BH Online
Ringkasan Berita

Semangat Bangsa Johor pengaruh besar pendirian pengundi

JOHOR dianggap antara negeri penunjuk arah perubahan politik nasional. Apa yang berlaku di Johor sering menjadi petanda kepada corak sokongan rakyat di Persekutuan.
Semangat Bangsa Johor pengaruh besar pendirian pengundi

Pengundi bukan sahaja melihat manifesto, tetapi rekod pelaksanaan dasar, penyelesaian isu tempatan dan kemampuan kerajaan negeri menarik pelaburan. - Foto hiasan

JOHOR dianggap antara negeri penunjuk arah perubahan politik nasional. Apa yang berlaku di Johor sering menjadi petanda kepada corak sokongan rakyat di Persekutuan.

Justeru, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bukan sekadar menentukan siapa mentadbir negeri, malah menjadi ukuran awal terhadap tahap keyakinan rakyat serta keseimbangan hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Persaingan kali ini lebih kompleks berbanding PRN terdahulu. Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), berkongsi pentadbiran di Putrajaya, berdepan persaingan di Johor, manakala Perikatan Nasional (PN) terus berusaha memperluaskan pengaruhnya.

Kehadiran parti lain pula menambah kemungkinan berlaku pertandingan pelbagai penjuru yang boleh memecahkan pola sokongan tradisi di beberapa kawasan.

Hakikatnya, pengundi Johor hari ini jauh berbeza berbanding sedekad lalu. Mereka tidak lagi membentuk satu blok seragam. Di bandar, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan dan kecekapan pentadbiran menjadi pertimbangan utama.

Golongan profesional dan pengundi muda lebih cenderung menilai prestasi kerajaan berbanding kesetiaan kepada parti. Mereka mahu melihat dasar memberi kesan langsung kepada kehidupan, bukan sekadar janji atau slogan.

Di kawasan separa bandar pula, pembangunan ekonomi setempat, peluang perniagaan dan penyediaan infrastruktur terus menjadi keutamaan.

Di luar bandar, kampung tradisi dan penempatan FELDA, hubungan calon dengan masyarakat, rekod perkhidmatan, kepemimpinan tempatan serta kehadiran jentera parti masih memainkan peranan penting mempengaruhi kecenderungan pengundi.

Walaupun media sosial semakin meluas, sentuhan akar umbi masih menjadi kekuatan yang sukar digantikan.

Satu lagi perubahan ketara ialah kemunculan generasi pengundi muda. Pengundi berusia 18 hingga 30 tahun membentuk 45 peratus daripada keseluruhan pemilih bukan pengundi tradisi.

Mereka membesar dalam era media sosial, mempunyai akses kepada pelbagai sumber maklumat dan tidak lagi terikat kepada kesetiaan politik diwarisi.

Bagi mereka, prestasi, integriti dan keupayaan menyelesaikan masalah lebih penting berbanding retorik politik. Dalam pertandingan dijangka sengit di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN), perubahan kecil dalam kecenderungan pengundi muda mampu menentukan keputusan di banyak kerusi marginal.

Johor mempunyai identiti politik tersendiri. Semangat Bangsa Johor masih mempengaruhi sebahagian pengundi mengutamakan kepemimpinan tempatan dan keupayaan memahami keperluan negeri.

Nilai prestasi pentadbiran negeri

Dalam konteks ini, prestasi pentadbiran kerajaan negeri akan menjadi antara faktor utama dinilai rakyat. Pengundi bukan sahaja melihat manifesto, tetapi rekod pelaksanaan dasar, penyelesaian isu tempatan dan kemampuan kerajaan negeri menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan.

Bagi BN, cabaran utamanya ialah mempertahankan kedudukan sebagai parti sinonim dengan pentadbiran Johor, di samping membuktikan rekod pentadbiran negeri mendapat keyakinan rakyat.

Kerjasama strategik PAS jika berlaku yang mengarahkan ahli menyokong BN di 23 kerusi tidak ditandingi PN dijangka mengalihkan 20 hingga 30 peratus undi kembali ke pangkuan BN.

