BH Online
Ringkasan Berita

Sistem tol cekap, infrastruktur mantap jamin pulang beraya selesa

MINGGU ini, skrip tahunan akan berulang. Jutaan kenderaan bergerak serentak meninggalkan ibu kota, masing-masing menuju kampung halaman untuk pulang beraya.
Sistem tol cekap, infrastruktur mantap jamin pulang beraya selesa

Kesesakan di lebuh raya setiap kali musim perayaan tiada kesudahan. - Foto hiasan NSTP

MINGGU ini, skrip tahunan akan berulang. Jutaan kenderaan bergerak serentak meninggalkan ibu kota, masing-masing menuju kampung halaman untuk pulang beraya.

Lebuh raya utama biasanya lancar bertukar menjadi lautan besi. Trafik merangkak perlahan bukan sahaja ke Pantai Timur, malah ke utara dan selatan juga sama nasibnya.

Papan tanda elektronik mula memaparkan pelbagai mesej - "trafik perlahan", "jangkaan kelewatan dua jam". Aplikasi navigasi pula berubah menjadi merah menyala. Kita mengeluh, tetapi tetap juga memandu.

Apabila jutaan kenderaan memasuki jalan raya dalam tempoh hampir serentak, kesesakan memang sukar dielakkan.

Lonjakan trafik bukan sekadar soal jumlah kereta. Banyak jalan negeri dan jalan persekutuan masih sempit, berliku dan tidak direka untuk menampung ledakan bermusim. Cukup sebuah kereta rosak di bahu jalan atau ada kemalangan kecil, deretan kenderaan boleh memanjang beberapa kilometer.

Namun, ada satu lokasi hampir saban tahun menjadi "titik panas". Laluan menuju plaza tol.

Benar sistem tol negara semakin moden dengan Touch 'n Go, SmartTAG, RFID dan konsep pembayaran terbuka. Namun, plaza tol tetap berpotensi menjadi 'bottleneck'.

Puncanya kadangkala remeh. Baki tak cukup, pengimbas RFID gagal kesan pelekat, ada yang masih memilih lorong tunai, atau sistem terganggu seketika.

Kereta berhenti beberapa saat lebih lama, palang tidak terangkat, barisan di belakang mula memanjang. Dalam konteks jutaan kenderaan, gangguan sekecil ini mencetus kesan domino besar.

Terbaru, aplikasi JustGO Malaysia diperkenal dengan sistem pembayaran tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Sistem ANPR mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan melalui kamera dan membolehkan bayaran tol dibuat secara digital tanpa tunai.

Mudah cerita, pemandu tidak lagi perlu memperlahankan kenderaan untuk memastikan kad disentuh dengan tepat atau risau palang tidak terbuka.

Projek rintis ANPR dilaksanakan di sembilan plaza tol jajaran Hutan Kampung ke Sungai Dua di utara. Jika sistem ini stabil dan diperluaskan, pengurangan beberapa saat bagi setiap kenderaan mampu memberi impak besar terhadap kelancaran trafik, terutama ketika musim puncak.

Selain kesesakan, satu lagi sering menghantui musim perayaan adalah kemalangan maut.

Tekanan untuk cepat sampai, memandu berjam-jam tanpa rehat dan emosi tidak terkawal menjadi kombinasi berbahaya.

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan 80.6 peratus kemalangan berpunca kecuaian manusia, 13.2 peratus akibat keadaan jalan dan 6.2 peratus faktor kenderaan.

Faktor manusia paling dominan

Jelas, faktor manusia paling dominan. Namun itu tidak bermakna keadaan jalan boleh dipandang ringan.

Jalan berlubang, permukaan tidak rata, pencahayaan kurang memadai atau cerun berisiko runtuh boleh meningkatkan kebarangkalian kemalangan, lebih-lebih lagi ketika trafik padat dan pemandu sudah keletihan.

Dalam aspek ini, langkah kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya (KKR) wajar diberi kredit. Program MYJALAN sebagai contoh memperuntukkan RM2.5 bilion bagi penyelenggaraan jalan persekutuan.

Di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia pula, sebanyak 3,000 lampu LED baharu akan dipasang di lokasi berisiko kemalangan. Pencahayaan baik bukan sekadar soal keselesaan, tetapi soal nyawa.

KKR juga memperuntukkan RM260 juta untuk kerja keselamatan cerun di kawasan berisiko tinggi di seluruh negara, manakala RM30 juta disalurkan kepada 115 Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kerja pembaikan segera.

Semua langkah ini mungkin tidak serta-merta menghapuskan kesesakan atau kemalangan, tetapi ia menunjukkan pendekatan menyeluruh, daripada sistem tol lebih cekap hinggalah kepada infrastruktur lebih selamat.

Kalau pun tidak dapat menghapuskan kesesakan sepenuhnya, sekurang-kurangnya semua inisiatif ini mempermudah beberapa perkara - jalan lebih selesa, plaza tol lebih lancar dan hentian rehat yang bersih serta teratur.

Sedikit keselesaan boleh mengurangkan tekanan, sekali gus membantu pemandu kekal fokus. Kerana akhirnya apa yang kita semua mahukan sebenarnya sederhana sahaja, iaitu pulang dengan selamat.

Walaupun perjalanan balik kampung memakan masa tujuh hingga 10 jam atau mungkin lebih lama, ditambah kesesakan yang menguji sabar, tiada siapa mahu kegembiraan Aidilfitri bertukar tragedi.

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Video Terkini

Berita Berkaitan