bhrencana@bh.com.my
Ketegangan global khususnya akibat daripada perang di antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, Malaysia kini berada di persimpangan dasar kritikal.
Persoalannya bukan lagi sama ada kejutan luaran akan sampai ke negara ini, tetapi sejauh mana keberkesanan Malay- sia menanganinya apabila ia berlaku.
Hujah utama adalah jelas. Subsidi bersasar di bawah Kerajaan MADANI bukan sekadar pelarasan fiskal, tetapi satu keperluan strategik untuk melindungi daya tahan negara, memelihara kestabilan sosial dan mengekalkan kredibiliti ekonomi jangka panjang dalam persekitaran global semakin tidak menentu.
Kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat peralihan disengajakan daripada subsidi pukal kepada pendekatan lebih bersasar dan dipacu data, berasaskan sistem pengenalan nasional.
Peralihan ini berkembang dalam konteks ketidaktentuan harga tenaga global, gangguan rantaian bekalan berterusan serta peningkatan premium risiko geopolitik yang akhirnya diterjemahkan kepada tekanan inflasi domestik.
Dalam keadaan sedemikian, mengekalkan subsidi menyeluruh bukan sahaja akan membebankan kapasiti fiskal, malah mengurangkan ketepatan bantuan kepada golongan benar-benar memerlukan.
Namun, rasional dasar semata-mata tidak mencerminkan keseluruhan realiti. Pengalaman sebenar rakyat jauh lebih kompleks dan berlapis.
Komuniti asnaf dan B10 terus berdepan tekanan kelangsungan hidup harian, yang mana kenaikan kecil harga makanan dan pengangkutan boleh menjejaskan corak perbelanjaan asas.
Golongan B40 dan M40 rendah, kekal menjadi kelompok paling sensitif terhadap kos sara hidup, khususnya di kawasan bandar.
Golongan M40 atas dan kelompok pertengahan semakin merasai tekanan pemampatan pendapatan, apabila pertumbuhan pendapatan gagal menyaingi peningkatan perbelanjaan, sekali gus menghakis kestabilan kewangan isi rumah.
Tekanan ini melangkaui kategori pendapatan. Komuniti orang kurang upaya (OKU) berhadapan cabaran akses berstruktur, belia berdepan ketidaktentuan laluan kerjaya, warga emas bergelut dengan pendapatan tetap dalam keadaan kos kesihatan meningkat dan wanita, khususnya ibu tunggal, mengimbangi tanggungjawab ekonomi dengan peranan penjagaan keluarga.
Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula beroperasi dalam persekitaran kos input berubah-ubah, pekerja ekonomi gig dan sektor tidak formal sering kekurangan penampan pendapatan stabil.
Dalam konteks ini, subsidi bersasar harus dilihat bukan sebagai pengurangan sokongan, tetapi sebagai penambahbaikan mekanisme perlindungan negara.
Pendekatan ini menjadi semakin penting apabila kejutan luaran seperti gangguan bekalan tenaga global atau turun naik mata wang secara mendadak boleh dengan cepat meningkatkan tekanan kos dalam negara.
Cabaran utama terletak pada dasar
Namun begitu, cabaran utama terletak pada pelaksanaan. Kredibiliti dasar akan dinilai bukan melalui pengumuman, tetapi melalui hasil sebenar.
Sebarang kelemahan dalam ketepatan data, kelewatan penyaluran bantuan atau persepsi ketidaksamarataan dalam kelayakan boleh menjejaskan keyakinan awam.
Oleh itu, ketelusan adalah asas tidak boleh dikompromi. Komunikasi jelas mengenai kriteria kelayakan, mekanisme aduan mudah diakses serta kemas kini masa nyata mengenai pengagihan subsidi amat penting untuk mengekalkan kepercayaan rakyat.
Pada masa sama, reaksi awam perlu dikawal dengan bijaksana. Pengalaman lalu menunjukkan pasaran dan masyarakat sering bertindak balas secara berlebihan terhadap ketidaktentuan berbanding keadaan asas ekonomi sebenar.
Walaupun ketegangan global adalah realiti, asas makroekonomi Malaysia kekal kukuh, disokong sistem perbankan stabil, jangkaan inflasi terkawal serta pembaharuan dasar sedang berjalan. Tindak balas diperlukan bukan panik, tetapi kewaspadaan berasaskan maklumat.
Pada peringkat isi rumah, langkah praktikal perlu diambil untuk memperkukuh daya tahan dengan mengutamakan perbelanjaan keperluan, mengurus hutang secara berhemat dan membina simpanan kecemasan.
Bagi perniagaan, khususnya PKS, kepelbagaian rantaian bekalan, pengurusan aliran tunai yang berdisiplin serta penggunaan teknologi digital untuk kecekapan operasi akan menjadi semakin penting.
Tempoh sekarang menuntut pengukuhan semula perpaduan sosial. Tekanan ekonomi, jika tidak ditangani dengan baik, boleh membawa kepada perpecahan masyarakat.
Namun, kekuatan Malaysia terletak pada keupayaannya mengurus kerencaman melalui persefahaman dan sokongan bersama.
Dari sudut dasar, penambahbaikan berterusan terhadap infrastruktur data, penyelarasan antara agensi dan memacu teknologi digital adalah penting bagi memastikan tiada kumpulan tercicir.
Kerjasama antara sektor awam dan swasta, khususnya dalam bidang keselamatan makanan, logistik dan perkhidmatan asas akan memperkukuh daya tahan negara.
Dalam jangka panjang, subsidi bersasar perlu dilengkapi dengan pembaharuan struktur meningkatkan produktiviti, menaikkan pendapatan dan memperluas penyertaan ekonomi secara menyeluruh.
Akhirnya, subsidi bersasar bukan penyelesaian sempurna, tetapi evolusi diperlukan. Dalam dunia semakin terdedah kepada kejutan luaran yang kerap dan tidak menentu, ketepatan fiskal bukan lagi pilihan.
Malaysia perlu memastikan setiap ringgit dibelanjakan memberikan nilai maksimum kepada mereka yang paling memerlukan.
Ketenangan, ketelusan dan disiplin kolektif akan menentukan sejauh mana negara mampu mengharungi tempoh mendatang.
Rakyat tidak diminta berdepan ketidaktentuan secara pasif, tetapi menyesuaikan diri dengan bijaksana. Dengan kepemimpinan mantap, tadbir urus telus dan masyarakat bersatu, Malaysia mampu bergerak ke hadapan di sebalik cabaran global.
Penulis adalah Penganalisis ekonomi dan politik bebas
