PH pula perlu meyakinkan pengundi penyertaannya dalam Kerajaan Perpaduan tidak menjejaskan agenda reformasi diperjuangkannya.

Bagi PN, PRN menjadi peluang memperkukuh kedudukan sebagai blok pembangkang menawarkan alternatif kepada kerajaan sedia ada.

Kini, anggapan undi Cina kekal milik PH mula terbukti salah. Pengundi Cina M40 di bandar lebih praktikal dan mengutamakan kestabilan ekonomi berbanding slogan reformasi.

Pengundi Cina di luar bandar seperti Simpang Renggam dan Labis lebih selesa dengan BN yang boleh diajak berunding. Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) cuba menarik undi Cina muda yang kecewa dengan PH, namun nama Datuk Seri Rafizi Ramli masih menjadi cubaan dalam kalangan komuniti Cina.

PH dijangka kekal menang di kerusi majoriti Cina, tetapi majoriti undi mungkin susut lima hingga lapan peratus berbanding PRN lalu.

Ini cukup untuk membolehkan BN merampas dua hingga tiga kerusi campuran. Barangkali corak aliran pola pengundian negeri dan pusat berbeza mengikut keadaan semasa.

Walaupun kempen digital menjadi sebahagian penting dalam pilihan raya moden, kerja lapangan dilakukan penulis menunjukkan lawatan rumah ke rumah, dialog bersama penduduk dan hubungan dibina secara konsisten sering menjadi faktor menentukan keputusan saat akhir 85 peratus peralihan undi.

Media sosial hanya berperanan sebagai penguat, bukan pembentuk keputusan muktamad.

Dalam pilihan raya dijangka menyaksikan banyak kerusi dimenangi dengan majoriti kecil, kekuatan jentera di peringkat akar umbi boleh menjadi pembeza utama dan kempen fizikal masih mendominasi peralihan undi.

Terdapat beberapa andaian. Senario pertama, BN menang lebih daripada cukup untuk mengepalai kerajaan negeri. Ini akan meneruskan dominasi UMNO, menjadikannya lebih kukuh dan ada yang perlu berkompromi.

Ini dianggap realistik sehingga artikel ini ditulis, namun akan dianggap menang kurang bergaya jika gagal mempertahankan majoriti PRN 2022.

Senario kedua, PH dan BERSAMA bergabung secara senyap memenangi 26 hingga 30 kerusi. Rafizi akan menjadi 'kingmaker' dan PH mampu menubuhkan kerajaan tanpa BN.

Ini akan menggemparkan Kerajaan Persekutuan, mengancam kedudukan BN dan mungkin mencetuskan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) lebih awal.

Senario ketiga, PN menang mengejut lebih 20 kerusi. Pembangkang akan menjadi besar dan membuktikan dominasi Melayu-Islam. Naratif Islam dengan progresif akan menjadi isu utama negara, walaupun misi sukar pada PRN ini.

Apa juga keputusannya nanti, implikasinya akan melangkaui sempadan Johor. Kemenangan meyakinkan BN akan mengukuhkan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan dan meningkatkan keyakinan menghadapi PRU16.

Jika PH menunjukkan peningkatan sokongan, ia akan memperkukuh hujah kerjasama pada peringkat Persekutuan masih diterima rakyat.

Sebaliknya, sekiranya PN mencatat keputusan lebih baik daripada jangkaan, ia akan memperoleh momentum baharu untuk mencabar kerajaan pada PRU akan datang.

Akhirnya, PRN Johor bukan sekadar pertandingan untuk membentuk kerajaan negeri tetapi ukuran terhadap prestasi pentadbiran, keberkesanan kerjasama politik dan keupayaan parti memahami perubahan aspirasi rakyat.

Johor mungkin mengundi untuk memilih kerajaan negeri, tetapi mesej lahir daripada peti undi akan didengari seluruh negara. Itulah sebabnya PRN Johor wajar dilihat sebagai medan menguji ketahanan kerajaan dan petunjuk awal kepada landskap politik Malaysia menjelang PRU16.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Video Terkini

Berita Berkaitan