiviti rasuah tersembunyi lebih mudah dikesan.
Perjuangan melawan rasuah sebenarnya bukan sekadar tugas agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ia tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
Rasuah hanya boleh benar-benar dibanteras apabila masyarakat menolak budaya rasuah, enggan memberi suapan dan berani melaporkan salah laku.
Pada akhirnya, kita perlu memahami tadbir urus baik dan integriti bukan mudah dicapai sekali sahaja. Ia perjalanan berterusan. Apabila rasuah berubah bentuk, usaha memeranginya juga mesti berubah. Apabila teknologi berkembang, sistem pengawasan juga mesti menjadi lebih pintar.
Persoalan paling penting untuk direnungkan ialah adakah kita masih berusaha melawan rasuah seperti kenali dahulu, sedangkan rasuah masa depan sudah bergerak ke ruang lebih kompleks dan tidak kelihatan.
Jika kita benar-benar mahu mengisytiharkan rasuah bukan lagi budaya kita, maka usaha itu mesti bermula sekarang dengan membina sistem telus, kepemimpinan berintegriti dan masyarakat tidak lagi bertoleransi terhadap rasuah dalam apa juga bentuk sekalipun.
Penulis adalah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)
























